Salams,
Bismillah hirRahman nirRahiim,
Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, Wa'ala A'ali Saidina Muhamad.
Sahabat-sahabat yang sentiasa dihati,
Moga-moga kalian tetap berada di Jalan-Nya. Meskipun pahit, saya doakan kita sama-sama tetap melangkah, biar mungkin terpaksa mengesot, atau merangkak, tetaplah kedua belah kakimu, sahabat. Biarkan magis doa-doa kita berterbangan di jagat raya.
Kali ini saya mau menceritakan tentang keajaiban hotel saya. Ya, kami adalah pakej termurah diatara semua pakej yang ditawarkan, makanya, hotel yang kami dapat pun setanding dengan bayaran. Tetapi, tuan-tuan sekalian, bilik yang kami perolehi, masyaAllah, luas, bersih, indah. Tidak busuk seperti bilik-bilik yang didapati semasa umrah. SubhanAllah. Alhamdulillah. Tapi bagi yang sudah biasa menginap di hotel 5 bintang - I rest my case. Kami menginap di Tingkat 14. Setiap pagi dan petang, saya selalu mengintai di balik jendela memerhati lautan manusia yang menuju ke Masjidil Haram, atau pulang dari Masjidil Haram. Jalan raya bertukar menjadi putih. Berbondong-bondong manusia menyahut seruan-Nya. Agak memalukan bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid tetapi tidak mengambil peluang ke sana, sedangkan jemaah-jemaah lain, terutamanya dari Indonesia, Pakistan, India, Afrika dan entah dari negara mana lagi, yang tinggal 1-5 kilometers dari Masjid, sentiasa berebut-rebut mencari tempat di Masjidil Haram. Aduhai!
Bilik kami sejuknya ya ampun kalau angin sedang bertiup kencang. Tapi bonusnya, kami mudah melihat bulan dan bintang. Tetapi, bintangnya kadang-kadang hanya sebutir. Rakan saya menjelaskan ketidakhadiran bintang-bintang ini, Masjidil Haram telah diterangi dengan lampu-lampu neon, yang menyebabkan langit tercemar. Hasilnya, beribu-ribu bintang dilitupi awan.
Tapi, tuan-tuan sekalian, pabila bulan muncul, bersama-sama dengan bintang-bintang, indah bukan kemain. Allahim! Terutamanya pabila tiba hari-hari menjelang wukuf.
Saya suka membasuh kain. Mungkin jua penyakit ini berjangkit dengan rakan sehaji yang lain. Mau menggantung pakaian yang sudah dibasuh, tidak tahu dimana, pada mulanya. Tali sudah dibawa. Mulalah para 'engineers' berfikir gimana caranya mahu menggantung pakaian dengan paling efficient di dalam bilik. Saya lihat sahaja. Ah, memang saya ini benar-benar seorang economist.
Akhirnya, selepas tidak berjaya menggantung tali dibilik, kami ke tingkat 18, dataran yang dibenarkan menyidai pakaian. Mereka menggunakan sepenuh kekuatan dan keupayaan menggantung tali membuat ampaian. Disini, kalau menyidai pakaian di waktu pagi, selepas zuhur sudah boleh mengangkatnya. Panas bukan kemain. Disini jua boleh melihat seluruh pemandangan bandar Makkah (dari sisi ini). Berbukit-bukau. Bongkah-bongkah batu disana sini.
Disini jua disediakan surau berbumbungkan langit. Solat jemaah diadakan pada waktu Subuh, Isya' dan Maghrib, tidak pada waktu Zuhur dan Asar kerana ia terlalu panas. Pertama kali saya mengikuti solat jemaah dihotel akibat sakit, saya terpana. Saya dapat melihat jam 'Allah' itu, tuan-tuan sekalian! Ah, mendidih jua darah saya, segala pembangunan ini, Kota Makkah tidak memerlukannya. Ia kota suci. Kota ibadat. Bukan kota peranginan atau kota lawatan. Kalau dibuat asrama untuk jemaah haji yang tidak mampu, boleh diterima akal lagi, tapi ini untuk penginapan bagi mereka yang kaya raya. Yang pakej hajinya antara RM50,000 - RM100,000+.
MasyaAllah.
Tetapi hati saya cepat sejuk selepas melihat si Bintang Timur itu. Benarlah, kalau terasa mahu marah, lihatlah langit - yang membawa sejuta ketenangan dan kebahagiaan.
Ramai jemaah haji memberi komentar yang tidak enak didengar mengenai makanan. Mendidih jua telinga saya mendengarnya. Bagi saya yang tinggal diasrama di luar negara ini, yang tidak sempat memasak, malas memasak, tidak ada bahan memasak ini, makanan yang disediakan untuk kami, para jemaah haji, adalah terlalu mewah. Dengan sarapan paginya yang selalunya punya dua jenis makanan (contoh mee goreng dan bubur nasi), dengan makanan tengahari dan malamnya yang pastinya punya dua lauk, keropok, buah-buahan, roti dan teh yang disediakan untuk 24 jam, ini sudah seperti syurga bagi saya. Kadang-kadang kami dihidangkan udang dan ketam. SubhanAllah. Dan ikan yang sangat segar dari jeti.
Memang sukar mahu jadi hamba-Nya yang bersyukur, bukan?