Monday, 12 December 2011

KISAH HAJI: BERKONGSI SEJADAH

Salams,

Bismillah hirrahman nirrahiim,

Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, wa'ala 'Aali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan oleh Allah swt, semoga tegap kakimu dijalan-Nya. Ya, hanya dijalan-Nya. Jangan disihir oleh dunia yang sentiasa menggoda.

Menyentuh tentang entri sebelumnya, saya sempat berfikir, doa siapalah yang Allah makbulkan berkenaan tentang kemudahan menguruskan urusan haji kami. Lantasnya saya terbayang wajah Bonda-Bonda kami, kaum keluarga kami, rakan-rakan kami, dan kalian. Pastinya salah satu doa mereka ini, dan kalian sekalian di angkat ke langit, terus tanpa hijab. Oh Tuhanku, Junjunganku, Pemegang Ubun-ubunku - Engkau Terlalu Mulia untuk tidak mendengar doa-doa kami.

Bersambung mengenai keadaan di Mina, terdapat deretan kedai bersebelahan dengan Maktab 100, barang-barangnya mahal ya ampun. Contohnya tisu yang mempunyai sepuluh (10) helai, berharga SR2, dan maggi berharga SR4. Entah kenapa tiba-tiba mahu menjamah maggi, walhal di Malaysia dan di UK jarang sekali saya menyentuhnya. Kami membeli 3 bungkus maggi, yang akhirnya disedekahkan kepada jemaah haji yang lain. Saya tidak tegar melihat muka kecewa mereka, kerana mereka menyangka maggi itu disediakan oleh pihak Tabung Haji.

Kami jua dibekalkan dengan air mineral dan air kotal pelbagai jenis di dalam peti sejuk yang terdapat di celah-celah simpang. Ambil sahaja beberapa botol dan kotak pon, bila-bila masa pun, aduhai, mewahnya hidup kami di Mina. Kalau lah tiada masalah tandas, saya rasa, hidup di Mina seperti di Syurga dunia layaknya. Melontar cuma di pagi hari selepas subuh, dan selepas itu aktiviti bebas!

Saya mahu menceritakan beberapa kisah ajaib semasa kami berkongsi sejadah dengan jemaah haji yang lain. Rakan-rakan saya yang lain selalu diberi coklat, kurma, biskut atau apa sahaja pabila mereka berkongsi sejadah mereka, tetapi selalunya saya, ya, saya, saya akan menerima pelukan dan ciuman berserta doa.

Aduhai, indahnya terasa!

Suatu hari, kami bersolat zuhur di atas bumbung, dek kerana terlambat dan tingkat satu sudah penuh. Dapat anda bayangkan betapa kami dibakar mentari semasa solat. Mata saya sudah sepet-sepet tidak nampak sejadah. Saya risaukan Ija sakit kepala, kerana dia memang tidak tahan panas. Untunglah imamnya tidak memanjang-manjangkan solat. Seusai solat, kami pulang dengan pantas ke hotel, mahu makan tengahari dan kalau dapat tidur sebentar mengumpul kekuatan. Sewaktu jalan pulang, tiba-tiba ada awan melindungi kami dari panas, subhanAllah. Tapi cuma sebentar sahaja. Mungkin ini hadiah dari-Nya selepas terbakar semasa mengerjakan solat untuk-Nya. MasyaAllah.

Sewaktu asar, saya berkongsi sejadah dengan seorang makcik yang saya kira dari Turkey, atau Iran, atau dari negara yang penduduknya putih-putih. Sememangnya mereka tidak bawa sejadah untuk solat. Dan seusai solat, makcik tersebut mengusap-usap muka saya, sambil berdoa (mungkin), dan mencium kedua belah pipi saya. Aduhai, seperti dicium Bonda.

