Sunday, 11 December 2011

KISAH HAJI - PARAS RUPA

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'ala Saidina Muhamad, wa'ala 'Aali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga kalian tetap teguh dengan kalimah LailahaillAllah.

Saya perlu update sekerap mungkin, kerana bisa jua setelah saya terjebak dengan alam pekerjaan, saya tidak bisa lagi mengakses internet sesuka hati. Ya, alam pekerjaan yang insyaALlah akan menjadi modal dan pelaburan untuk saham akhirat saya itu. Walaupun saya lebih suka lagi alam belajar, well, alam bekerja jua pasti punya sesuatu yang manis.

Semoga tulisan saya kali ini bisa mendekatkan diri saya terutamanya, dan pembaca-pembaca yang dihormati sekalian ke hadrat Ilahi.

Kali ini saya ingin membicarakan mengenai paras rupa. Sepanjang saya disana, saya akan pasti diteka berasal dari

Pakistan/ India.

Cuma para pekedai sahaja yang dapat meneka saya dari Malaysia. MasyaAllah.

Saya akui saya mudah gelap. Berjemur selama 20 minutes sahaja sudah pasti membakar kulit saya. Apatah lagi 43 hari di Haramain. Gelap sekali saya semasa berada disana. Sehingga pulang ke rumah, adik bertanya - kenapa kakak gelap sangat? Ini pun sudah cerah sedikit akibat berkurung di hotel di Madinah.

Aduhai.

Pasti berkecil hati Abah, putrinya yang seorang ini disangka datang dari pelosok sana. Ah, ingin saya tulis sekali lagi, Abah saya sebenarnya jauh lebih putih dari Bonda, arwah menjadi gelap akibat ubat kimo yang dimakannya. Kadang-kadang saya bertanya - benarkah saya anak kandung mereka? Lempang sahaja saya ini kerana berfikir bukan-bukan.

Beberapa kejadian ngeri yang berlaku menjadi saksi bahawa mereka menyangka saya datang dari bumi bertuah itu.

Antaranya, semasa di toilet yang berdekatan dengan Pintu 45, seorang wanita India yang bersama-sama menunggu telah menegur saya - India? Sambil menunjuk diri saya. Saya tergelak-gelak, No, Malaysia. Fuh.

Semasa saya membeli kek di kedai jual roti dihadapan hotel, seorang perempuan dari Myanmar menegur saya - Pakistan? No, jawapku, Malaysia. Oh I thought you are from Pakistan bla bla bla, yang butirnya tidak saya ingat kerana sibuk mengira jumlah kek yang hendak dibeli. Fuh.

Semasa membeli buku di kedai buku berdekatan dengan Sofwa Tower, pengurus kedai mengatakan mustahil saya berasal dari Malaysia. Pasti nenek moyang saya berasal dari Pakistan. Tuan, dalam darah saya, setahu saya, cuma ada darah melayu Malaysia dan Indonesia.

Semasa di dalam saf menunggu waktu solat, seorang ibu muda yang berasal dari Myanmar tetapi lahir di Saudi Arabia asyik merenung saya. Ya, saya tahu dia pasti menyangka saya sebangsa dengannya. Aduhai.

Semasa saya memberi nasi ayam kepada perempuan dari Indonesia, terus ditanya 'Halal'? Ah, ibu, saya bisa berbahasa Melayu! Saya tahu beliau tidak dapat meneka saya berasal dari Malaysia, akibat dari cara pemakaian tudung saya.

Dan yang paling memilukan, semasa bermiqat di Tana'im, seorang pakcik tua dari India, menyapa saya dalam bahasanya! Pada mulanya tidak saya endahkan, kerana ya, mana saya tahu dia mahu bercakap-cakap dengan saya? Setelah beberapa tapak kedepan, baru saya perasan yang dia menyapa saya. Pakcik, ampun, ana lak afham.

