Salams,
Dibawah adalah catatan dari rakan saya. Yang membuatkan saya paling 'stunt', adalah rahsia yang Ija simpan sehingga ke penghujung haji, malah setelah berminggu-minggu kami disini.
Dan rahsia yang Ija simpan dari Kak As adalah, kami tidak menggunakan quota haji kepunyaan kakak saudara Ija.
Kalau dahulu saya sangat tidak yakin dengan konsep panggilan haji adalah rahsia Allah, adalah jemputan dari Sang Penguasa langit dan bumi, setelah mengetahui rahsia Ija - saya mengerti,
Allah, Engkau kah yang memanggil ku ini?
Anda tahu bukan, bahawa saya kehilangan Abah yang paling saya cintai itu - yang saya cintai melebihi segala-galanya di dunia ini. Sedangkan Rasulullah saw sendiri sentiasa menyebut nama Saidina Khadijah, dan menyebut-nyebutkan kebaikkan-kebaikkannya. Dan pada tahun kewafatan Saidina Khadijah dan Abu Talib - tahun itu digelar tahun kesedihan.
Dan anda mahu tahu, hadiah apa yang diberikan oleh-Nya, untuk kekasih-Nya itu?
Diangkatnya Rasul kita yang mulia itu, ke langit, pada malam Isra' Mikraj. Perjalanan menuju Tuhan. Diberikan solat sebagai hadiah penenang jiwa.
Dan hadiah paling besar dari Allah swt itu pada saya yang sangat lemah, jahil, hina dan penuh dosa-dosa hitam meliputi seluruh jiwa dan badan saya - adalah kesudian-Nya menerima saya sebagai tetamu-Nya. Dia yang Maha Mengetahui betapa remuknya jiwa saya, betapa tidak berguna hidup saya rasakan, betapa hampir mahu berputus asanya saya dengan segala-galanya - Dia Maha Mengetahui.
Anda tidak akan dapat tahu bagaimana perasaan saya melihat Abah, dari wad biasa, dan dipindahkan di dalam wad ICU, dan berjuang semasa nazak - anda tidak akan pernah tahu. Anda tidak akan pernah rasa. Dan saya, saya adalah anak terakhir yang berbicara dengan nya. Dengan saya, Abah menumpahkan air mata, dan menggenggam tangan saya semasa di ICU, walaupun matanya tertutup diliputi gam. Dengan saya, Abah mengangkat-angkat tangan dan kakinya. Tidak dengan anak-anak lain, saudara-saudari sekalian. Tidak.
Dan bermimpikan Abah semasa di Mekkah. Abah berpakaian ihram. Menunggu bas mahu ke Arafah. Menanti di Muzdalifah. Memeluk saya erat dan hangat - mendakap saya dengan penuh kerinduan, dan kemudian melangkah pergi, walaupun saya meraung-raung memintanya menunggu saya.
Kak As mengatakan bahawa ujian untuk saya sangat besar, saya bukan sahaja kehilangan Abah, tetapi jua imam - tetapi Kak As jua mengingatkan saya - bahawa hadiah dari-Nya jua sangat-sangat besar dan bermakna. Seperti Rasulullah saw, kami dipanggil menuju-Nya.
Allah.
_____________________________________________________________
Panggilan Allah pada kami
Kata Ija, “Allah sayang sangat pada kita ini.” Ayat itu sahaja buat air mata saya pecah berderai. Belum lagi Ija memaknakan tentang penyataannya.
Ketika kami makan petang selepas saya selesai temuduga biasiswa kedua PhD., saya dan Ija bercerita tentang Haji. Ia mungkin cerita yang akan sampai mati dan hujung masa dunia akan dicerita berulang-ulang. Dan rupanya banyak cerita terpencil yang saya tidak tahu dan Ija baru cerita.
Kata Ija, “Prof Kamil minta kuota menteri untuk pergi Haji. Dia juga solat hajat selama setahun untuk diterima Allah sebagai tetamuNya.”
Saya faham ke mana arah mula bicara Ija. Kami tidak berbuat seperti Prof Kamil. Kami tidak merayu pada menteri. Kami juga tidak sempat solat hajat selama setahun. Dan malam-malam kami tidak konsisten. Ada masa kami bangun untuk tahajjud. Ada masa terlalu penat, kami bangun hanya bila masuk subuh. Ija memaksudkan bahawa kami benar telah tertulis nama dalam luh mahfuz, telah dipanggil menjadi tetamuNya pada musim Haji 1432H/1433H. Amal mana yang kami sandarkan untuk mendapat keistimewaan ini, hanya Allah yang tahu rahsia.