Sewaktu solat Jumaat, saya terlewat tiba, dan duduk disebelah lelaki Afrika di Dataran Masjid (luar), tapi jangan risau, tidaklah kami bersentuhan. Beliau sangat menjaga tatatertib sebagai seorang lelaki Islam. Saya tidak membawa sejadah, cuma berdoa agar makcik Melayu Malaysia dan Indonesia disebelah kanan saya sudi berkongsi sejadah dengan saya. Hampanya. Tidak disangka, lelaki tersebut menghamparkan tikarnya yang sangat besar itu untuk saya. Muat untuk kami berdua dan plastik berisikan kasut memisahkan kami. Sewaktu khutbah Jumaat yang dibaca oleh Syeikh Maher al-Muaiqly, saya menangis semahu-mahunya walaupun saya tidak faham bahasa Arab. Puncanya, beliaun menyebut Nabi Muhamad saw, Baitullah Ka'abah, Masjidil Haram, Maqam Ibrahim, Hajar Ismail, Wukuf, Arafah, Muzdalifah, Mina. Ini Jumaat pertama selepas Haji. Aduhai, malu pula pada jemaah yang lain. Seusai solat, saya menanti lelaki tersebut menghabiskan doanya, dan lantasnya saya menyebut jazakallah hul khair. Dia sedikit terperanjat, dan membalas doa saya dengan doanya, mungkin jarang sekali menerima ucapan terima kasih di sepajang hidupnya? Entah.

Pada hari yang lain pula, kami solat Zuhur di Tingkat 1, mahu ke situ kami melalui pintu 91 menaiki escalator. Jua tidak membawa sejadah sendiri, kerana kebiasaannya kami membuat umrah sunat diwaktu pagi dan mengeteh di Safwa Tower, kalau tawaf, malasnya ya ampun mahu mengusung sejadah, berat, kerana perjuangan menghabiskan tawaf dan sa'ie itu sendiri berat, kami tidak mahu membebankan badan dengan membawa sejadah lagi. Lantasnya, kami berharap makcik Melayu disebelah kami sudi berkongsi sejadah. Hampa lagi. Tidak disangka makcik Iran/Turkey sudi meminjamkan sejadah beliau, sedangkan beliau sendiri memakai tuala kecil. Aduhai Tuhan-Ku! Pelajaran apa yang Engkau mahu ajarkan pada kami hari ini? Seusai solat sunat zuhur, kami bersalam dengannya dan mengucapkan jazakallah hul khair. Makcik itu terperanjat sekali, lantasnya memeluk kami, dan menciumi kami, dan mendoakan kami mendapat taqwa dan haji mabrur.

Ya Allah swt, sungguh lain sekali rasanya didoakan sedemikian rupa. Ameen, perkenankanlah ya Allah, perkenankan lah ya Rabbi.

Dan yang terakhirnya, seorang makcik dari Iran, Fahimi, beriya-ia benar mahu berbicara dengan saya. Dia cuma tahu berbahasa Parsi, saya cuma tahu bahasa Melayu dan Inggeris. Lantasnya kami berbicara seperti ayam dan itik. Dia berasal dari Shiraz, Iran. Meminta kami mendoakan beliau setibanya kami di Madinah, meminta kami menyampaikan rasa cinta dan salam pada Rasulullah saw, dan akhirnya meminta kami mendoakan dia semasa kami di Malaysia. Dia jua meminta nama kami, yang kami tulis dalam jawi, dan dijanjinya akan didoakan kami semasa dia di Shiraz. Puas jua saya cuba meminta alamat beliau, siap lukis envelope beserta stamp, tidak difahaminya. Mahu melukis posmen menaiki basikal, tidak pula reti saya melukis. Mahu melukis merpati menghantar surat? Owh, kenapa tidak saya terfikir.

Dia menjadi ramah setelah saya membentangkan sejadah untuk beliau. Berkongsi. Dan akhirnya sebelum solat Isya', di usap-usapnya muka saya, dan diciuminya sambil berkata-kata di dalam bahasa Parsi. Sebelah Kak As jua orang Iran, jua dari Shiraz. Setelah mereka memperkatakan tentang kami, Fahimi sekali lagi mengusap-usap muka saya dan menciumi kedua belah pipi saya. Seusai solat Isya', sewaktu saya melipat sejadah dan mahu pulang, kami bersalaman dan sekali lagi beliau mengusap dan menciumi saya.

Aduhai, terasa kasih Allah swt melimpah ruah untuk saya yang yatim ini.

Dan ini kejadian paling ajaib sekali mengenai sejadah. Suatu subuh yang hening, saya duduk sebelah ibu dari Indonesia. Sejadah nya, wallah, cantik sekali. Rakan-rakan saya ada membicarakan mengenai pembelian sejadah sebagai cenderahati dari Makkah untuk sanak saudara. Dan mereka mahu membeli sejadah serupa/sejenis dengan sejadah yang dipakai oleh ibu itu. Ibu itu cantik sekali, kalau boleh saya tuliskan disini.