Di Makkah, saat musim haji, jemaah haji dari seluruh dunia datang berkumpul. Tidak perlu ke London untuk ketemu pelbagai jenis bangsa manusia. Disini, tidak ada seorang pun berwajah serupa (mungkin ada kembar, tapi tidak saya ketemu). Disini saya mengenal mereka mengikut bendera yang kadang-kadang diletakkan di pakaian mereka. Atau meneka melalui warna kulit mereka, seperti manusia-manusia lain yang lakukan terhadap saya. Masing-masing punya warna kulit tersendiri, rupa paras tersendiri, karektar sendiri. Ada yang tampan sekali, ada yang biasa-biasa, ada yang huduh di dalam piawaian kecantikan manusia. Tapi manusia telah diciptakan dengan begitu sempurna sekali. Sesekali saya merenung keindahan wajah mereka, ada yang gelap, gelap sekali. Ada yang putih, masyaAllah, putih sekali. Ada yang mancung, ada yang pesek. Ada yang tinggi sekali, ada yang kecil sekali.

Tapi yang pastinya kami berkongsi banyak perkara. Salah satunya adalah Tuhan yang satu. Cinta pada Rumah-Nya. Ketekadbulatan untuk mengerjakan haji.

Saya tidak berkecil hati disangka Indian, atau Pakistani. Rakan saya disangka dari Turkey/Iran. Yang lagi seorang jua disangka dari India, tapi ramai jua menyangka dari Indonesia. Saya tahu putih itu menawan. Tapi, ras rupa sudah tidak penting pada saya, asalkan cukuplah kehadiran saya, meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengan saya.

Pastinya saya harapkan kesan itu, adalah kesan yang paling baik pernah saya tinggalkan.





















KISAH HAJI- ZIARAH DALAM

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim.

Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhamad, Wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, semoga kita sentiasa berada didalam perlindungan Allah swt. Dan mendapat rahmat-Nya didalam setiap apa yang kita lakukan. Saya berlindung dengan-Nya daripada sifat-sifat munafik dan riak', berbuat ingin diketahui ramai.

Kali ini saya ingin menceritakan mengenai ziarah dalam. Ziarah dalam ini bermakna kami cuma melawat kawasan sekitar masjid dengan berjalan kaki. Ziarah luar yang memerlukan kenderaan. Pada mulanya, kami bercadang mahu mengikuti ziarah dalam pada hari Isnin, tetapi terlepas kerana beberapa sebab. Bukan kami sahaja, malah, ramai jemaah haji yang terlepas ziarah ini kerana berlakunya salah faham diantara penganjur dan kami.

Syukur, ziarah dalam diadakan sekali lagi pada hari Selasa, dan Jumaat nya itu kami akan bertolak ke Arafah, insyaAllah. Kami bertekad untuk mengikuti program ini, kerana ini adalah program ziarah dalam terakhir untuk musim haji ini. Solat subuh kami tunaikan di 'surau' Hotel Taiba, kerana kalau mengikut jangkaan kami, sekiranya kami bersolat di masjid, kami akan terlepas lagi ziarah dalam ini.

Tepat 7.30 pagi, Ustaz Razak yang mengetuai program ini muncul. Rupanya, semua jemaah haji dari pelbagai hotel akan turut serta, mereka ini jua dari tabung haji travel, cuma berlainan pakej. Disebabkan pihak polis/askar Masjidil Haram tidak membenarkan penggunaan mic, ustaz terpaksa menguatkan suara sekiranya berbicara. Masuk akal sekali peraturan ini. Bayangkan sekiranya penggunaan mic dibenarkan, idok ke bising kawasan masjid kerana beratus-ratus kumpulan menjalankan ziarah dalam!

Destinasi pertama adalah tapak rumah Saidina Abu Bakar r.a, dimana sekarang KFC telah didirikan. MasyaAllah, terperanjat saya mendengarnya. Tidak saya ketahui lansung sebelum itu, sedangkan KFC adalah tempat pertemuan kami semasa menunggu rakan-rakan pulang dari solat.

Dan kemudiaannya ke tapak rumah Arqam bin Abi Al-Arqam yang sekarang adalah sebahagian dari masjid. Dan menuju ke perpustakaan yang dahulunya adalah tapak rumah Rasulullah dilahirkan.

