Monday, 12 December 2011

KISAH HAJI: ARAFAH, MUZDALIFAH DAN MINA

Assalamualaikum,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli 'Ala Saidina Muhamad, Wa'ala 'Aali Saidina Muhamad.


Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga Allah swt menjadi tujuan dalam hidup kita.

Kembali ke kisah haji, semoga kisah ini mejadi iktibar, pengajaran dan semoga bermanafaat buat kita, terutamanya meneguhkan iman kita. Semoga kita, terutamanya saya, dijauhkan dari sifat-sfiat riak', munafik dan syirik. Ameeen.

Kali ini saya mahu menceritakan pengalaman semasa wukuf, iaitu di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Kira sekali harung lah ye. Mungkin panjang sedikit.

Kami bergerak ke Arafah pada petang Jumaat. Lantasnya di pagi Jumaat, saya membuat tawaf. Setepatnya tawaf niatnya taubat memohon keampunan. Suasana sangat hening sekali, walaupun ramai orang berpakaian ihram, lingkaran tawaf sangat tenang. Tidak bertolak-tolakkan seperti biasa. Ramai yang sudah menuju ke Arafah. Alhamdulillah. Saya jua diberi peluang sujud di Hajar Ismail, Alhamdulillah, alhamdulillah. Kalian pasti mengerti, perjuangan memasuki Hajar Ismail di musim haji ini sangat mencabar. Jangan harap kalau tiada ketekadbulatan hati, kalian pasti ngga diberi rezeki memasukinya. Bila mana mengenai Hajar Aswad dan Hajar Ismail, pastinya manusia yang paling berakhlak mulia sekalipun akan bertukar menjadi ganas dan kasar sekali. Hairan.

Tetapi, di pagi Jumaat yang sangat mulia ini, kami diberi rezki yang sangat besar untuk solat dengan sangat tenang dan aman di dalam Ka'abah ini. Air mata melimpah ruah. Dan doa menyentuh arwah Abah sangat panjang saya panjatkan pada Dia, yang telah berjanji akan mengabulkan semua doa. Semoga segala doa yang saya baca tiada hijabnya.

Menyentuh tentang doa, antara doa-doa yang kalian pinta saya doakan, ada satu doa yang membuatkan saya begitu tersentuh sehingga ke dasar hati. Doa nya ringkas dan mudah, tetapi sangat mendalam maknanya.

Minta doakan ilmu saya berkat, umur saya berkat.

Dan doa ini saya seringkan doakan bukan sahaja untuk sang peminta, tetapi untuk semua keluarga kecil saya, keluarga sebelah Bonda, sebelah Ayahanda, guru-guru saya terutamanya SV, rakan-rakan Teluk Intan, rakan-rakan Pahang, rakan-rakan UK, orang-orang yang saya kenali, dan seterusnya seluruh mukmin dan mukminat.

Ameeeeeen.

Kami bertolak selepas Asar. Sewaktu mula bertolak, didalam bas, saya teringat saya masih belum membuat tahlil untuk Abah. Makanya sebelum memulakan bacaan yassin dan tahlil, saya memohon pada Yang Maha Esa supaya tidak diambil cahaya mentari sebelum saya menghabiskan bacaan tahlil.

Alhamdulillah, Dia Maha Mendengar.

Perjalanan kami ke Arafah, masyaAllah, sangat mudah. Kurang dari satu jam kami sudah sampai ke khemah maktab 99. Menangis saya sewaktu menjejak kaki dibumi mulia ini. (Iya, asyik menangis sahaja). Sahabat-sahabat yang dicintai, terlalu banyak cerita ngeri mengenai perjalanan ke Arafah, bukan? Ya, ia bukan cerita dongeng. Ada yang tersesat sehingga 14 jam. Ada yang basnya rosak sehingga 4 jam baru berganti bas baru. Ada yang sudah sampai ke Maktab 99, tapi pintu masuk Maktab 99 tidak dijumpai.

