Peristiwa ini berlaku baru lagi. Dalam sebulan dua yang lepas. Waktu itu, saya dan adik “mithali” saya baru selesai menghabiskan wang di sebuah kedai buku yang sangat terkenal berhampiran dengan Raba’ah Adawiyah. Semua orang Malaysia di Cairo pasti tahu kedai buku yang mana satu. Tak lain tak bukan, kedai buku yang bernama Maktabah I’lam.

Berbelanja di sini sangat mengasyikkan. Kalau masuk memang tak ingat nak balik. Boleh habis beberapa jam kalau membelek buku-buku dan barang-barang yang dijual di situ. Memang sangat menarik barang-barangnya lebih-lebih lagi bila dah nak masuk Ramadhan ni. Ada poster, kutayb (buku kecil atau pamplet yang memuatkan tazkirah) cenderamata dan hadiah seperti keychain, bookmark, beg, jam dan macam-macam lagi.

Tapi yang paling menarik adalah barang-barang berasaskan Palestin seperti tabung, serban atau mafla, poster dan beg yang dikait dengan benang warna bendera Palestin(cantik sangat beg ni tapi siapa nak beli yang ni kena tempah dulu). Kalau nak balik Malaysia boleh beli banyak-banyak untuk dijadikan hadiah buat sanak-saudara. Belum lagi cakap pasal buku dan majalah-majalah di sini. Semuanya sangat menarik dan bermanfaat. Tambahan pula banyak buku yang ditulis oleh penulis-penulis kegemaran saya. Oh, syurga dunia! Atau bak kata orang putih, heaven on earth!

Baiklah, kembali pada cerita tadi. Dipendekkan cerita, sampai di kaunter pembayaran, bersama dengan buku-buku dan barang-barang menarik (yang diambil diluar kawalan)oleh saya dan adik “mithali”, si penjaga kaunter pun mengira semuanya. Harganya LE 230 sahaja! Gulp. Dahsyat juga kita berbelanja! Baru sedar diri waktu itu. Apa nak buat. Nak buang balik buku dan barang-barang yang dah pilih tadi macam tak sanggup. Sayang. Yang ini best, yang itu best. Tanya juga si penjaga kaunter kalau-kalau boleh tawar lagi. Ini yang dia kata;

“Kamu dari Malaysia?”

“Aiwah”

“Kalau begitu, Malaysia dah jadi Daulah Islamiyah nanti, baru saya boleh bagi harga murah. Bukan itu sahaja, kamu juga boleh buka cawangan kedai ni di Malaysia dan jadi taukenya.”

“Oh, bilakah?!”

Bayar sahajalah harganya. Insya Allah Daulah Islamiyah akan tercapai suatu masa nanti. Cuma masih dalam usaha.

Belum habis cerita lagi.

Keluar dari kedai, berfikir-fikir sambil berjalan ke perhentian bas. Dan sambil menyedapkan hati kerana telah menghabiskan wang dengan agak dahsyat tadi.

” Habislah kalau abah tahu kita beli macam-macam sampai 200 lebih kat sebuah kedai buku dalam masa sehari. Rasa macam boros je tadi. Ikut sangat nafsu nak itu ini”

“Ala, takpe je kan. Bukannya kita beli benda-benda merapu. Buku-buku tu pun untuk dibaca dan ambil manfaat. Boleh improve Bahasa Arab. Poster-poster tu pulak boleh bagi hadiah kat mad’u dan kawan-kawan. Ok apa. Kalau niat kita baik, ikhlas nak menuntut ilmu, tak membazir pun kan kan?”

“Betul betul betul”

“Tapi lepas ni kena buat budget betul-betul. Berapa peruntukkan untuk buku dalam sebulan. Habislah kalau macam ni selalu”

“Ok, yang penting apa yang kita buat tadi kerana Allah!”

Cewah, semangat betul nak menenangkan hati masing-masing.

Berjalanlah kami sehingga ke perhentian bas.

Sampai di sana, ada seorang lelaki yang tak tua sangat dan tak muda sangat memanggil dan melambai-lambai ke arah kami. Berpakaian agak kemas juga. Agak botak. Rupa ala-ala Maher Zain. Rasanya bukan orang jahat. Tapi takut nak melihat ke arahnya. Kalau-kalau nak buat sesuatu yang tak baik. Tambahan lagi saya pernah dikepung dan hampir dirompak oleh beberapa orang pengemis jalanan di kawasan tersebut. Tapi mereka tak berjaya kerana saya menjerit meminta tolong dengan sekuat hati dan menyebabkan mereka lari bertempiaran. Alhamdulillah Allah selamatkan.

Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga kami buat tak tahu sahaja dengan panggilan lelaki tadi. Akhirnya, lelaki itu mendekati kami. Takut juga pada mulanya. Tapi, bila dia memberi salam barulah rasa lega sikit. Dalam genggaman tangannya ada sesuatu. Sambil mengulurkan tangannya kepada saya dia berkata;

“Hazihi hadiyyah”

Tanpa sempat berbuat apa-apa. Dia terus berlalu pergi dengan sebuah kereta yang agak mewah berwarna hitam yang saya tak ingat jenisnya. Saya pun tak sempat nak bertanya apa-apa. Bila melihat apa yang telah diberinya. Kami tergamam.

2 keping wang kertas. Setiap satu bernilai LE 100. Jadi jumlahnya LE 200.

Bayangkanlah, bermacam-macam persoalan yang menerjah ke ruang fikiran waktu itu!

Siapakah dia dan mengapa dia berbuat demikian?

Adakah duit kami tercicir di pertengahan jalan tadi?

Tak mungkin. Dah tak ada duit nak tercicir sebab dah guna semua masa membeli-belah tadi.

Atau kami bayar terlebih kat Maktabah I’lam tadi dan beliau memulangkan bakinya?

Takkanlah bayar lebih. Duit tu je pun yang ada tadi. Bayar tepat-tepat. Mana ada baki.

Lalu, apakah ini? Apa ni? Apa ni? Kenapa orang ni bagi duit kat kita?

Tiba-tiba teringat yang dia kata tadi;

“Hazihi hadiyyah” - “Ini hadiah”

Dengan serentak kami menjerit;

“La..tak sempat nak cakap terima kasih pun!!”

Peristiwa yang sangat memberi kesan.

Bila kami berfikir-fikir semula, seolah-olah kami hanya membelanjakan LE 30 untuk membeli-belah tadi!

Rasa macam dah boros dan membazir sebab membeli sampai LE 230. Tapi lihat bagaimana Allah menggantikan duit kami yang ‘hilang’ dengan sekelip mata.

Mungkin kerana kami membetulkan semula niat. Dan mungkin Allah nak tunjuk, tak rugi kita berbelanja untuk membeli buku-buku yang bermanfaat. Apalah sangat LE 230 tadi kalau nak dibandingkan dengan ilmuNya yang sangat luas. Tak mampu nak dibeli dengan wang ringgit dan Egyptian Pound. Kalau mampu membeli buku-buku satu Maktabah I’lam pun, belum tentu dah memiliki semua ilmu Allah di atas muka bumi ini.

Oleh itu, jangan kedekut sangat nak keluarkan duit untuk membeli buku-buku. Percayalah, tak rugi. Tapi yang penting, buatlah perancangan dan budget untuk membeli bahan bacaan supaya tak boros.

Peringatan khusus untuk diri sendiri.

Lagi yang memberi kesan, sifat pemurah yang ada dalam diri sebilangan rakyat Mesir ini. Dalam hiruk-pikuk Kaherah yang dipenuhi oleh orang-orang kota yang mementingkan diri, ditambah pula dengan sebahagian lain yang terhimpit dengan kemiskinan, masih ada orang yang baik hati, suka memberi dan bersedekah.

Memang ada sahaja orang-orang baik begini. Pernah saya bertemu seorang Mak Cik dalam Masjid Fatimah Az-Zahra’, Abbas Al-Akkad. Namanya Sumayyah. Beliau menghulurkan LE 50 selepas saya selesai solat. Katanya buat bayar sewa rumah. Kalau tak cukup dia nak tambah lagi. Saya kata cukup. Tapi dia tambah lagi LE 50.

Seorang sahabat saya pula, sedang duduk dalam tremco, van pengangkutan awam di sini, tiba-tiba ada seorang lelaki menghulurkan LE 100 dari tingkap di sebelah tempat duduknya. Memang rezeki yang datang tanpa disangka-sangka. Tunggulah Ramadhan nanti. Akan terserlah dan nampak lebih jelas kemurahan hati penduduk Mesir. Bukan mereka kaya sangat pun. Tapi kerana meyakini ganjaran dari Allah kepada orang yang bersedekah.

Mungkin juga pada hari tersebut, kami menjinjing beg plastik yang dipenuhi buku-buku yang berat di kedua-dua belah tangan dan orang tersebut sangat kasihan melihat kami lalu beliau menghulurkan wang kerana meyakini kami adalah pelajar yang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Harapnya begitulah. Sangat kagum dengan cara beliau bersedekah sebenarnya. Tanpa memperkenalkan diri. Tanpa menunjuk-nunjuk. Tanpa bercakap banyak. Hanya menyebut “hazihi hadiyyah”. Yang penting sedekahnya sampai.

Mudah-mudahan beliau mendapat ganjaran pahala sepanjang kami belajar di sini. Dan mudah-mudahan kami juga semakin bersungguh-sungguh dalam meneruskan musafir ilmu di Bumi Anbiya’ yang penuh barakah ini. Ameen.

Tak sabar menantikan Ramadhan. 3 hari lagi! :)