Sunday, 11 December 2011

KISAH HAJI - PARAS RUPA

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'ala Saidina Muhamad, wa'ala 'Aali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga kalian tetap teguh dengan kalimah LailahaillAllah.

Saya perlu update sekerap mungkin, kerana bisa jua setelah saya terjebak dengan alam pekerjaan, saya tidak bisa lagi mengakses internet sesuka hati. Ya, alam pekerjaan yang insyaALlah akan menjadi modal dan pelaburan untuk saham akhirat saya itu. Walaupun saya lebih suka lagi alam belajar, well, alam bekerja jua pasti punya sesuatu yang manis.

Semoga tulisan saya kali ini bisa mendekatkan diri saya terutamanya, dan pembaca-pembaca yang dihormati sekalian ke hadrat Ilahi.

Kali ini saya ingin membicarakan mengenai paras rupa. Sepanjang saya disana, saya akan pasti diteka berasal dari

Pakistan/ India.

Cuma para pekedai sahaja yang dapat meneka saya dari Malaysia. MasyaAllah.

Saya akui saya mudah gelap. Berjemur selama 20 minutes sahaja sudah pasti membakar kulit saya. Apatah lagi 43 hari di Haramain. Gelap sekali saya semasa berada disana. Sehingga pulang ke rumah, adik bertanya - kenapa kakak gelap sangat? Ini pun sudah cerah sedikit akibat berkurung di hotel di Madinah.

Aduhai.

Pasti berkecil hati Abah, putrinya yang seorang ini disangka datang dari pelosok sana. Ah, ingin saya tulis sekali lagi, Abah saya sebenarnya jauh lebih putih dari Bonda, arwah menjadi gelap akibat ubat kimo yang dimakannya. Kadang-kadang saya bertanya - benarkah saya anak kandung mereka? Lempang sahaja saya ini kerana berfikir bukan-bukan.

Beberapa kejadian ngeri yang berlaku menjadi saksi bahawa mereka menyangka saya datang dari bumi bertuah itu.

Antaranya, semasa di toilet yang berdekatan dengan Pintu 45, seorang wanita India yang bersama-sama menunggu telah menegur saya - India? Sambil menunjuk diri saya. Saya tergelak-gelak, No, Malaysia. Fuh.

Semasa saya membeli kek di kedai jual roti dihadapan hotel, seorang perempuan dari Myanmar menegur saya - Pakistan? No, jawapku, Malaysia. Oh I thought you are from Pakistan bla bla bla, yang butirnya tidak saya ingat kerana sibuk mengira jumlah kek yang hendak dibeli. Fuh.

Semasa membeli buku di kedai buku berdekatan dengan Sofwa Tower, pengurus kedai mengatakan mustahil saya berasal dari Malaysia. Pasti nenek moyang saya berasal dari Pakistan. Tuan, dalam darah saya, setahu saya, cuma ada darah melayu Malaysia dan Indonesia.

Semasa di dalam saf menunggu waktu solat, seorang ibu muda yang berasal dari Myanmar tetapi lahir di Saudi Arabia asyik merenung saya. Ya, saya tahu dia pasti menyangka saya sebangsa dengannya. Aduhai.

Semasa saya memberi nasi ayam kepada perempuan dari Indonesia, terus ditanya 'Halal'? Ah, ibu, saya bisa berbahasa Melayu! Saya tahu beliau tidak dapat meneka saya berasal dari Malaysia, akibat dari cara pemakaian tudung saya.

Dan yang paling memilukan, semasa bermiqat di Tana'im, seorang pakcik tua dari India, menyapa saya dalam bahasanya! Pada mulanya tidak saya endahkan, kerana ya, mana saya tahu dia mahu bercakap-cakap dengan saya? Setelah beberapa tapak kedepan, baru saya perasan yang dia menyapa saya. Pakcik, ampun, ana lak afham.

