Bismillahhir-Rahman nir-Rahim
Assalamualaikum,
Sahabat-sahabat yang dikasihi, yang sentiasa dihati, yang sentiasa mempercayai keajaiban, yang mencintai kebenaran, yang mencari erti kehidupan sebenar. Entri untuk kali ini panjang sekali. Entah, mahu memuntah segala-gala yang terpendam selama 2 minggu ini.
1
Ah, sudah terlampau lama saya tidak meng'update' blog. Rindu bangat sama tulisan-tulisan sahabat-sahabat sekalian, saya keluar daerah dan tidak diberikan kesempatan oleh Allah swt untuk membuka laptop ataupun pc. Pulang-pulang, saya dapati beberapa sahabat maya sudah mem'private'kan blog mereka. Owh Allah swt! Hati saya gundah gulana, saya mahu sekali membaca tulisan-tulisan baru mahupun lama mereka. Sahabat yang menulis betapa indahnya hidup di Turki, sahabat yang menulis tentang ilmu dan kehidupan di Sudan. Sahabat, sudilah dikau sekiranya memberikan ku kesempatan untuk membacanya.
Saya jarang blog hoping. Melihat beribu-ribu blog yang sudah hilang rohnya kerana busuk dan huduhnya bahasa membuatkan saya mual. Kerana itu pabila beberapa sahabat maya yang sangat indah bahasanya sudah tidak menulis untuk memberikan peringatan secara halus, saya rasa kehilangan yang sangat besar. Bisa sahaja kita membaca blog-blog yang menulis secara direct untuk mendapatkan ilmu, tetapi saya, saya lebih mudah tersentuh dengan kehidupan harian yang dipaparkan secara bersahaja, tetapi menusuk kalbu. Bukan kan Al-Quran itu memberikan peringatan melalui kisah-kisah indahnya?
2
Saya melihat cantiknya senja di Kuala Perlis. Sesekali teringat Scotland dan Ireland. Indah, sangat indah. Berteman kan Bonda dan Ayahanda sambil mencicip delima, kami melihat matahari dengan senyumannya yang malu-malu merebahkan diri, mengucap selamat tinggal dan mahu pergi menyapa sahabat-sahabat di Timur Tengah, dan seterusnya di Eropah. Ya, bawalah salam cintaku kepada mereka. Ah, Kuala Perlis ini nakal sekali, menggemukkan saya dengan laksanya, serta makanan lautnya yang segar bugar, kurnian Allah yang tiada taranya pada pekan kecil ini.
3
Saya benci hospital. Mungkin jua kebencian saya berdasarkan ketakutan saya melihat pelbagai jenis penyakit yang membuatkan saya sangat sangat menggeletar jiwa raga. Allahu, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku. Jangan lah kami diuji dengan penyakit-penyakit yang akan membuatkan kami kufur, munafik, dan lantasnya dicampakkan di dalam api neraka. Bebaskan lah kami dari cengkaman penyakit-penyakit yang sangat ditakuti dan digeruni ini, yang memungkinkan kami kehilangan iman di atas Nama-Nama-Mu yang indah. Bantulah kami, kerana kami hanya hamba-Mu yang tidak punya apa-apa.
Bebaskan lah negara kami dari pengkhianat agama-Mu, yang hanya memikirkan kekayan materi tanpa menghiraukan penderitaan kami. Bebaskan lah negara kami dari cengkaman pembesar-pembesar yang jahat akal budi dan hati. Bebaskanlah negara kami dari pemimpin-pemimpin yang tidak sudah-sudah mahu memecahbelahkan kami, menabur fitnah, dan memakan harta kami. Bebaskanlah negara kami dari pemimpin-pemimpin yang kufur, munafik dan sentiasa mengajak anak muda kami berhedonism dan melupakan Engkau. Bebaskan lah negara kami dari ulama'-ulama' yang tidak mahu berkorban harta dan jiwa raga untuk menegakkan agama-Mu.
Janganlah Engkau menghancurkan negara kami kerana kemaksiatan dan ketololan kami. Janganlah Engkau menghapuskan kaum kami kerana dosa kami. Janganlah Engkau menghalang Rahmat-Mu kerana Kemurkaan-Mu. Tolongilah kami yang tidak berdaya ini, Ya Allah swt, tolongilah kami, tolongilah kami. Bukankah Engkau, Tuhanku, Yang Maha Gagah dan Maha Berkuasa? Kepada siapa lagi kami mahu memohon dan meminta? Ya Tuhanku, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang. Perkenankanlah permintaan kami.