Kemudian, ditunjukki rumah Rasulullah saw bersama Saidina Khadijah r.a yang kini dijadikan tandas wanita, berdekatan dengan bukit Marwa. MasyaAllah!!! Tidak masuk akal sekali pihak Arau Saudi ini. Kalau didirikan kedai boleh diterima lagi, tapi ini, ini, tandas perempuan! Rumah dimana anak-anak Rasulullah saw dilahirkan, rumah dimana Penghulu Wanita di Syurga, Saidina Fatimah r.a dibesarkan! Kalaulah saya boleh mencela pemerintah Arab Saudi ini, sudah lama saya lakukan secara berlebih-lebihan. Saya mengerti perasaan taksub sebahagian manusia kepada Rasulullah saw. Mungkin Kerajaan Arab Saudi merasa risau dengan keterjagaannya rumah Baginda, perbuatan bid'ah dan kurafat akan menjadi-jadi. Tetapi dengan menjadikan tapak itu sebagai tandas? Sedangkan tempat J.W.W Birch mati dibunuh di Pasir Salak sahaja kerajaan Perak jagakan, ini kan sepatutnya pula Rumah Rasulullah, Habibullah - makhluk paling agung diantara seluruh jagat raya, tidak dibatasi sempadan masa dan waktu. Allahim.

Bukit tempat Nabi Ibrahim a.s menyeru manusia supaya mengerja kan haji, telah dibina istana raja. Macamlah tiada tempat lain mahu dibina. Dibukit ini jua dengar-dengar khabarnya batu hajar aswad dijumpai oleh Jibrail, lantas menyerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk diletakkan di sisi Ka'abah.

Semasa ustaz bercerita kepada kumpulan kami, ada sekumpulan lelaki dan wanita dari Pakistan, atau India yang sedang enak menikmati sarapan pagi mereka. Saya melemparkan senyuman kepada pakcik tersebut semasa mahu duduk. Dan beliau mempersilakan saya menjamah roti bercicahkan fresh cream itu. Dek kerana Ija telah mengajar - elok lah jamah kalau ada orang pelawa - saya cuma mencubit sedikit roti sambil mengucapkan terima kasih.

Terus sahaja beliau mengoyakkan sebahagian besar rotinya, dan memberikan kepada saya. Ya Allah, malu bukan kepalang saya kepada ahli jemaah haji yang lain. Beliau jua menuangkan teh dari flask, dan menyuruh saya minum. Puas sudah saya menolaknya, Allahim, makin ditolak, makin dipaksanya saya minum dan makan. Saya terus menunjukkan rakan-rakan yang lain, yang masih malu-malu mahu duduk disebelah saya. Apalagi, dengan pantas pakcik itu memberikan roti yang lain kepada kami! Dan dipaksanya isterinya menuangkan teh yang hangat untuk kami. Sumpah, itulah teh tersedap yang pernah kami rasai, seumur hidup kami.

Dalam malu-malu menolak pelawaan pakcik tersebut, kami mencicah roti dengan teh itu. Hahahha.

Pulang dari ziarah, kami melihat seorang pakcik tua mengais makanan burung. Itu tidak apa lagi, saya sempat melihat beliau memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya - hasil kaisannya. Hati mana yang tidak luruh? Berderau hati saya melihat pemandangan itu - Ya Tuhanku, ini tetamu-Mu. Dan lantasnya saya meminjam duit Ija untuk dibelikan kek dan air minuman. Saya lihat, sudah ada seorang lagi pakcik yang turut sama mengais mencari makanan. Allah Allah Allah.

Semasa saya memberikan mereka makanan dan minuman, pakcik pertama mengucapkan Bismillah hir-Rahman!, dan pakcik kedua bercakap dalam bahasa yang tidak difahami. Doakan kami, pakcik-pakcik yang dimuliakan, doakan kami memperolehi haji Mabrur.

Itulah sahaja harapan kami. Doakan kami. Doakan kami memperolehi haji Mabrur.

Sepanjang pulang ke hotel, hati saya menangis basah. Malu pula mahu menangis didepan rakan-rakan. Truly, I'm truly a labour economist.













Saturday, 10 December 2011

KISAH HAJI: HOTEL - BILIK DAN MAKANAN

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, Wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang sentiasa dihati,

Moga-moga kalian tetap berada di Jalan-Nya. Meskipun pahit, saya doakan kita sama-sama tetap melangkah, biar mungkin terpaksa mengesot, atau merangkak, tetaplah kedua belah kakimu, sahabat. Biarkan magis doa-doa kita berterbangan di jagat raya.