Di Makkah, saat musim haji, jemaah haji dari seluruh dunia datang berkumpul. Tidak perlu ke London untuk ketemu pelbagai jenis bangsa manusia. Disini, tidak ada seorang pun berwajah serupa (mungkin ada kembar, tapi tidak saya ketemu). Disini saya mengenal mereka mengikut bendera yang kadang-kadang diletakkan di pakaian mereka. Atau meneka melalui warna kulit mereka, seperti manusia-manusia lain yang lakukan terhadap saya. Masing-masing punya warna kulit tersendiri, rupa paras tersendiri, karektar sendiri. Ada yang tampan sekali, ada yang biasa-biasa, ada yang huduh di dalam piawaian kecantikan manusia. Tapi manusia telah diciptakan dengan begitu sempurna sekali. Sesekali saya merenung keindahan wajah mereka, ada yang gelap, gelap sekali. Ada yang putih, masyaAllah, putih sekali. Ada yang mancung, ada yang pesek. Ada yang tinggi sekali, ada yang kecil sekali.

Tapi yang pastinya kami berkongsi banyak perkara. Salah satunya adalah Tuhan yang satu. Cinta pada Rumah-Nya. Ketekadbulatan untuk mengerjakan haji.

Saya tidak berkecil hati disangka Indian, atau Pakistani. Rakan saya disangka dari Turkey/Iran. Yang lagi seorang jua disangka dari India, tapi ramai jua menyangka dari Indonesia. Saya tahu putih itu menawan. Tapi, ras rupa sudah tidak penting pada saya, asalkan cukuplah kehadiran saya, meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengan saya.

Pastinya saya harapkan kesan itu, adalah kesan yang paling baik pernah saya tinggalkan.





















KISAH HAJI- ZIARAH DALAM

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim.

Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhamad, Wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, semoga kita sentiasa berada didalam perlindungan Allah swt. Dan mendapat rahmat-Nya didalam setiap apa yang kita lakukan. Saya berlindung dengan-Nya daripada sifat-sifat munafik dan riak', berbuat ingin diketahui ramai.

Kali ini saya ingin menceritakan mengenai ziarah dalam. Ziarah dalam ini bermakna kami cuma melawat kawasan sekitar masjid dengan berjalan kaki. Ziarah luar yang memerlukan kenderaan. Pada mulanya, kami bercadang mahu mengikuti ziarah dalam pada hari Isnin, tetapi terlepas kerana beberapa sebab. Bukan kami sahaja, malah, ramai jemaah haji yang terlepas ziarah ini kerana berlakunya salah faham diantara penganjur dan kami.

Syukur, ziarah dalam diadakan sekali lagi pada hari Selasa, dan Jumaat nya itu kami akan bertolak ke Arafah, insyaAllah. Kami bertekad untuk mengikuti program ini, kerana ini adalah program ziarah dalam terakhir untuk musim haji ini. Solat subuh kami tunaikan di 'surau' Hotel Taiba, kerana kalau mengikut jangkaan kami, sekiranya kami bersolat di masjid, kami akan terlepas lagi ziarah dalam ini.

Tepat 7.30 pagi, Ustaz Razak yang mengetuai program ini muncul. Rupanya, semua jemaah haji dari pelbagai hotel akan turut serta, mereka ini jua dari tabung haji travel, cuma berlainan pakej. Disebabkan pihak polis/askar Masjidil Haram tidak membenarkan penggunaan mic, ustaz terpaksa menguatkan suara sekiranya berbicara. Masuk akal sekali peraturan ini. Bayangkan sekiranya penggunaan mic dibenarkan, idok ke bising kawasan masjid kerana beratus-ratus kumpulan menjalankan ziarah dalam!

Destinasi pertama adalah tapak rumah Saidina Abu Bakar r.a, dimana sekarang KFC telah didirikan. MasyaAllah, terperanjat saya mendengarnya. Tidak saya ketahui lansung sebelum itu, sedangkan KFC adalah tempat pertemuan kami semasa menunggu rakan-rakan pulang dari solat.

Dan kemudiaannya ke tapak rumah Arqam bin Abi Al-Arqam yang sekarang adalah sebahagian dari masjid. Dan menuju ke perpustakaan yang dahulunya adalah tapak rumah Rasulullah dilahirkan.

