Thursday, 31 May 2012

ABAH 1/6/2012 00:38

 

 

Tulisan saya:

Sudah ke taman tulip kah di Holland?Di Keukenhof? Saya sehingga hari ini menyesal kerana tidak sempat membawa Emak dan arwah Abah ke sana. Abah,  yang sangat mencintai taman dan park. Abah, yang sangat saya cintai itu. Sehingga sekarang saya masih belum mampu mahu menziarahi Abah di kubur, walaupun  saya pulang ke Teluk Intan hampir setiap minggu sejak kebelakangan ini. Serasa saya Abah masih di rumah. Masih disisi saya. Saya jua tidak akan mampu untuk menceritakan derita ini pada sesiapa, kerana hampir pasti setiap dari mereka cuma menyabarkan saya, atau mahu menyentak saya dari segala kepedihan ilusi ini. Ah, maaf, mengarut pula saya. 

 

Balasan seorang rakan:

Tentang ayah akak, kelu lidah saya. Tentulah saya tidak menghadapi ujian sebesar sehebat itu seperti yang akak hadapi. Taka dapat saya membayangkan lukanya, sakitnya. Cuma saya mendoakan agar kalian nanti dipertemukan dalam pertemuan yang manis, yang berkah, dengan saling tersenyum. Moga terlerai dari segala rindu dalam detik yang tak terukur itu.

Wahai manusia! sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya

Maka adapun orang-orang yang catatannya diberikan dari sebelah kanannya,
maka dia akan diperiksa dengan mudah,
dan dia akan kembali kepada keluarganya dengan gembira.'

( Al Insyiqaq, 7-9)

Mudah-mudahan kak.

 

1/6/2012 00:38

Tepat setahun Abah meninggal dunia. Waktu itu, Abah di kelilingi seluruh kaum keluarga kecuali Amin yang berada di Behrang. Adik yang sangat saya cintai itu. Mencium pipi abah kali terakhir di hospital. Merenung jenazah Abah. Ajit duduk di sebelah katil, membuka al-quran kecilnya dan membaca ayat-ayat Allah swt. Sesekali saya nampak Ajit membuka cermin matanya dan mengelap matanya. Bonda dan seluruh kaum keluarga sudah berada di dalam kereta di laman hospital, menunggu saya mahu ke Teluk Intan. Cuma tinggal saya dan Ajit di wad ICU. Dan saya jatuh terjelepuk melihat kereta sorong mayat masuk ke dalam ward, mahu mengambil jenazah Abah.

Al-Fatihah. Haji Marwan bin Saliman bin Parjo.

I’ll meet you soon, Abah. InsyaAllah.

Oh, mahu tahu tentang mimpi saya mengenai Abah sewaktu saya di Haramain?

Sudah saya katakan, saya ngga pernah bermimpi tentang Abah sebelum itu.

Yang pertama, saya mencari-cari Abah di lautan manusia. Abah, Abah, teriak saya, menoleh ke kanan ke kiri. Dan rupanya Abah berdiri di tepi taman, menoleh ke kanan kiri jua, seperti mencari saya, menunggu saya. Saya melambai ke arahnya, dan meluru laju menghampiri Abah. Dan Abah memeluk saya, erat. Menangis tersedu-sedu saya. Sampai sekarang saya masih merasakan pelukannya. Kemudiannya, tanpa sepatah kata, Abah berlalu, ke arah kanan saya, meninggalkan saya. Meraung-raung saya, meminta Abah menunggu saya, supaya jangan meninggalkan saya. Abah, tunggu Bah.

Dan kemudian saya terjaga, masih tersisa kehangatan pelukan terakhir Abah. Masih ada sisa air mata.

Keduanya, saya dan Abah sedang berpakaian ihram, menunggu bas ke Arafah. Tapi kami di rumah Teluk Intan. Pelik. Tidak saya ingat perbualan apa – yang paling saya ingat adalah pesanannya – bersabarlah mahu ke Arafah ini. Jangan marah-marah, jangan merungut-rungut.

Ketiganya, saya melihat diri saya dan Abah menunggu bas mahu ke Mina, kami di Muzdalifah. MasyaAllah. Abah berpakaian lengkap ihram, dengan menutup seluruh tubuhnya, kerana cuaca di Muzdalifah agak dingin. Saya? Saya duduk disebelah Abah, tetapi saya tidak tahu apa saya buat, sebab saya (yang bermimpi ini), takkan le nak pandang saya yang sedang duduk itu bukan? Saya memandang Abah, terperanjat lagi dengan mimpi ini.

Keempatnya – saya tidak boleh cerita.

Apa Abah sedang buat ya? Saya terbaca, mayat either di seksa, atau pun sedang berzikir.

Abah sudah berjumpa Rasulullah saw itu kah? Abah sudah tahu rahsia bintang-bintang itu kah?

Abah.

Abah, semoga Abah dijauhkan dari seksa kubur, dipindahkan ke taman-taman syurga. Semoga Abah dijauhkan dari panas dan seksa padang mahsyar. Semoga amalan-amalan baik Abah tidak terhapus. Dan semoga Abah dapat melintas sirotal mustaqim sepantas kilat. Dan semoga Abah masuk syurga tanpa dihisab.

Ameen.