Kali ini saya mau menceritakan tentang keajaiban hotel saya. Ya, kami adalah pakej termurah diatara semua pakej yang ditawarkan, makanya, hotel yang kami dapat pun setanding dengan bayaran. Tetapi, tuan-tuan sekalian, bilik yang kami perolehi, masyaAllah, luas, bersih, indah. Tidak busuk seperti bilik-bilik yang didapati semasa umrah. SubhanAllah. Alhamdulillah. Tapi bagi yang sudah biasa menginap di hotel 5 bintang - I rest my case. Kami menginap di Tingkat 14. Setiap pagi dan petang, saya selalu mengintai di balik jendela memerhati lautan manusia yang menuju ke Masjidil Haram, atau pulang dari Masjidil Haram. Jalan raya bertukar menjadi putih. Berbondong-bondong manusia menyahut seruan-Nya. Agak memalukan bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid tetapi tidak mengambil peluang ke sana, sedangkan jemaah-jemaah lain, terutamanya dari Indonesia, Pakistan, India, Afrika dan entah dari negara mana lagi, yang tinggal 1-5 kilometers dari Masjid, sentiasa berebut-rebut mencari tempat di Masjidil Haram. Aduhai!

Bilik kami sejuknya ya ampun kalau angin sedang bertiup kencang. Tapi bonusnya, kami mudah melihat bulan dan bintang. Tetapi, bintangnya kadang-kadang hanya sebutir. Rakan saya menjelaskan ketidakhadiran bintang-bintang ini, Masjidil Haram telah diterangi dengan lampu-lampu neon, yang menyebabkan langit tercemar. Hasilnya, beribu-ribu bintang dilitupi awan.

Tapi, tuan-tuan sekalian, pabila bulan muncul, bersama-sama dengan bintang-bintang, indah bukan kemain. Allahim! Terutamanya pabila tiba hari-hari menjelang wukuf.

Saya suka membasuh kain. Mungkin jua penyakit ini berjangkit dengan rakan sehaji yang lain. Mau menggantung pakaian yang sudah dibasuh, tidak tahu dimana, pada mulanya. Tali sudah dibawa. Mulalah para 'engineers' berfikir gimana caranya mahu menggantung pakaian dengan paling efficient di dalam bilik. Saya lihat sahaja. Ah, memang saya ini benar-benar seorang economist.

Akhirnya, selepas tidak berjaya menggantung tali dibilik, kami ke tingkat 18, dataran yang dibenarkan menyidai pakaian. Mereka menggunakan sepenuh kekuatan dan keupayaan menggantung tali membuat ampaian. Disini, kalau menyidai pakaian di waktu pagi, selepas zuhur sudah boleh mengangkatnya. Panas bukan kemain. Disini jua boleh melihat seluruh pemandangan bandar Makkah (dari sisi ini). Berbukit-bukau. Bongkah-bongkah batu disana sini.

Disini jua disediakan surau berbumbungkan langit. Solat jemaah diadakan pada waktu Subuh, Isya' dan Maghrib, tidak pada waktu Zuhur dan Asar kerana ia terlalu panas. Pertama kali saya mengikuti solat jemaah dihotel akibat sakit, saya terpana. Saya dapat melihat jam 'Allah' itu, tuan-tuan sekalian! Ah, mendidih jua darah saya, segala pembangunan ini, Kota Makkah tidak memerlukannya. Ia kota suci. Kota ibadat. Bukan kota peranginan atau kota lawatan. Kalau dibuat asrama untuk jemaah haji yang tidak mampu, boleh diterima akal lagi, tapi ini untuk penginapan bagi mereka yang kaya raya. Yang pakej hajinya antara RM50,000 - RM100,000+.

MasyaAllah.

Tetapi hati saya cepat sejuk selepas melihat si Bintang Timur itu. Benarlah, kalau terasa mahu marah, lihatlah langit - yang membawa sejuta ketenangan dan kebahagiaan.

