Friday, 2 September 2011

ROH

Salams,

Saya merasakan bahawa blog ini sudah kehilangan rohnya. Tulisan-tulisan saya ngga mampu mencambah minda pembaca sekalian, kerana nya ya, saya sendiri kehilangan roh untuk menulis. Saya tidak lagi keluar melihat alam, membaca untuk menambahkan pengetahuan dan mendengar untuk mencantikkan roh saya lagi,mengikuti perbincangan group untuk bertukar-tukar pendapat.

Tiada alasan untuk saya persembahkan mengapa saya jadi begini. Alasan ayah saya ke rahmatullah tidak sewajarnya digunakan. Sungguh, saya akan menjadi perempuan yang paling cengeng kalau saya berani mengatakan begitu. An insult to my dearest dad.

Hari sudah semakin sejuk. Syukur alhamdulillah Kak Ina membuka heater 2 kali sehari. Saya ngga dapat bayangkan kalau heater tidak pernah dibuka, mungkin saya akan menjadi panguin. Saya benci menjadi panguin. Sejuk akan mematikan roh saya yang sudah tercungap-cungap keletihan ini.

Saya mahu pulang. Tapi, saya ngga mahu pulang ke Malaysia. Benar sekali, dunia ini bukan rumah kita, rumah sebenarnya adalah di akhirat kelak. Permanent house. Harga rumah yang mencanak-canak naik di Malaysia sudah cukup menggerunkan saya. Tapi, mahu membeli mahligai di syurga kelak gimana?


وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آَمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: "Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zhalim. ” (QS. At Tahrim: 11).


Sewaktu menunggu Kak Ina di library kelmarin, saya duduk mencangkung, melihat titis-titis halus hujan yang turun dengan riang sekali. Saya kebosanan, dan lantasnya meneliti kembali sms yang dikirimkan kepada saya oleh Abah. Antara sms nya yang tidak akan mampu saya lupakan adalah - Allah suka orang yang berjihad menuntut ilmu. Ini kerana saya mengadu padanya bahawa saya ngga mampu lagi belajar, terlalu sukar untuk saya menulis.

Titis-titis air mata saya turun. Dalam posisi itu, kelihatan sungguh saya seperti kanak-kanak meminta sedekah. Meminta Sang Maha Pengasih itu supaya mengasihani saya, Bonda dan adik-adik lain. Saya tidak ingat siapa yang mengatakan, bahawa kematian adalah sesuatu yang kejam, yang memisahkan cinta, yang memporak-perandakan keluarga. Dan sabar ini, adalah antara sabar yang paling berat untuk di praktikkan. Kerana kematian itu adalah bukan dalam rencana hidup, ianya datang tiba-tiba.

Saya tidak tahu mengapa Allah takdirkan saya melihat proses kematian Abah. Bermula dari wad biasa, ke wad ICU, dari nazak sehingga nafas terakhir. Anda kira, akan dapatkah saya lupakan wajah Abah?

Saya sangat lemah. Cengeng. Allah. Allah. Allah.

Adik saya berkali-kali memohon, berdoa supaya Abah tidak meninggal di bulan Mei. Kerana nenek meninggal pada 1/5/2011. Kerana tarikh lahirnya adalah pada 11/5. Kerana Atuk jua meninggal pada bulan Mei.

Tapi Abah pergi pada 1/6/2011. Tepat setahun - ulang tahun yang pertama dimasukkan darah. Saya masih teringat lagi, kami adik-adik perempuan semua pulang ke rumah, dan mengelilingi Abah - menemani Abah makan malam di biliknya. Saat itu Abah sangat lemah kerana darah merahnya sudah turun, hingga tidak mampu ke dapur lagi. Ada yang mengurut-urut kakinya, ada yang duduk disebelah memicit-micit bahunya. Saya tidak ingat saya buat apa.

Abah mengatakan - cukup 5 orang anak perempuan Abah - sambil tersenyum.

Saat itu kami baru sedar, kami jarang dapat bersama, pasti salah seorang dari kami tiada. Terutamanya saya yang ke luar negara ini.

Tiada apa yang saya mahukan selepas ini, kecuali bertemu dengan Abah.

Ajit berkata pada saya - Kak, Aku tak pernah tengok ibu bapa yang sangat disayangi oleh anak-anaknya macam Abah. Saya terpempan, lantas bertanya- apa maksud kau? Jawapnya- ye lah, anak-anak tunggu siang malam, baca quran sepanjang waktu di ICU, sewaktu nazak, semuanya berkumpul menangis nak rak.

Eh, bukan semua anak-anak pun akan buat macam tu kah?

Anda tahu, salah satu perkara yang lucu berlaku pada hari pengebumian abah adalah, kami sempat tertidur selama satu jam selepas jenazah Abah sampai. Rakan-rakan Abah datang menziarahi selepas mereka solat subuh disurau. Menangis perlahan-lahan. Selepas mereka beredar, Bonda meminta saya keluar membeli sarapan untuk kami dan saudara-mara yang akan datang.

Selepas pulang dari kedai, saya terus ke bilik, merebahkan diri ke katil, dan wargh, terus ke alam mimpi. Tiada niat. Tambahan lagi semua adik-adik perempuan mengikut jejak langkah saya. Bila Bonda mengejutkan, saya terpinga-pinga, aku dimana ini? Mengapa terlalu ramai orang di ruang tamu?

Yah, Abah meninggal hari ini. 48 jam tidak tidur, menangis bertan-tan air mata, dan akhirnya saya tertidur sejurus jenazah sampai. Ridiculous. Mana ada anak-anak tidur di hari pengebumian ayah mereka?

Udah-udah lah tu, pasti Ajit berkata begini.

Abah, akak nangis ni.

Tuhanku, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tiada tempat lagi untuk ku adukan semua duka laraku. Kerana aku hamba-Mu, dan Engkau Tuhanku, lakukan apa yang layak untukku, sesuai dengan sifat-sifat-Mu.