Thursday, 2 June 2011

AL-FATIHAH TO ABAH HAJI MARWAN

Salams,

This will be my last entry.

Dari dahulu lagi saya sudah mau menutup blog ini, atas sebab-sebab kecil. Tetapi ya, kali ini, saya sedar, saya sudah tidak akan mampu menulis lagi. Mungkin jua saya akan kembali ke dunia blog, insyaAllah, di masa akan datang. Mungkin.

Abah saya bertemu Rabbul Izzati pada 1/6/ 2011. Bermula dari kemasukan di dalam wad kecemasan, dan di pindahkan di ward biasa, dan kemudiannya ke ICU Hospital Ampang. Dan di sepanjang masa, tidak putus-putus air mata dan doa. Terutamanya ketika beliau berada di dalam ICU. Pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan nyawa beliau, yang tidak bisa saya tuliskan disini.

Hari terakhir sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, kondisinya sangat bagus berbanding hari pertama di ICU. Saya sampai percaya yang beliau akan dipindahkan ke ward biasa, dan mula merancang untuk pulang ke rumah di kampung atas beberapa urusan penting.

How wrong I am, or was.

Ketika saya melawat Abah pada tenghari itu, luruh air mata saya melihat keadaannya yang nazak. MasyaAllah. Kalimah tauhid tidak putus-putus saya bisikkan di telinga.

Dan pada saat-saat akhir Abah? Siapa bisa melihat ayah sendiri menghembuskan nafas terakhir?

Saya kira, saya tidak akan pernah bersedia menghadapi ujian ini. Pernah jua saya berniat, biarlah Abah pergi semasa saya di luar negara, supaya saya tidak menghadapi segala pengalaman ngeri ini.

Ya, ngeri sekali melihat orang-orang yang anda paling cintai menghadapi sakratul maut. Berat, sangat berat. Entah kenapa setiap kali saya datang melawat, Abah akan memberikan respon yang lebih. Tangannya yang saya genggam akan diangkat-angkatnya. Pehanya jua. Abah jua akan cuba bercakap-cakap dengan saya, sayang tiub di mulut tidak mengizinkan. Matanya akan terbuka memandang saya, sambil berkedip-kedip. Padahal dengan adik saya, cuma tangannya sahaja yang akan bergerak-gerak. Dan semasa di ward kecemasan dan di ward surgery, hanya meraung sahaja yang Abah saya lakukan, sakit perut yang teramat sangat. "Kakak, sakit Kak."

Tahu apa rasanya, saudara saudari sekalian, melihat Abah di dalam kondisi tersebut? Mendengar raungan itu?

Tahukah kalian bahawa saya serasa mahu gila melihat Abah begitu?

Dan saya sudah merancang, sehabis talkin dibacakan, saya mahu ke KLIA dan pergi ke London, atau Istanbul, supaya segala kenangan yang teramat pahit ini dapat, setidak-tidaknya, saya lupakan.

Percayalah saudara-saudari sekalia, saya tidak sekuat yang kalian sangka kan.

Saya berasa teramat benci dengan kehidupan saya.

Cuma ada satu peristiwa yang menyelamat saya dari menjadi separuh gila. Ya, Tuhan itu, Amat Baik. Maha Baik. Jenazah Abah sangat lembut, Abah tersenyum gembira dan dahinya berpeluh. Semasa saya mencium dahinya buat kali terakhir, dahinya basah walaupun sudah di lap berkali-kali. Dan semasa tangan saya mengelus lembut dahi Abah sebelum jenazah di turunkan ke liang lahad, dahinya masih basah.

Dan itu adalah tanda-tanda mati di dalam Husnul Khotimah, insyaAllah.

Saya cuma punya Tuhan yang akan menjaga Abah saya di alam barzah. Cuma punya Allah Yang Maha Pengasih untuk menerima taubat Abah dan Maha Baik untuk tidak menyeksanya disana.

Kubur Abah bersebelahan dengan kubur Nenek. Petang tadi, saya melawat kedua-duanya. InsyaAllah pasti bahagia mereka disana. Sudahkah mereka berjumpa dengan Rasulullah saw yang mulia itu?

Walaubagaimanapun, saya rasa, ini mimpi belaka. Adik kata saya menjerit-jerit di hospital, melihat kereta sorong mayat. Saya tidak sedar, atau mungkin separa sedar. Alhamdulillah, saya masih waras lagi. Cuma mungkin rasa hidup ini kosong, sekosong-kosongnya. Berilah saya masa 3 hari berkabung, dan insyaAllah.

Ramai bangat kawan-kawan Abah yang datang melawat, memandikan dan menyembahyangkan jenazah Abah. Ramai sekali kawan-kawan Abah yang menangis ketika melihat wajah Abah. Ketika di surau, adik kata, sewaktu doa seusai solat subuh, ramai sekali yang merah mata. MasyaAllah, SubhanAllah. Ramai sekali yang menyayangi Abah.

Akhir sekali, syukran tidak terhingga kepada ucapan takziah dari rakan-rakan di Durham dan di mana-mana. Doa kalian amat kami butuhkan. Please, send al-Fatihah to my arwah Abah, Haji Marwan B. Saliman / Binti Gemi.

Abah, I miss you so, so, so much. It's really hurt, really really hurt, when you are not around anymore.

I love you very much.

Kepada pembaca sekalian, syukran kerana sudi membaca tulisan saya selama ini. Saya doakan kalian tetap berusaha untuk berada di Sirotol Mustaqim, insyaAllah.

Salam sayang.