Friday, 6 August 2010

Innalillah wa-inna ilaihi raji’un

Salams,

Kata adik saya, dia jahat sekali, menggores kereta yang Abah baru beli dengan hasil jualan kelapa sawit. Sambung adik lagi, dia turut sekali menggores kereta kawan yang dibeli dengan hasil titik peluh ibunya yang berniaga di pasar malam. Kata adik, kalau mahu disenaraikan 'kejahatan' dia, tak terlarat katanya. Bonda dan saya menyabarkan adik, mengatakan mungkin ini kifarah kita, dan moga-moga Sang Maha Pengasih itu mengangkat darjat kita ke tempat yang lebih tinggi.

Tidak pernah terlintas didalam fikiran dan hati kami bahawa sesuatu yang buruk akan terjadi kepada dia. Bahkan, orang-orang yang lebih jahat dari dia tidak pernah dibalas Tuhan lagi, duit rakyat habis dikikis, harta negara habis dicuri, rakyat dibunuh sewenang-wenangnya, rakyat dikuras sehabis-habisnya, dan kalau mahu disenarai panjangkan lagi, saya bimbang saya akan dijangkiti penyakit darah tinggi.

Dengan takdir Ilahi, dia kemalangan dua hari lepas. Tangan dan kakinya patah, darah beku di otak dan dadanya pecah. Dia bawa BMW milik keluarganya, dan berlanggar dengan lori di jalan Grik-Jeli. Keretanya remuk sehingga enginnya hancur. Dua tayar depan lori tersebut tercabut. Dia dibawa ke hospital Kubang Kerian yang mengambil masa dua jam setengah. Saya pernah memandu di sana, di dalam cuaca baik mahupun cuaca terburuk saya pernah lalui dalam sejarah pemanduan berhemah saya. And let me tell you something, the road seems cheerful when the sun shines, but horribly scary during the worse weather. It is the worst road I've ever drove on.

Dia meningal dunia hari ini, pukul 3 Jumaat pagi. “Innalillah wa-inna ilaihi raji’un – Truly to Allah we belong, and truly to Him shall we return”. Dia baru berusia 25 tahun. Bonda kata, ini pasti roh orang yang beriman, kerana Allah swt memanggilnya pada hari yang paling mulia di dalam Islam. SubhanAllah, apa amalannya hingga dipanggil Sang Pengasih itu, hingga diberi kemuliaan terbang menuju alam barzah pada hari ini? Dan siapa kita mahu mengadili dia berdasarkan amalan-amalannya yang terdahulu?

Semoga kita semua sempat merasai Ramadhan yang mulia ini. Semoga segala kekhilafan kita dimaafkan dan diampuni-Nya. Dan yakinlah segala amalan kita ini, jikalau tidak diizinkan oleh Allah swt itu, tidak mampu jua kita lakukan. Apa yang digerakkan oleh Allah swt untuk kita perbuatkan, bersyukurlah diatas nikmat-Nya yang teragung. Dan dalam kita mencela-cela amalan orang, perbaikilah dahulu amalan kita. Sayugia saya mahu mengingatkan, tiada bezanya antara kita, yang membezakan adalah taqwa. Ayuh, mari kita berlari menggapai Redha-Nya.


إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عَندَ اللَّهِ أَتْقَـكُمْ

“….Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kalian…” [alHujurat (49) : 13]



Kepada pembaca setia, pasti anda masih ingat dengan Lady Durham, yang membantu saya dengan kertas kedua saya. Tanpa bantuan Allah swt melalui dia, pasti sahaja sehingga kini kertas saya tidak selesai lagi. Mohon pembaca sekalian menghadiahkan al-Fatihah pada ibu beliau, yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Jua al-Fatihah kepada rakan adik saya.

Al-Fatihah.