4
Mungkin saya akan terbang lagi dua minggu, mungkin. Segalanya bergantung pada gerak hati yang saya mohon sungguh-sungguh datang dari ilham Ilahi. Saya sangat perlu menyediakan diri untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan buruk yang akan berlaku. Bahkan, saya kira saya sepatutnya sangat perlu menyiapkan diri untuk belajar mencintai takdir saya, bersabar dengan segala ketentuan Allah swt, Sang Maha Baik itu. Bahawa saya perlu belajar bersabar dengan sabar yang baik (sabron jamil), dan bertawakal ke atas segala perbuatan-Nya. Bahawa perancangan saya adalah lemah, bahkan perancangan Allah swt itulah sebaik-baik rancangan. Ah, sahabat -sahabat sekalian, bukankah kita ini sangat perlu bersedia untuk mati? Ya Allahu! Engkau Tahu benar bahawa lemahnya aku, janganlah Engkau meninggalkan aku walaupun sesaat, janganlah Engkau menyerahkan segala urusanku diatas pundakku sendiri.
Tapi, sahabat-sahabat sekalian, saya sangat benci kesejukan. Sangat. Mahu menghadapi hujan, ribut petir, angin puting beliung, salji yang membeku - ah, saya tidak mahu menjejakkan kaki ke tanah Inggris itu lagi pada saat ini. Waktu solatnya tidak menentu dan berubah setiap hari. Waktu dhuhanya, waktu tahajudnya, waktu sahurnya, waktu berbukanya. Inilah sabahat-sahabat sekalian, cabaran yang sangat besar sekali. Dan benar kata-kata Abah, hanya orang yang kuat sahaja mampu menghadapinya, kamu ini, kalau di campakkan ke laut pun, masih akan berjaya untuk survive. Abah, saya tidak sekuat itu. Bahkan, saya ini sangat lemah dan cengeng sekali untuk menghadapi takdir saya.
5
Lagi beberapa hari akan terbang dan meninggalkan segala yang dicintai disini, dan menuju segala yang dicintai disana. Hati saya yang basah ini, sentiasa sahaja basah dengan berduka diatas perpisahan. Tapi mengingatkan hati, menghiburkan roh dengan satu cerita yang sangat bererti pada diri saya. Seorang wanita lemah, miskin dan mungkin jua tua (maaf saya lupa!) menanyakan tentang keadaan suami, bapa dan anak-anaknya yang turut berjuang di Perang Uhud. Diberitakan bahawa mereka semua terkorban syahid, beliau cuma mengeluh kecil. Kemudian ditanya tentang keadaan Rasulullah saw, parajurit-parajurit Uhud memberitakan bahawa keadaan Rasulullah saw itu baik-baik sahaja. Wanita tua itu tidak percaya dan mahu melihat sendiri keadaan Rasulullah yang mulia itu. Dibawakan Rasulullah dihadapannya, mahu tahukah kalian apa kata-katanya yang menggugah gunung itu? Sambil tersenyum, wanita itu berkata:
"Apa-apa sahaja musibah yang menimpa, soalnya enteng sahaja kalau tidak mengena anda."
Allahu! Sungguh, Rasulullah saw yang masih tercarik hatinya diatas perlakuan kaum musyrikin yang mencincang dan merosakkan mayat Saidina Hamzah ra itu, merasa terhibur dengan hiburan yang khusus di hantar oleh Allah swt. Ya sahabat-sahabat sekalian, wanita tua dan miskin itu, yang kehilangan pergantungan kerana suami, bapa dan anak-anaknya terkorban syahid, hanya menyambut berita yang sangat gelap ini dengan keluhan kecil! Dan lebih membimbangkan keadaan Rasulullah saw daripada dirinya! Ujian kepada wanita itu sangat sangat sangat besar dari saya.
6
Thesis saya masih dalam pembikinan - maknanya secara formalitinya, saya masih perlu menulis lagi. Apa yang saya gusarkan adalah kehilangan semangat dan willpower untuk menyelesaikannya dalam tempoh yang sangat sedikit ini. Ya, membetuli niat, insyaAllah segala-galanya akan dipermudahkan. Bahkan saya ini tolol benar sebelumnya, kadang-kadang melakukan sesuatu kerana 'saja-saja'. Ah, rugi benar kantung pahala saya. Sudahlah kantung dosa beratnya bertan-tan, kerana ilmu yang cetek, saya terlepas peluang keemasan untuk menggandakan pahala saya. Sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah memandang remeh dengan perbuatan-perbuatan baik yang perlunya sahaja diawali niat kerana-Nya, hanya kerana-Nya.
7
Menonton Harry Potter mengingatkan saya kepada London. Sahabat di London, apa khabarkah anda? Masih bergelut kah dengan thesis mu? Masih sejuk benarkah di sana? Saya tidak pernah menyukai bandar-bandar besar. Saya datang dari bandar kecil. Bandar yang sangat kecil. Jiwa saya ngga akan pernah sebati dengan bandar. Canggung. Janggal. Walaupun saya menerima pendidikan tertinggi saya di luar negara, saya tidak pernah tinggal di bandar besar. Indah bukan takdir-Nya? Dia tahu benar saya ini budak kampung.
8
Sahabat, yakinlah, bahawa hidup ini, sangat indah.