Bagi saya yang banyak dosa ini, ia adalah magis yang terlalu rumit untuk saya pecahkan. Jika tanya rakan saya berdua itu, pasti mereka tidak pernah ragu Allah melimpahkan kasih sayangNya terlalu besar untuk saya. Subhanallah. Dan kenapa saya perlu ragu lagi, bahawa Allah mengasihi meski dalam dada menggunung dosa.
Petang itu Ija makan soto ayam. Saya makan gado-gado yang tidak sampai suku sampai ke dalam perut. Kami di KL Sentral. Saya melihat langit petang melalui celah-celah bumbung yang menyerlahkan warna alam. Terlalu suram seperti mahu hujan. Ketika itu saya melihat mata Ija banyak kali merah dan bergenang air. Kami berkongsi rasa. Rindu Makkah dan Madinah.
Tapi Ija terkesan mungkin kerana pesan saya pada dia, “Ija, awak mesti ingat selalu, untuk kes awak Allah sendiri membuka hati awak untuk bersama-sama kami mengerjakan Haji.”
Saya sudah merancang dari hujung 2010 untuk pergi Haji bersama Fakhzan. Ija rakan saya. Rakan paling baik. Jauh dari sudut hati saya berdoa dan berimpian, alangkah baik kalau Ija boleh bersama. Tetapi saya kenal Ija yang punya hati yang jitu. Kalau hitam katanya, hitamlah. Kalau putih, putih. Kalau ya, ya. Kalau tidak, tidak. Dan jangan diulang soalan yang sama. Bagi insan yang saya panggil Ija, keputusan dia selalu muktamad. Tidak perlu diulang tanya kerana jawapan akan tetap sama.
Namun impian saya untuk dapat berhaji bersama Ija tidak pernah luput. Dalam satu kesempatan baik dan tenang, saya tanya Ija “Akak dan Fakhzan merancang pergi Haji. Kami merancang pergi dengan pakej. Kalau awak ada niat nak berhaji marilah pergi bersama kami.”
Ija meninggalkan saya dengan jawapan, “Ija ada makcik dan pakcik yang merancang pergi. Jika mereka dapat pergi, Ija akan tumpang mereka. Pergi dengan muassasah.” Itu sahaja. Noktah. Saya tidak perlu mengulang tanya.
Hanya setakat itu saya berusaha. Tiada kata untuk memujuk, tiada kata untuk meyakinkan. Ija dan saya sama-sama tahu perbincangan lanjut tidak perlu. Dari jawapan Ija, saya tahu Haji akan diharungi hanya bersama Fakhzan.
Saya berbincang banyak dengan Fakhzan. Melalui pesan SMS, emel dan Yahoo Mesengger dari Malaysia-UK. Juga cerita tentang Ija. Rupanya Fakhzan juga menyimpan impian yang sama. Supaya kami semua bersama dapat berpergian ke Tanah Suci.
Allah telah menakdirkan arwah ayah Fakhzan sakit pada bulan Mei/Jun saya tidak berapa ingat. Waktu itu arwah Pakcik Marwan sedang sakarat. Tempat rawatan di ICU Ampang. Ija selesai temuduga. Kemudian bergerak melawat Pakcik Marwan. Fakhzan sudah lama pulang dari UK untuk bersama ayah mengharungi sakit berat. Cerita Ija pada saya, juga cerita Fakhzan pada saya, ketika Fakhzan menghantar Ija balik ke kereta selepas melawat arwah Pakcik Marwan, itulah saatnya Fakhzan memanjangkan ajakan pada Ija. Untuk sama-sama pergi Haji. Kata Fakhzan, PhD Ija masih awal lagi. Tidak ada masalah untuk Haji dahulu kemudian fokus pada PhD. Jika bukan sekarang, Ija tidak akan pergi haji untuk 3-4 tahun akan datang. Selepas PhD baru boleh fikir semula.
Petang di KL Sentral kami mengulang cerita. Saya berpesan pada Ija, “secara logik dalam keadaan Pakcik Marwan begitu tenat, Fakhzan tidak akan punya ingatan lain selain dari ayah yang sedang sakit. Pada masa itu Allah yang memberi ilham pada Fakhzan untuk membuka kembali jemputan untuk awak.”
Ija pulang ke kampung selepas melawat Pakcik Marwan. Selepas mendengar penerangan dari Fakhzan baru Ija membuka mulut pada mak dan Abah. Ija ada masalah kewangan jika pergi haji dengan pakej. Tetapi selesai Ija bercerita pada mak dan Abah, mereka dengan berbesar hati membantu Ija dengan keperluan kewangan yang mencukupi.
