OLEH FAISAL TEHRANI 
  
(Tersiar di Dewan Sastera Mac 2006)
 
SEPERTI biasa, seperti pagi-pagi  terdahulu, sebelum berangkat ke Eminonu, saya akan singgah mencicip teh  hangat dan mencebis simit di kafe tersebut dahulu. Kafe kecil tersebut  terletak di Kadikoy, benar-benar menghadap stesen bas yang sibuk, di  sebelah kedai pengurup wang, betul-betul di hadapan laluan masuk menuju  ke sebuah hamam dan butik jeans Mavi.
 
Musim gugur telah bertukar  menjadi musim dingin. Saya harus membalut tubuh tiga atau empat lapis  baju, mengenakan sarung tangan dan balaclava, supaya telinga tidak akan  menjadi kebas perit. Salji belum turun lagi dan saya tertunggu-tunggu  musim dingin ketiga di Istanbul. Beberapa hari sebelumnya, di Kocaeli memang ada gerimis salji tak  menjadi, turun erang erot kecil-kecil mendarat longlai ke bumi dibawa  kelembubu.
Kafe kecil tersebut selalu taru disesaki manusia, sentiasa  disendati pengunjung hingga jarang-jarang sekali akan ada kerusi atau  meja kosong. Kafe Simit Saray tetap memanggil-manggil pelanggan yang  melintas untuk singgah sebentar.
Pagi tersebut, seperti pagi-pagi  terdahulu, saya mampir sebentar untuk meneguk satu atau mungkin lebih  cawan teh, melihat ragam manusia di sekeliling, atau memperdiarkan  mereka sahaja, kerana sibuk menulis puisi atau sebarang catatan kembara.
 
Namun  kehadiran landahur itu lain, kehadirannya menandakan kewujudannya. Dia  berlesung pipit jika tersenyum dengan mata bulat terbuka serta bibir  yang terukir elok membuatkan banyak mata berhenti seketika, paling tidak  menjeling kepadanya sebelum meneruskan semula aktiviti masing-masing.  Pengunjung kafe semua mengerling bukan kerana pakaiannya mesum atau pipi  ramus atau mata rudunya menyimpan makhfi tetapi saya kesani orang  memandang belia tersebut dengan tatapan penuh cinta. Seolah-olah dialah  insan yang membawa pedoman untuk setiap penghuni kota. Akhlak apakah pakaiannya hingga mempesonakan dan menggamamkan setiap yang menatap?
Oleh  kerana tiada lagi tempat duduk, maka dia duduk di hadapan saya selamba  tanpa meminta keizinan. Ya, dia tak perlu minta kebenaran pun, kerusi  kosong di kafe tersebut bukan milik saya tentunya.
Dia datang  menatang seteko penuh teh (sedang pelanggan lain hanya membawa secawan  kecil). Sungguh dia pelanggan rasmi di kafe ini tetapi baru pagi ini  saya menyedari. Masakan dia dapat keistimewaan untuk minum teh sebanyak  itu. Pedulikanlah dia, dia penggemar teh agaknya dan membayar lebih  untuk mendapat bekalan tambahan.
Tetapi yang menjadikan kami kawan  seterusnya ialah kerana dia menyedari mata saru saya. Dan saya, saat  menyeluruhi mukanya mendapati warna matanya taruk bersinar-sinar.
‘Apa sahaja yang merusuhkan kalbumu sahabat?’
Saya pura-pura tidak memahami bahasa Turki, menggeleng-gelengkan tangan tanda malas melayan.
Namun  dia sudah tahu pekerti saya selama ini, setiap pagi di Simit Saray,  minum teh dua cawan, tenggelam membaca bermacam buku dan sesekali benar  membalas pertanyaan pramusaji atau pelanggan lainnya. 
  
Dia mungkin telah lama memerhatikan saya secercah mata.
‘Sayang  sekali kau kesunyian.’ Begitu dakwa landahur. ‘Namaku Abdullah…’ Dia  menghulur tangan yang membuatkan saya tidak dapat mengelak sama sekali  dari berjabat. 
  