Kemudian, ditunjukki rumah Rasulullah saw bersama Saidina Khadijah r.a yang kini dijadikan tandas wanita, berdekatan dengan bukit Marwa. MasyaAllah!!! Tidak masuk akal sekali pihak Arau Saudi ini. Kalau didirikan kedai boleh diterima lagi, tapi ini, ini, tandas perempuan! Rumah dimana anak-anak Rasulullah saw dilahirkan, rumah dimana Penghulu Wanita di Syurga, Saidina Fatimah r.a dibesarkan! Kalaulah saya boleh mencela pemerintah Arab Saudi ini, sudah lama saya lakukan secara berlebih-lebihan. Saya mengerti perasaan taksub sebahagian manusia kepada Rasulullah saw. Mungkin Kerajaan Arab Saudi merasa risau dengan keterjagaannya rumah Baginda, perbuatan bid'ah dan kurafat akan menjadi-jadi. Tetapi dengan menjadikan tapak itu sebagai tandas? Sedangkan tempat J.W.W Birch mati dibunuh di Pasir Salak sahaja kerajaan Perak jagakan, ini kan sepatutnya pula Rumah Rasulullah, Habibullah - makhluk paling agung diantara seluruh jagat raya, tidak dibatasi sempadan masa dan waktu. Allahim.

Bukit tempat Nabi Ibrahim a.s menyeru manusia supaya mengerja kan haji, telah dibina istana raja. Macamlah tiada tempat lain mahu dibina. Dibukit ini jua dengar-dengar khabarnya batu hajar aswad dijumpai oleh Jibrail, lantas menyerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk diletakkan di sisi Ka'abah.

Semasa ustaz bercerita kepada kumpulan kami, ada sekumpulan lelaki dan wanita dari Pakistan, atau India yang sedang enak menikmati sarapan pagi mereka. Saya melemparkan senyuman kepada pakcik tersebut semasa mahu duduk. Dan beliau mempersilakan saya menjamah roti bercicahkan fresh cream itu. Dek kerana Ija telah mengajar - elok lah jamah kalau ada orang pelawa - saya cuma mencubit sedikit roti sambil mengucapkan terima kasih.

Terus sahaja beliau mengoyakkan sebahagian besar rotinya, dan memberikan kepada saya. Ya Allah, malu bukan kepalang saya kepada ahli jemaah haji yang lain. Beliau jua menuangkan teh dari flask, dan menyuruh saya minum. Puas sudah saya menolaknya, Allahim, makin ditolak, makin dipaksanya saya minum dan makan. Saya terus menunjukkan rakan-rakan yang lain, yang masih malu-malu mahu duduk disebelah saya. Apalagi, dengan pantas pakcik itu memberikan roti yang lain kepada kami! Dan dipaksanya isterinya menuangkan teh yang hangat untuk kami. Sumpah, itulah teh tersedap yang pernah kami rasai, seumur hidup kami.

Dalam malu-malu menolak pelawaan pakcik tersebut, kami mencicah roti dengan teh itu. Hahahha.

Pulang dari ziarah, kami melihat seorang pakcik tua mengais makanan burung. Itu tidak apa lagi, saya sempat melihat beliau memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya - hasil kaisannya. Hati mana yang tidak luruh? Berderau hati saya melihat pemandangan itu - Ya Tuhanku, ini tetamu-Mu. Dan lantasnya saya meminjam duit Ija untuk dibelikan kek dan air minuman. Saya lihat, sudah ada seorang lagi pakcik yang turut sama mengais mencari makanan. Allah Allah Allah.

Semasa saya memberikan mereka makanan dan minuman, pakcik pertama mengucapkan Bismillah hir-Rahman!, dan pakcik kedua bercakap dalam bahasa yang tidak difahami. Doakan kami, pakcik-pakcik yang dimuliakan, doakan kami memperolehi haji Mabrur.

Itulah sahaja harapan kami. Doakan kami. Doakan kami memperolehi haji Mabrur.

Sepanjang pulang ke hotel, hati saya menangis basah. Malu pula mahu menangis didepan rakan-rakan. Truly, I'm truly a labour economist.