Salams,
Bismillah hirrahman nirrahiim,
Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhamad, wa'aala 'Aali Saidina Muhamad.
Saya rindu Rasulullah saw. Baru menonton youtube Dato' Harun Din bermimpi menemui Baginda. Allah. Allah. Allah.
Kalau saya diberikan anugerah menemui Baginda, akan saya khabarkan bahawa - ulama' terkini meninggalkan kami, umatmu ya Rasulullah. Tiada pembelaan terhadap kaum wanita yang lemah, janda-janda dan anak-anak yatim terbiar. Orang-orang tua yang dicampakkan di kamar usang. Yang ditindas terus ditindas. Yang dizalimi terus dizalimi. Kami dihidangkan dengan pelbagai hukum-hukum yang keras, tidak lagi fokusnya pada ingatan Robbul Izzati.
Sedangkan kami tahu, 13 tahun pertama perjuanganmu adalah membetulkan akidah.
Ya Rasulullah saw! Ya Rasulullah. Pelbagai cercaan terhadap mu, terhadap orang-orang yang ingin memujimu, terhadap kaum keluargamu terutamanya Ayah Bondamu, terhadap sunnahmu.
Sedangkan mereka itu tahu benar siapakah dirimu - Manusia paling sempurna pernah dicipta. Atau setepatnya, ciptaan-Nya yang paling sempurna, surpass everything else.
Tidak boleh menangis ketika di Raudhah menziarahimu, atau didepan kubah hijau - haram katanya. Bagaimana mahu menahan tangisan? Kalau meninggalkan ibu bapa semasa bepemergian sahaja saya sudah meraung-raung, apatah lagi menziarahimu, yang hanya sekali dua seumur hidup, dirimu yang diwajibkan dicintai melebihi dari segala-galanya, kecuali Allah swt.
Saidina Bilal bin Rabah tidak mampu dan tidak mahu menjadi muazin lagi sesudah kewafatanmu, kerana pabila melaungkan kalimah syahadah itu, segala kenangan bersamamu terlintas. Bagaimana kami ini, ya Rasulullah saw?
Ya Rasulullah.