Saya menegur Ibu itu, bertanyakan berapa rialkah harga sejadahnya, untuk informasi rakan-rakan saya. SR35, jawapnya. Mahalnya! Teriak saya. Sumpah budget mereka cuma dalam SR20. Tangan saya masih mengusap-usap sejadah itu. Cantik benar. Dibeli dimana, Ibu? Di Sofwa Tower. Rupanya Ibu itu beserta rakannya tinggal disitu, mereka dari majlis rasulullah, pastinya bangsawan.

Seusai subuh, ya, benar jangkaan kalian, sejadah itu diberikan kepada saya. Waduh, malu bukan kepalang saya ini. Saya ngga tahu mahu dibalasi apa. Mahu memberi duit, takut insult pula.

Nantilah, akan saya berangkat ke Jakarta menyambung ukhuwah, atau hantar sahaja apa-apa cenderahati dari Malaysia, insyaAllah.

Tuhanku, Pelindungku, terima kasih diatas segala-galanya. Alhamdulillah 'Ala kulli halin.


















KISAH HAJI: ARAFAH, MUZDALIFAH DAN MINA

Assalamualaikum,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhamad, Wa'ala 'Aali Saidina Muhamad.


Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga Allah swt menjadi tujuan dalam hidup kita.

Kembali ke kisah haji, semoga kisah ini mejadi iktibar, pengajaran dan semoga bermanafaat buat kita, terutamanya meneguhkan iman kita. Semoga kita, terutamanya saya, dijauhkan dari sifat-sfiat riak', munafik dan syirik. Ameeen.

Kali ini saya mahu menceritakan pengalaman semasa wukuf, iaitu di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Kira sekali harung lah ye. Mungkin panjang sedikit.

Kami bergerak ke Arafah pada petang Jumaat. Lantasnya di pagi Jumaat, saya membuat tawaf. Setepatnya tawaf niatnya taubat memohon keampunan. Suasana sangat hening sekali, walaupun ramai orang berpakaian ihram, lingkaran tawaf sangat tenang. Tidak bertolak-tolakkan seperti biasa. Ramai yang sudah menuju ke Arafah. Alhamdulillah. Saya jua diberi peluang sujud di Hajar Ismail, Alhamdulillah, alhamdulillah. Kalian pasti mengerti, perjuangan memasuki Hajar Ismail di musim haji ini sangat mencabar. Jangan harap kalau tiada ketekadbulatan hati, kalian pasti ngga diberi rezeki memasukinya. Bila mana mengenai Hajar Aswad dan Hajar Ismail, pastinya manusia yang paling berakhlak mulia sekalipun akan bertukar menjadi ganas dan kasar sekali. Hairan.

Tetapi, di pagi Jumaat yang sangat mulia ini, kami diberi rezki yang sangat besar untuk solat dengan sangat tenang dan aman di dalam Ka'abah ini. Air mata melimpah ruah. Dan doa menyentuh arwah Abah sangat panjang saya panjatkan pada Dia, yang telah berjanji akan mengabulkan semua doa. Semoga segala doa yang saya baca tiada hijabnya.

Menyentuh tentang doa, antara doa-doa yang kalian pinta saya doakan, ada satu doa yang membuatkan saya begitu tersentuh sehingga ke dasar hati. Doa nya ringkas dan mudah, tetapi sangat mendalam maknanya.

Minta doakan ilmu saya berkat, umur saya berkat.

Dan doa ini saya seringkan doakan bukan sahaja untuk sang peminta, tetapi untuk semua keluarga kecil saya, keluarga sebelah Bonda, sebelah Ayahanda, guru-guru saya terutamanya SV, rakan-rakan Teluk Intan, rakan-rakan Pahang, rakan-rakan UK, orang-orang yang saya kenali, dan seterusnya seluruh mukmin dan mukminat.

Ameeeeeen.

Kami bertolak selepas Asar. Sewaktu mula bertolak, didalam bas, saya teringat saya masih belum membuat tahlil untuk Abah. Makanya sebelum memulakan bacaan yassin dan tahlil, saya memohon pada Yang Maha Esa supaya tidak diambil cahaya mentari sebelum saya menghabiskan bacaan tahlil.

Alhamdulillah, Dia Maha Mendengar.