Ramai jemaah haji memberi komentar yang tidak enak didengar mengenai makanan. Mendidih jua telinga saya mendengarnya. Bagi saya yang tinggal diasrama di luar negara ini, yang tidak sempat memasak, malas memasak, tidak ada bahan memasak ini, makanan yang disediakan untuk kami, para jemaah haji, adalah terlalu mewah. Dengan sarapan paginya yang selalunya punya dua jenis makanan (contoh mee goreng dan bubur nasi), dengan makanan tengahari dan malamnya yang pastinya punya dua lauk, keropok, buah-buahan, roti dan teh yang disediakan untuk 24 jam, ini sudah seperti syurga bagi saya. Kadang-kadang kami dihidangkan udang dan ketam. SubhanAllah. Dan ikan yang sangat segar dari jeti.

Memang sukar mahu jadi hamba-Nya yang bersyukur, bukan?


































KISAH HAJI: SURAT PERCINTAAN DAN KEAMANAN

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga Allah swt memuliakan anda di pagi Ahad ini. Ahad sudah, serasa baru sahaja saya membuat ziarah wida', dan lansungnya terbang pulang. Allahim.

Meneruskan penceritaan saya, semoga usaha dan amal ini diberkati dan diganjari, semoga kita dijauhkan sifat-sifat munafik dan riak', semoga kalian dapat mengambil manafaat diatas cerita dibawah.

Sebelum kami sampai ke hotel kami di Makkah, kami diberi sekotak hadiah (tapi kami dapat dua kotak seorang), yang berisikan pastries, air mineral dan air kotak. Ia adalah hadiah dari Ministry of Hajj, tidak silap saya. Di luar kotak itu tertulis: Surat Percintaan dan Keamanan. Tergelak-gelak kami, kerana bahasa omputihnya - The Message of Love and Peace!

Kami jua mendapat gelang getah dan kad maktab yang harus kami pakai sepanjang keberadaan kami disini. Gelang getah berwarna biru itu tertulis segala informasi yang diperlukan sekiranya kami tersesat atau hilang. Maktab kami adalah Maktab 99, dibawah kumpulan South East Asia Pilgrims. Saya malas betul mahu memakainya. Ini kerana Tabung Haji Travel (THT) telah memberikan saya seutas gelang besi yang sehingga kini saya pakai, bertuliskan nama penuh saya dan IC no di baliknya. Di luarnya, tertulis Malaysia dan nombor telefon. Owh, saya sangat suka gelang ini, saudara-saudara sekalian, terasa macam masuk askar gitu. Dari kecil lagi saya mahu pengenalan diri seperti ini, mudahlah mayat saya dikenali orang, insyaAllah.

Sesampainya kami hotel, kami diarahkan solat dan makan, dan kemudiannya selepas maghrib/isya' akan dibawa ke Masjidil Haram untuk tawaf Qudum. Tapinya, ya, takdirnya, selepas solat Asar sahaja saya sudah melelapkan mata, hingga kami terlepas untuk membuat tawaf Qudum bersama-sama kumpulan kami- KT 73. Aduhai mata yang jarang sekali mendengar arahan, kasihan dia.

Makanya, kami ke MasjidilHaram dalam lebih kurang 3 pagi. Hotel kami dekat sahaja, 450 meter dari masjid, alhamdulillah. Dan sepanjang perjalanan, air mata tumpah kerana membaca talbiah.

Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah.

Siapa yang berani untuk mengengkari panggilan-Nya ini?

Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke masjid, tangan saya seram sejuk, pelbagai cerita negative mengenai ketidakdapatan melihat Ka'abah berlegar di fikiran.

Tapi syukur, saya dapat melihat Baitul Allah Haram ini, aduhai Ka'abah yang mulia, kami datang membawa pelbagai dosa dan harapan!

Seusai solat tahayatul masjid dan solat-solat sunat yang lain, kami bercadang mahu buat tawaf Qudum, tapi dihalang oleh askar yang bertugas. Amboi. Katanya, ada lagi satu jam mahu Subuh, takut kami tidak mampu menghabiskan tawaf dalam masa itu.

Ah, kalian yang mengenali saya pasti tahu saya ini berani. Tidak saya endahkan larangan askar itu, dan memasuki lingkaran tawaf, tetapi itupun setelah askar itu pergi. Hehehe. Dan sepanjang tawaf Qudum itu, air mata terlalu murah, pertamanya terlalu bersyukur kerana menerima panggilan-Nya. Keduanya, terlalu bersyukur dengan Kemurahan-Nya. Dan ketiganya, terasa terlalu kerdil dengan Keagungan-Nya. Dan pastinya kenangan bersama Abah dan Mak sentiasa dihati.