Subhanallah. Ini cerita jemputan Ija. Allah redha Ija untuk menjadi tetamuNya. Bukan. Allah mahu Ija menjadi tetamuNya. Cuma Ija yang belum tahu.
Allah menghantar saya. Allah menghantar Fakhzan. Allah menghantar mak dan Abah guna untuk memperkuatkan hati Ija. Untuk membuka pintu hati Ija. Untuk menghantar surat jemputan dariNya kepada Ija. Sekurang-kurangnya ini yang saya rasa. Betapa besar nikmat Allah untuk Ija. Alhamdulillah, Ija mendengar panggilan. Alhamdulillah setelah dengar, Allah bukakan hati Ija untuk menyahut.
Setelah Ija bersetuju, ada masalah lain. Permohonan dan rayuan ke Tabung Haji sudah mendekati tarikh genting. Surat rayuan saya dan Fakhzan telah lama siap dan sudah dihantar. Tetapi pada waktu itu nama hanya ada kami berdua, Fakhzan dan saya. Tetapi oleh kerana Ija mahu bersama, surat rayuan perlu dimajukan semula untuk tiga nama. Kami serah urusan ini pada Ija sebab Ija punya saudara di Tabung Haji.
Ini cerita rahsia Ija. Surat rayuan itu tidak pernah dihantar. Yang Ija hantar hanyalah borang permohonan menunaikan haji bersama Tabung Haji Travel & Services. Surat itu tidak dikemukakan sekali dengan borang permohonan.
Ini cerita rahsia Ija yang pecah ketika berada di KL Sentral. Saya membeliakkan mata untuk 2 sebab. Tidak percaya Ija tidak hantar. Yang kedua, takjub Allah menjemput kami tanpa kami perlu merayu pada Tabung Haji, apatah lagi memohon kuota menteri.
Subhanallah.
Kata Ija, Haji betul-betul jemputan. Seperti cerita Prof Kamil. Bagaimanapun usaha, jika Allah masih belum menjemput, kita tidak akan menjadi tetamuNya.
Bagi takdir kami, meski segala urusan teknikal yang perlu kami buat pada Tabung Haji tidak selesai yang nyata kami telah dipanggil. Di luh mahfuz nama kami sudah di daftar di padang Arafah. Jika Allah berkehendak kun, fayakun. Jika Allah berkehendak, apa pun undang-undang manusia adalah nihil. Tidak akan ada yang lebih superior dari kehendak Allah.
Kami ditulis dalam kehendak Allah. Kami adalah kun fayakun Allah.
Mengenang semua ini, hati saya sebak. Mata saya tidak berhenti mengalir air mata. Dalam solat, dalam sendiri, saya akan menangis semahunya. Dalam banyak masa, hati saya penuh hiba. Dalam rasa saya mahu panjat penuh rasa kesyukuran.
Kata Ija, “Allah sayang sangat pada kita ini.”
Saya mahu simpan ingatan ini, “benar Ija, Allah benar-benar sayang.”
___________________________________________________________________
Epilog – ketika hari menghampiri maghrib di KL Sentral, akhirnya Ija bersuara “kalaulah Ija tidak ikut korang pergi haji, Ija tahu Ija akan menyesal seumur hidup. Mesti waktu korang sampai dari Makkah, Ija akan jemput korang kan? Jika itulah yang berlaku, mesti menyesal yang tidak sudah.”
Kata saya, “awak kena selalu ingat, jemputan haji untuk awak, Allah sendiri yang menghulur tanganNya.”
Petang itu kami pulang ke destinasi masing-masing dengan mata yang merah.
___________________________________________________________________
Nota: Tempoh masa Ija menghantar borang dan menunaikan Haji (bulan 5 ke bulan 10) – 5 bulan. Keajaiban yang tidak dapat ditafsir akal.
"Tuhan, jika Engkau sendiri menghulurkan kasih sayangMu, bagaimana kami ini Ya Allah tidak menerimanya dengan penuh takzim? Wahai Tuhan sepenuh Cinta, masukkanlah ke dalam dada kami cintaMu."
6 comments:
subhanallah....
say juga ikut terharu, nur...
Bila namanya Jemputan dari Allah SWT, maka siapakah lagi yang dapat menghalang?
MasyaAllah... Rahsia itu kekal rahsia Nya, walau nampak sehujung rasa. Mampu gegar kalbu mengenangkan cintaNya:)
Enno,
Syukran, takziah untuk pemergian ibu kedua mu.
*hugs*
As
Benar sekali, Kak, benar.
SAR,
Fiqah, hows ur day?
Post a Comment