Assalamualaikum warahmatullah hi wabarokatuh.
Bismillah hirrahman nirrahim.
Allah humma solli wasalim 'ala saidina Muhamad, wa'ali Muhamad.
Pasti sahaja ramai menyangka bahawa saya sudah jatuh cinta, berdasarkan entri terdahulunya.
Salah saya jua kerana menulis perkataan 'cinta', kerana ramai sahaja yang akan berprejudis, menyempitkan definisinya antara lelaki dan perempuan, terlebihnya kerana saya masih belum disatukanNya dengan belahan jiwa ciptaanNya.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan, cinta itu, kalau boleh saya nukilkan, merangkumi semua, kerana kalau tidak cinta Tuhan kita itu pada Nur Muhammad, pasti sahaja kita ini tidak wujud, bahkan seluruh alam semesta ini.
Cinta pada ibu bapa, persembahkanlah yang terbaik bagi mereka, dan tidak ada yang lebih baik dan mulia kecuali doa, dan tidak ada doa yang terbaik melainkan al -Fatihah. Al-Fatihah itu, yang dikatakan mempunyai 18 nama.
Begitu jua pada guru-guru yang dikasihi, teman-teman yang disayangi, adik-beradik yang dicintai, anak-anak kandung, anak-anak saudara, anak-anak kucing, kaum keluarga, sanak saudara, dan seterusnya kaum muslimin dan muslimat.
Pada yang masih hidup atau sudah menemui Sang Maha Pengasih itu.
Apa? Sedekah al-Fatihah pada mereka? Ini bid'ah, Nur! Tidak dibuat oleh Sang Nabi tercinta itu!
Main blog jua tidak pernah dibuat oleh Nabi, main FB jauh sekali, post gambar kembung-kembung pipi, pergaulan bebas antara bukan muhrim, study group lelaki perempuan, pergi menonton gig, main chess, menonton wayang atau tv, dan kalau mahu saya senaraikan, mungkin saya tidak pergi kerja hari ini.
Anda cukup dewasa untuk menilai segala-galanya. Ingat, kita akan dipertanggungjawapkan atas segala-galanya, janganlah nanti pabila bersimpuh didepan-Nya, kita menggunakan alasan-alasan yang dangkal.
Peringatan ini terlebihnya untuk diri saya sendiri. Sudikah kau, para pembaca ku yang dimuliakan, menghadiahkan al-Fatihah pada ruh ku yang hampir sesak ini?
Kerana cahaya ruh saya, sahabat-sahabat yang dicintai, sudah hampir malap dek dosa-dosa saya yang menimbun tinggi.