Selamat datang, Nur, selamat datang ke rumah-Ku.

Oh Tuhanku. Terasa pecah dada ini.

Dan pabila telah selesai tawaf Qudum itu, kami mencari-cari tempat untuk solat sunat tawaf. Dek disebabkan orang ramai sudah mula membanjiri kawasan masjid, pencarian kami mengambil masa yang agak lama. Dan askar-askar menghalang kami dari menunaikan solat disetengah-setengah kawasan. Pada masa itu kami tidak tahu bahawa terdapat kawasan berbeza untuk lelaki dan perempuan.

Hentam je lah Kak, saya ujarkan pada Kak As. Kita cuba solat disini, tunjuk Kak As pada satu tempat.

Walaupun seorang askar memarahi kami, tapi disebabkan kami sedang solat, beliau tidak boleh membuat apa-apa. Dan semakin ramai yang membuat saf sebaris kami. Akhirnya, kami dibiarkan dengan aman untuk solat, alhamdulillah!

Dan kalian tahu? Kami solat directly nampak Ka'abah. Allahim.

Ditengah jutaan manusia, alhamdulillah kami dapat tempat, walaupun sedikit berasak, dan diberi rezeki melihat Ka'abah. Dan kalian pasti tahu, melihat Ka'abah sahaja sudah mendapat 20 rahmat Allah? Sang Maha Pemurah, Engkau terlalu pemurah untuk hamba-hamba-Mu yang penuh dosa ini.


Ah, sampai disini dahulu, ya? Mahu jumpa Dia.


Salam sayang.





































Friday, 9 December 2011

KISAH HAJI: KAMI MASIH TERLALU MUDA

Salams,

Bismillah hir-rahman nir-rahiim,

Allahumma Solli "Ala Saidina Muhamad, wa'ala Aa'li Saidina Muhamad,

Sahabat-sahabat yang dikasihi, yang sentiasa dihati, yang sentiasa mempercayai keajaiban, yang mencintai kebenaran, yang mencari erti kehidupan sebenar.

Yang sentiasa mempercayai kekuatan doa.

Yang sentiasa memerangi segala seteru; diluar dan didalam diri.

Alhamdulillah, kerana diberikan peluang untuk menulis lagi. Seperti perasaan Prof. Kamil, saya jua agak ragu-ragu mahu mencoretkan pengalaman-pengalaman indah di sana. Bimbang dikatakan riak', takbur dan segalanya. Tetapi sekiranya segala tindakan kita niatnya berpaksikan kepada Allah swt, insyaAllah segala pandangan manusia akan menjadi enteng belaka. Bukankah Allah swt sudah berfirman: "dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (sebagai tanda bersyukur)" - Ad-Dhuha 93-11? Semoga segala kisah ini, akan menambahkan iman saya dan kalian dan meneguhkan pendirian kita terhadap Kebesaran-Nya.

Ramai yang bertanya, muda-muda sudah berhaji, kalian memang sudah lama minta kah? Tidak, jawap kami, surat rayuan kami hantar pada hari terakhir. Dan memang sudah rezeki kami yang amat besar, dipanggil mengerjakan Haji tahun ini. Kami memohon pakej yang dikelolakan oleh Tabung Haji pada akhir bulan 5. Mengapa? Kerana kedangkalan kami, kami tidak tahu ada syarikat-syarikat lain yang turut sama menawarkan pakej haji. Lagipun, Abah kata eloklah poie dongan Tabung Haji. Mudah. Mengapa kami tidak pergi secara muasasah? Kerana kami sudah cukup wang (yang dikorek sana sini, yang didermakan oleh ibu bapa kami), dan saya terutamanya, cukup bimbang dipanggil Ilahi ke alam barzah sebelum sempat menunaikan Rukun Islam yang terakhir ini. Makanya, kami perlu pergi secepat mungkin.

Menunggu panggilan secara muasasah memerlukan beberapa tahun lagi, mungkin belasan, mungkin puluhan.