Perjalanan kami ke Arafah, masyaAllah, sangat mudah. Kurang dari satu jam kami sudah sampai ke khemah maktab 99. Menangis saya sewaktu menjejak kaki dibumi mulia ini. (Iya, asyik menangis sahaja). Sahabat-sahabat yang dicintai, terlalu banyak cerita ngeri mengenai perjalanan ke Arafah, bukan? Ya, ia bukan cerita dongeng. Ada yang tersesat sehingga 14 jam. Ada yang basnya rosak sehingga 4 jam baru berganti bas baru. Ada yang sudah sampai ke Maktab 99, tapi pintu masuk Maktab 99 tidak dijumpai.

Mendengar cerita ini, saya serasa mahu tersungkur bersujud pada-Nya.

Khemas kami dapat memuatkan seramai 16 orang. Alhamdulillah, kami dapat tilam dan bantal. Satu malam di Arafah, saya tidur dengan lenanya. Mungkin kepenatan yang amat sangat secara emotionally dan spirituallynya. Mendengar kisah orang muasasah lebih menyedihkan, mereka cuma dapat khemah beralaskan karpet sahaja. Tetapi mendengar cerita dari negara lain, lebih lagi mengharukan, sebahagiannya tiada khemah disediakan, mereka membawa khemas sendiri dan peralatan memasak sendiri. Allahim!

Sewaktu wukuf, panasnya bukan main, ustaz berkata memang cuaca panas pada waktu wukuf di Padang Arafah sangat berlainan pada hari-hari biasa, panasnya bukan main terik kerana Allah swt mahu 'membakar' dosa2 kita. Kami tidak mampu menahan panas, lantasnya berlindung di balik payung. Kemudiaannya dibawah redupan pokok. Menjelang asar hingga maghrib (dimana waktunya sangat sekejap, kurang dari 2 jam), semua jemaah haji khusyuk' berdoa.

Doakan kami, sahabat-sahabat sekalian, doakan seluruh doa-doa kami, semua jemaah haji tahun ini, diangkat terussssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssss ke Arasyi tanpa hijab, diperkenankan tanpa syarat, tidak dilemparkan dan dihinakan dek dosa-dosa kami. Doakan diatas kemuliaan-Nya, Dia Yang Maha Belas Kasihan itu, berkenan memberikan kami, seluruh jemaah haji tahun ini yang seramai 3 juta lebih manusia, haji mabrur. Dan kalian jua mendapat pahala haji mabrur kerana mendoakan kami.

Malam itu, kami bertolak ke Muzdalifah. Bintang dan bulan bersinar indah, menemani kami yang sangat kantuk menunggu bas. Dek kami mendapat giliran awal ke Arafah, Hotel kami mendapat giliran paling lewat untuk ke Muzdalifah. Lebih kurang tengah malam baru kami sampai ke sana.

Mahu percaya atau tidak, bahawa bas cuma mengambil masa 20 minit sahaja untuk ke sana?

SubhanAllah, Alhamdulillah...Allahu Akbar. MasyaAllah.

Sesampai disana, saya melihat lampu-lampu neon menyimbahi bumi Muzdalifah. Eh, Bonda kata kawasan ini gelap gelita, sehingga memerlukan lampu suluh untuk mencari batu? Alhamdulillah Kerajaan Arab Saudi yang baru saya kutuki pada entri lepas, sudah menyediakan prasarana ini. Dan kawasan ini tidak lah sesejuk yang Prof Kamil coretkan, mungkin kerana cahaya dari lampu-lampu neon ini panas. Alhamdulillah.

Saya mengutip batu dengan penuh khusyuk'. Sukar jua mahu mengutip batu yang besarnya secocok dengan bisikan hati saya. Besar macam kacang kuda. Saya rasa, fizikal saya yang kecil menyebabkan ramai orang mengasihani saya kerana menyangka saya masih anak-anak. Ramai sungguh jemaah haji, kakak-kakak dan abang-abang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang membantu saya mengutip batu, masyaAllah. Sekali saya berpindah kawasan untuk mencari batu, disana ada jemaah haji dari Thailand membantu saya mencari batu. Tiada apa yang mampu saya ucapkan kecuali jazakAllah hul khair. Syukran jazilan. Alhamdulillahhhhhhh.

Seusai membasuh batu kerana ia sunnah, seusai menyelesaikan solat-solat sunat -

kami tertidur! Innalillah waiina ilaihirojiun. Ini musibah, kerana itu saya membaca doa tersebut. Sewajarnya sepanjang malam hingga fajar kami berdoa dan bertafakur berfikir mengenai kebesaran-Nya. Aduhai diri!