Pagi tersebut mulanya  persahabatan kami atau seperti yang Abdullah sebutkan, ‘percintaan’ kami  tanpa rasa segan malu. Setiap pagi kami bertemu di Simit Saray,  bergarah bergurau, bercanda berlucu, berjenaka berlelucon. Kata-katanya  menyentak nubari saya, berdetak, dan barangkali inilah mata dan bicara  yang bergabung bersama untuk menjangkau jiwa sepi ini dan saya  menafsir-nafsir ungkapan lama, ‘Ja’a mina’l qalbi fadakhala’l-qulub (Ia datang dari sukma, masuk menerobos sukma).’
Abdullah  pemuda yang tidak terjangkau dek saya menerusi mata ungunya, mata nilam  itu yang mengejip tatkala menanti saya tiba dari pangkalan feri Eminonu  dan mata itu jugalah yang terkejap kaget mendengar apa yang saya lalui  sepanjang kembara sejauh ini dan Abdullah sentiasa memberikan mata yang  tidak kaku, ungu, mata yang menatang lembayung pada hari petang dan  menampung biru kala setiap kesegaran pagi. Mata yang melembak kasih.
Sungguh,  di situlah agaknya keisimewaan landahur tegap tersebut sehingga  membuatkan selalu pengunjung di Simit Saray berhenti melakukan apa-apa  dan menjeling sesaat sebelum kembali meneruskan perlakuan sebelumnya.  Cinta. Dia adalah manusia cinta dengan zikir dan ulang-ulang bicara  tentang Cinta. Tasbih tersebut memang selalu berkitar di jarinya.
Abdullah  memberitahu saya dalam tutur yang rapi bahawa cinta sahaja akan  menyelamatkan manusia dari kepunahan dan perbalahan. ‘Formulanya cinta…’
Saya  terkerlip sampul yang sama dihantar Rasulullah S.A.W untuk memanusiakan  manusia di zamannya. Bukankah Aus dan Khazraj yang berperang beratus  tahun itu disatukan Nabi dengan cinta mulus dan kasih kudus? Bukankah  cinta menghapuskan perhambaan dan menjadikan manusia berkulit hitam,  kuning langsat dan putih merah dapat memberi salam hormat dan mendoakan  keselamatan sesama mereka (meski kadang-kala mereka tak saling  mengenal).
Tolong, tolong jangan tafsirkan cinta di sini sesempit  yang dipadatkan Barat, terhad pada satu-satu ruang, sehingga cinta yang  mulus telah menjadi serong pada waktu tertentu atau cinta itu hanya  mengandung makna noda. Mesti berakhir dengan tilam, bantal dan dosa.
‘Bukan begitu sahabat.’ Tutur Abdullah sambil membawa ketawa sopan.
Cinta tak perlu hubungan jasmaniah semata-mata.
Cinta tunjang futuwwah dan ukhuwwah. Cinta adalah bumbu kesatuan akidah, ratna kesepaduan syariah dan manikam akar ihsan.
Kalau  tidak kerana cinta Tuhan takkan menghantar kita ke dunia. Kalau tidak  kerana cinta Tuhan tak akan menguji menduga manusia hamba-Nya. Kalau  tidak kerana cinta Tuhan tidak akan menganugerahkan sawab-Nya.
Cintalah  yang membuatkan umat kuat perkasa. Kerana cinta kepada akhlak  Rasulullah maka setiap generasi umat Islam kembali melakukan tajdid.  Yang dikatakan oleh Allahyarham Dr Martin Ling atau Abu Bakr Siraj-ad  Din sebagai tajdid itu satu gerakan untuk mengundur ke belakang (bagi  mendapat dan menatap kembali era generasi al-Quran di kala hidupnya  Rasulullah) bukan satu gerakan menjauhi cinta yang maju ke hadapan dan  meninggalkan segala sunnah dan ajaran baginda.
Pagi itu, pagi musim  dingin yang sangat membeku membungkam kata-kata, saya membuat keputusan  untuk pulang tiba-tiba, dia membelanja saya secawan teh atau seingat  saya dua. Sarapan pagi di Simit Saray sebelum berangkat pulang. Saya  dapat melihat dia sebak, matanya ungu bertukar menjadi abu-abu dan dalam  sukmanya, bintang suraya mengerdip cinta luluh.
‘Kita akan bertemu  lagi pastinya.’ Kata saya perlahan, berharap, berdoa, kata-kata tersebut  seakan-akan bertelut di satu simpangan jalan kehidupan yang libat  melibat.
Dia sahabat saya, saudara saya, di saat kembara dalam susah  penuh bahana, dan kesempitan wang, rezeki saya dihantar Tuhan  menerusinya dan mata itu, mata ungu itu sentiasa mengasihi musafir yang  lelah.
Saya akan berangkat pergi, entah bila Tuhan izinkan saya ke  sini lagi. Bertemu dengannya, bergurau dan ketawa dengannya, ya seraya  minum teh, dan kami akan saling berbisik tentang impian melihat khilafah  kembali tertegak, cinta kembali mendapat takhtanya dan manusia akan  berdamai kerana Tuhan itu satu, Dia Maha Kuasa, Tuhan yang menjadikan  manusia atas dasar cinta dan manusia seharusnya, akan kembali kepada-Nya  dalam keadaan serupa.
Sebelum dia menghantar saya naik feri membawa  langsung ke Eminonu. Dia membuka telapak tangan dan meletakkan sebentuk  cincin nilam. ‘Maafkan aku, tak banyak aku dapat berikan untuk kau bawa  hatiku pulang ke negerimu.’
Saya senyum pilu. Kami berdakapan. Oh erat dan hangat sekali persaudaraan ini, meski di sekeliling cuaca amat dingin sekali.
Kemudian  Abdullah bersuara lagi. ‘Aku pernah terbaca hadis diriwayatkan oleh Abi  Dawud yang berbunyi lebih kurang begini: ’Andai seseorang dari kamu  mencintai sahabatnya kerana Allah, maka hendaklah kamu memberitahunya.’
Abdullah memandang saya sungguh-sungguh. ‘Demi Allah aku mencintaimu sahabatku.’
Saya  menahan sendu, bergerak pergi ke Lapangan Terbang Attaturk. Sungguh  kata-kata yang baik, jalinan kisah-kisah yang indah mempesona menusuk  sukma.
Dalam pesawat terbang ke Tashkent saya menitip puisi untuk landahur penuh cinta di Simit Saray:
 
(Kau bacakan aku apa ya,
malam hari aku berdoa untukmu
dalam mimpi aku bermain guli denganmu
dalam pagiku ada kasih kalbumu
dalam senja senyummu ranum
masih
harum
teh dalam cangkir kecil itu
aku tertanya
apa sudah kau bacakan dalam renung matamu?)
 
Sungguh ja’a mina’l qalbi fadakhala’l-qulub. Datang dari sukma, menyelinap ke dalam sukma.