Segala urusan permohonan berjalan dengan lancar. Tetapi, masih ada kebimbangan permohonan kami ditolak. Ya, kami terlalu muda untuk pergi. Ya, urusan visa yang amat memeningkan kepala itu diluar kekuasaan Tabung Haji. Segala ketidakpastian selepas memohon terjawap ketika menerima surat tawaran. Sewaktu Ija menelefon Kak As untuk memberitahunya, beliau menangis teresak-esak. Sukar dipercayai, kerana beliau memang amat jarang menangis. Saya masih di UK ketika itu, menyelesaikan segala urusan akademik saya. Dan sewaktu menerima sms dari mereka, saya menangis semahu-mahunya.

Tuhan, Kau panggil jua hamba mu yang paling hina ini. Yang punya dosa yang tidak terpikul lagi. Yang sudah tidak punya imam lagi. Yang kekhilafan dan kejahilannya meliputi langit dan bumi.

Saya tidak pernah yakin bahawa Sang Maha Pengasih itu akan memanggil saya. Saya takut. Bimbang. Seribu kebimbangan bersarang dihati. Terbayang cerita-cerita ngeri bahawa ramai sahaja yang sudah menerima surat tawaran tetapi terpaksa di batalkan diatas pelbagai sebab - visa dibatalkan, sakit, kematian, ketidakcukupan wang, dan pelbagai masalah yang melanda disaat-saat akhir. Ada yang sudah menaiki kapal terbang terpaksa turun, dihalang berpemergian. Bahkan saya dengar, syarikat Andalusia, seramai 700 orang masih menunggu visa. Dan salah satu syarikat di Pahang, hanya 300 visa sahaja diberikan.

Benarlah - LabbaikAllah humma Labbaik. Semua ini, adalah panggilan-Nya. Jemputan-Nya.

Kemari, Nur, kemari ke Rumah-Ku. Mari menjadi tetamu-Ku.

Tuhan, Engkau terlalu Mulia untuk memanggil ku yang teramat hina dina ini, yang terlalu cetek pengetahuannya mengenai menasik Haji, yang bergelumang dengan dosa dan kejahilan. Meskipun demikian, Engkau terlalu Akbar, Terlalu Pengasih untuk tidak menyambut lantunan hatiku ini.

Kepada kalian, kuatkan hati untuk mengerjakan haji sewaktu muda. Haji adalah physical movements. Dahulu saya tidak faham mengenai hal ini, tetapi setelah melaluinya, syarat pertama untuk kesana perlulah sihat tubuh badan dan minda yang cerdas dan terbuka. Jangan dirisau anak-anak di rumah, ibu-bapa di kampung, ayam itik di lumpur, lembu kambing di kebun, kerja-kerja dipejabat, itu semua urusan Allah swt untuk Menjaganya. Bukan kah dia - Al-Hafizd? Sang Maha Pemelihara? Bahkan, bukankah Dia yang Memelihara kita selama ini?

Sewaktu dihantar oleh kaum keluarga di Tabung Haji Kelana Jaya, keluarga Ija yang kebanyakannya saya kenali turut sama memeluk saya. Saya kuatkan hati supaya tidak menangis teresak-esak sewaktu dipeluk Emak dan adik-adik. Sesampai diatas bas, didalam kegelapan, barulah saya berani menumpahkan air mata. Perjalanan paling agung ini, tidak disertai dengan lambaian dari Abah. Abah yang sepatutnya pergi bersama-sama. Atau turut sama menghantar saya, mendoakan saya, memeluk erat saya, mencium pipi saya.

Allah Ar-Rahiim, cukuplah Engkau sebagai galang gantinya.

Didalam kapal terbang, saya lebih banyak mendiamkan diri. Dan sesampainya di Qarnul Manazir, kami bermiqat di atas kapal terbang, dan saat itu, saat membaca talbiah berulang kali, hati saya seakan pecah. Seakan masih tidak percaya bahawa akhirnya saya menjadi Tetamu-Nya. Yang panggilan-Nya saya sambut berkali-kali.

Sewaktu di Lapangan Terbang Jeddah, dan akhirnya memijakkan kaki ke dalam Hotel Taiba di Mekkah - barulah saya percaya, ya, Dia, Dia Tuhan Yang Amat-Amat Pengasih lagi Mengasihani itu, berkenan menerima saya menjadi tetamu-Nya. Alhamdulillah, Ya Allah. Alhamdulillah hi Robbul A'lamin.