Mendengar cerita ini, saya serasa mahu tersungkur bersujud pada-Nya.

Khemas kami dapat memuatkan seramai 16 orang. Alhamdulillah, kami dapat tilam dan bantal. Satu malam di Arafah, saya tidur dengan lenanya. Mungkin kepenatan yang amat sangat secara emotionally dan spirituallynya. Mendengar kisah orang muasasah lebih menyedihkan, mereka cuma dapat khemah beralaskan karpet sahaja. Tetapi mendengar cerita dari negara lain, lebih lagi mengharukan, sebahagiannya tiada khemah disediakan, mereka membawa khemas sendiri dan peralatan memasak sendiri. Allahim!

Sewaktu wukuf, panasnya bukan main, ustaz berkata memang cuaca panas pada waktu wukuf di Padang Arafah sangat berlainan pada hari-hari biasa, panasnya bukan main terik kerana Allah swt mahu 'membakar' dosa2 kita. Kami tidak mampu menahan panas, lantasnya berlindung di balik payung. Kemudiaannya dibawah redupan pokok. Menjelang asar hingga maghrib (dimana waktunya sangat sekejap, kurang dari 2 jam), semua jemaah haji khusyuk' berdoa.

Doakan kami, sahabat-sahabat sekalian, doakan seluruh doa-doa kami, semua jemaah haji tahun ini, diangkat terussssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssssss ke Arasyi tanpa hijab, diperkenankan tanpa syarat, tidak dilemparkan dan dihinakan dek dosa-dosa kami. Doakan diatas kemuliaan-Nya, Dia Yang Maha Belas Kasihan itu, berkenan memberikan kami, seluruh jemaah haji tahun ini yang seramai 3 juta lebih manusia, haji mabrur. Dan kalian jua mendapat pahala haji mabrur kerana mendoakan kami.

Malam itu, kami bertolak ke Muzdalifah. Bintang dan bulan bersinar indah, menemani kami yang sangat kantuk menunggu bas. Dek kami mendapat giliran awal ke Arafah, Hotel kami mendapat giliran paling lewat untuk ke Muzdalifah. Lebih kurang tengah malam baru kami sampai ke sana.

Mahu percaya atau tidak, bahawa bas cuma mengambil masa 20 minit sahaja untuk ke sana?

SubhanAllah, Alhamdulillah...Allahu Akbar. MasyaAllah.

Sesampai disana, saya melihat lampu-lampu neon menyimbahi bumi Muzdalifah. Eh, Bonda kata kawasan ini gelap gelita, sehingga memerlukan lampu suluh untuk mencari batu? Alhamdulillah Kerajaan Arab Saudi yang baru saya kutuki pada entri lepas, sudah menyediakan prasarana ini. Dan kawasan ini tidak lah sesejuk yang Prof Kamil coretkan, mungkin kerana cahaya dari lampu-lampu neon ini panas. Alhamdulillah.

Saya mengutip batu dengan penuh khusyuk'. Sukar jua mahu mengutip batu yang besarnya secocok dengan bisikan hati saya. Besar macam kacang kuda. Saya rasa, fizikal saya yang kecil menyebabkan ramai orang mengasihani saya kerana menyangka saya masih anak-anak. Ramai sungguh jemaah haji, kakak-kakak dan abang-abang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang membantu saya mengutip batu, masyaAllah. Sekali saya berpindah kawasan untuk mencari batu, disana ada jemaah haji dari Thailand membantu saya mencari batu. Tiada apa yang mampu saya ucapkan kecuali jazakAllah hul khair. Syukran jazilan. Alhamdulillahhhhhhh.

Seusai membasuh batu kerana ia sunnah, seusai menyelesaikan solat-solat sunat -

kami tertidur! Innalillah waiina ilaihirojiun. Ini musibah, kerana itu saya membaca doa tersebut. Sewajarnya sepanjang malam hingga fajar kami berdoa dan bertafakur berfikir mengenai kebesaran-Nya. Aduhai diri!