Dan menjelang paginya, kami dibawa ke Mina. Ada perkara lucu mengenai penantian kami. Basnya memang lambat, iya, kami tidak menjangka sebaliknya. Ramai jua yang stress menunggu bas, kami ini riang sahaja mencicip biskut yang dibekalkan sebagai sarapan. Mengingati kenangan diberi teh oleh pakcik India. Ah, menunggu bas di Muzdalifah, bukan kah itu salah satu pengalaman termahal seumur hidup? Nikmati sahaja. Dan dalam masa disuruh berbaris, matahari sudah mula menyengat. Panas. Untunglah ada unta berhias yang terlepas dari tuannya berjalan melintasi kami, menyejukkan darah-darah yang mula mendidih. Dan unta itu lagaknya tahu sahaja ia model, berjalan dengan lemah gemalai, bergemerincing bunyinya. Terkekeh-kekeh kami menggelakkan unta tersebut, yang akhirnya dihambat tuannya.

Dan bas ke Mina, cuma mengambil masa 1/2 jam sahaja. SubhanAllah!

Khemah kami memuatkan seramai 32 orang tidak silap. Inilah rakan tiduran kami selama 4 hari, pengalaman yang sangat indah kerana kami kini punya ramai kakak-kakak dan makcik-makcik. Syukur! Syukur dengan segala nikmat-Nya. Dan pengalaman melontar sebanyak 4 kali, melalui 7 kilometer pergi balik, dan melalui terowong yang menggerunkan itu, sungguh, ia adalah pengalaman yang sangat mendewasakan kami. Pada hari kedua melontar, kami mengikut jalan 3, jalan pulangnya dari melontar, YaRabbi, sungguh jauh sekali berbanding dengan jalan 1 yang kami lalui pada hari pertama! Hampir pengsan jua kami setiba di khemah kerana kehausan dan panas terik. Tapi, pengalaman bukan? Menaiki escalator untuk ke jamrah.

Kerajaan Arab Saudi telah membahagi-bahagikan jalan untuk jemaah haji. Maka jalan kami khas untuk orang Asia sahaja. Tiada orang Afrika atau orang Arab. Makanya, alhamdulillah, tidaklah sesesak dahulu. Terowong pun sudah ada dua hala. Ramai jua jemaah haji yang pengsan didalam terowong. Tidak sempat saya mahu berhenti melihat mereka, cuma menghantar doa sahaja dari jauh. InsyaAllah, semuanya baik-baik belaka.

Tandas di Mina, masyaAllah, rationya adalah 1 tandas untuk 50+ jemaah haji. Menyebut hal tandas di Mina, memang pelbagai kejadian ngeri, lucu dan menaikkan darah banyak terjadi. Petua kami satu sahaja, semasa menunggu, selawat sahaja memohon kesabaran diberikan. Ataunya, bergossip-gossipan dengan orang belakang dan depan. Pasti banyak manafaatnya. Guarantee.

Anda pasti mengerti maksud gosip saya.

Seusai segala urusan melontar di Mina, kami ke Makkah, dan sekali lagi keajaiban terjadi.

Bas kami cuma mengambil masa selama sejam lebih untuk sampai ke hotel. Itupun terpaksa menunggu di simpang lama kerana polis menyekat jalan. Tetapi alhamdulillah, driver dan co-driver kami punya skill untuk ber'argue' dengan mereka. Syukur sampai di hotel. Mendengar cerita jemaah haji lain yang tersekat beberapa jam, bas rosak, terpaksa berjalan kaki sendiri ke hotel, meremang bulu roma saya. Ya Allah Ya Rahiim, ya Rahman Ya Ghoffar, Ya Latiff, Ya Wadud - Kau Sungguh Sungguh Maha Baik.

Dan seusai solat zohor, kami menunaikan tawaf haji. Syukur sesyukur-syukurnya sudah sempurna ibadah ini. Sempat bersolat asar dan kemudiannya pulang ke hotel. Di dalam perjalanan, kami membeli nasi arab dengan ayam (kot).

Selepas makan, kami pengsan hingga dinihari. Bangun cuma untuk solat maghrib dan isya'. Penatnya ya ampun, pancit kami sekalian. Bertawaf dengan jutaan manusia yang turut sama membuat tawaf haji - sungguh, ia jua adalah salah satu pengalaman paling mahal yang pernah dikurniakan oleh Allah swt.

Segala yang baik, datangnya dari Allah swt, dan segala yang buruk, adalah kekhilafan saya. Mohon maaf, dan semoga kalian mendapat manafaat dari cerita-cerita saya.