Ka' abah, akan saya tatap dan lemparkan segala kerinduan yang selama ini bersarang didada esok.

Disaat ini, saya sudah terlalu penat, emotionally and physically, to even think about anything. Yet, I'm overjoyed. This is my home. I'm home, at last.


























Wednesday, 7 December 2011

ALHAMDULILLAH

Salams,


Bismillah hir-rahman nir-rahiim.

Allahhumma Solli A'la Muhamad, wa'ala A'li Muhamad.


Saya baru tiba semalam dari Madinah, dengan penerbangan Saudi Arabia. Alhamdulillah, syukur dengan nikmatNya yang tiada taranya.

Cukup saya katakan untuk post kali ini, bahawa untuk ibadah haji, pergilah sewaktu kalian masih muda, dan kalau mampu, diulangi lagi saban tahun.

Saya demam di Madinah. Hati ini terubat ketika tahu bahawa Saidina Abu Bakar r.a dan Bilal jua demam sekembalinya dari Haji. Ah, mungkin jua hati saya tertinggal di pancur emas di Hajar Ismail.

Dan mahu tahu? Saya ngga pernah mimpikan Abah. Seteruk mana saya menangis, merayu dan merintih pada Allah Yang Maha Esa supaya diberikan peluang bermimpikan Abah, tidak pernah doa itu diperkenankan selama ini.

Dan saya mimpikan Abah sebanyak 4 kali semasa di Mekkah.

SubhanAllah. Allahu Akbar!

Terlalu banyak kisah-kisah indah yang berlaku sepanjang pengembaraan ini.

Dan doa-doa kalian, telah saya titipkan ke langit biru, semoga doa-doa kita diangkat dan tidak dihijab dek terlalu hinanya kita dengan dosa-dosa.

Jumpa lagi, insyaAllah kalau umur panjang, akan saya kisahkan segala keindahan yang berlaku di sana, tanah yang sangat suci, lagi mulia, tanah yang penuh berkah, dan kota-kota yang penuh dengan keajaiban.

How I wish I was there.






















Sunday, 23 October 2011

ODAI, ABAH AND FAREWELL

Salams,


1
Membuat persiapan terakhir. Bonda yang mengemaskan semua barang-barang, alhamdulillah. Saya ini odai, saat akhir masih keluar membeli barang-barang yang diperlukan. Sungguh mahal hidup di Malaysia ini *sigh*. You, all the menteri-menteri, please be prepared to answer to Allah swt in the Judgement Day.



2
I wish Dad is here, I have so many things to ask. Inilah padahnya tidak masuk kelas. I was thinking of visiting his grave tomorrow morning. To say good bye. My heart feels that it has been ripped apart, a million pieces. Cik Peah and Cik Som came to visit us this morning, and Mum cried stating that Dad has been gone for 4 months and 22 days. I haven't realise it. Dad, Abah. I think he sorts of knowing that I'll be answering the call from Allah swt, The Summoner. And I imagine he will wave me good bye, for sure praying for me.

Abah, I really really really miss you. I wish you were with us. I'll go to Haramain tomorrow, where we have visited it together 5 years ago. I know you have the intention to go for hajj this year with me, alas. Alas...



3
I do not have enough time, but I do want to leave you with this beautiful, beautiful reminder. In fact I think this is the most magnificent wake-up call for me.

From Imam Al-Ghazali's book, Penenang Jiwa, interpreted by Muhammad Qadirun Nur:

Allah s.w.t telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa a.s:

"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada jasadmu, daripada cahaya penghilatanmu kepada matamu, dan daripada pendengaranmu kepada telingamu, maka perbanyakkanlah membaca selawat kepada Nabi Muhamad s.a.w."

I don't know about you, but for me, what is the nearest thing between the roh and the jasad? Nothing except the death. Yet, if we want Allah swt to be closed to us, closer than the roh in jasad, we need to, we must to, we have to, recite Selawat as much as we can.

Selawat, yuk?

Farewell, my friends, until we meet again, insyaAllah.

LabbaikAllah humma labbaik.





Mush dash!
Love, as always.