Dan menjelang paginya, kami dibawa ke Mina. Ada perkara lucu mengenai penantian kami. Basnya memang lambat, iya, kami tidak menjangka sebaliknya. Ramai jua yang stress menunggu bas, kami ini riang sahaja mencicip biskut yang dibekalkan sebagai sarapan. Mengingati kenangan diberi teh oleh pakcik India. Ah, menunggu bas di Muzdalifah, bukan kah itu salah satu pengalaman termahal seumur hidup? Nikmati sahaja. Dan dalam masa disuruh berbaris, matahari sudah mula menyengat. Panas. Untunglah ada unta berhias yang terlepas dari tuannya berjalan melintasi kami, menyejukkan darah-darah yang mula mendidih. Dan unta itu lagaknya tahu sahaja ia model, berjalan dengan lemah gemalai, bergemerincing bunyinya. Terkekeh-kekeh kami menggelakkan unta tersebut, yang akhirnya dihambat tuannya.

Dan bas ke Mina, cuma mengambil masa 1/2 jam sahaja. SubhanAllah!

Khemah kami memuatkan seramai 32 orang tidak silap. Inilah rakan tiduran kami selama 4 hari, pengalaman yang sangat indah kerana kami kini punya ramai kakak-kakak dan makcik-makcik. Syukur! Syukur dengan segala nikmat-Nya. Dan pengalaman melontar sebanyak 4 kali, melalui 7 kilometer pergi balik, dan melalui terowong yang menggerunkan itu, sungguh, ia adalah pengalaman yang sangat mendewasakan kami. Pada hari kedua melontar, kami mengikut jalan 3, jalan pulangnya dari melontar, YaRabbi, sungguh jauh sekali berbanding dengan jalan 1 yang kami lalui pada hari pertama! Hampir pengsan jua kami setiba di khemah kerana kehausan dan panas terik. Tapi, pengalaman bukan? Menaiki escalator untuk ke jamrah.

Kerajaan Arab Saudi telah membahagi-bahagikan jalan untuk jemaah haji. Maka jalan kami khas untuk orang Asia sahaja. Tiada orang Afrika atau orang Arab. Makanya, alhamdulillah, tidaklah sesesak dahulu. Terowong pun sudah ada dua hala. Ramai jua jemaah haji yang pengsan didalam terowong. Tidak sempat saya mahu berhenti melihat mereka, cuma menghantar doa sahaja dari jauh. InsyaAllah, semuanya baik-baik belaka.

Tandas di Mina, masyaAllah, rationya adalah 1 tandas untuk 50+ jemaah haji. Menyebut hal tandas di Mina, memang pelbagai kejadian ngeri, lucu dan menaikkan darah banyak terjadi. Petua kami satu sahaja, semasa menunggu, selawat sahaja memohon kesabaran diberikan. Ataunya, bergossip-gossipan dengan orang belakang dan depan. Pasti banyak manafaatnya. Guarantee.

Anda pasti mengerti maksud gosip saya.

Seusai segala urusan melontar di Mina, kami ke Makkah, dan sekali lagi keajaiban terjadi.

Bas kami cuma mengambil masa selama sejam lebih untuk sampai ke hotel. Itupun terpaksa menunggu di simpang lama kerana polis menyekat jalan. Tetapi alhamdulillah, driver dan co-driver kami punya skill untuk ber'argue' dengan mereka. Syukur sampai di hotel. Mendengar cerita jemaah haji lain yang tersekat beberapa jam, bas rosak, terpaksa berjalan kaki sendiri ke hotel, meremang bulu roma saya. Ya Allah Ya Rahiim, ya Rahman Ya Ghoffar, Ya Latiff, Ya Wadud - Kau Sungguh Sungguh Maha Baik.

Dan seusai solat zohor, kami menunaikan tawaf haji. Syukur sesyukur-syukurnya sudah sempurna ibadah ini. Sempat bersolat asar dan kemudiannya pulang ke hotel. Di dalam perjalanan, kami membeli nasi arab dengan ayam (kot).

Selepas makan, kami pengsan hingga dinihari. Bangun cuma untuk solat maghrib dan isya'. Penatnya ya ampun, pancit kami sekalian. Bertawaf dengan jutaan manusia yang turut sama membuat tawaf haji - sungguh, ia jua adalah salah satu pengalaman paling mahal yang pernah dikurniakan oleh Allah swt.

Segala yang baik, datangnya dari Allah swt, dan segala yang buruk, adalah kekhilafan saya. Mohon maaf, dan semoga kalian mendapat manafaat dari cerita-cerita saya.

























8 comments:

As said...

Tak mampu nak cakap ape. Boleh senyum je.

:)

Nur said...

As,

Senyum kembali, semoga kita mendapat pahala diatas senyuman di alam maya ini.

:)

Hikari-san said...

Terima kasih atas doa2.. Moga Allah perkenaankan kesemua doa2 itu.Ameen

cabaran haji ni semasa arafah-muzdalifah-mina-jamrah, Yang ni memang la terasa haji ini adalah jihad untuk kaum wanita. Sebab majoriti berjalan kaki adalah jemaah lelaki.. terasa tinggi beza ratio lelaki:perempuan> agak cuak masa itu sebab.. mmmm... Lepas arafah terasa lega sikit. Saya berada di masjid namira sepanjang Arafah tak duduk khemah tak tau apa jadi kat dunia luar sebab masjid namira pun penuh sepenuh2nya dan alhamdulillah selesa dan saya rasa rasa kalau saya di luar seakan2 mahu pengsan dengan kepanasan dan pergerakan hujjaj2 lelaki, itu pun pintu masjid ditutup at certain time dan... arafah..focus ibadah sepanjang hari.. makan pun dah tak ingat.. :)

di muzdhalifah group saya sekadar berhenti dan solat jamak magrib-isyak dan sambung terus ke mina, dan lepas subuh kami sudah bergerak ke hotel di aziziyah.. dan lepas itu bilik senyap sunyi - sume flat

Annabuadiary said...

kak nur mekah banyak mengajar saya tentang bergantung harap hanya pada yang satu --ALLAH ... pengalaman bergayutan di pintu kaabah dengan saya dan saudara perempuan dan di jaga rapi oleh seorang sheikh memang saya akan ingat sampai bila2 ..memang benar tidak ada kewajipan untuk bergayut di pintu kaabah itu ,tetapi keinginan anak muda seperti kami yang ingin mencuba alhamdulillah di bantu .benarlah kota suci itu tempat tarbiah terbaik buat kita

Nur said...

Huda,

Eh, hotel awak di Mina ya? Bestnya, 3 hari itu awak mudahlah melontar, alhamdulillah.

Memang jihad haji kalian sangat hebat, jalan kaki tu ke merata2 tempat. MasyaAllah. Ke saya salah paham? Hahahaha.


Memang haji ini, arafah-musdalifah-mina adalah cabaran terhebat sekali, yang paling hebat adalah mahu syukur dan sabar. Untuk redha pada-Nya itulah cita-cita paling agung yang kini ingin saya buru, insyaAllah.

Meh meh meh join saya sekali.

Nur said...

Damia,

Syukran kerana sudi berkongsi segala pengalaman, saya sangat-sangat menghargainya. Cerita lah lagi ya.

Wah, boleh kalian bergayutan di pintu Ka'abah! Bestnya!

MasyaAllah. Saya sepanjang pemergian, tidak mampu ke ka'abah itself, kerana terlalu ramai manusia. Mungkin kami salah strategy, tapi insyaAllah, mungkin masa umrah ada rezki.

Annabuadiary said...

kak nur punca terjadi bergayut dekat pintu kaabah tu sebab kami dah stuck , nak pusing arah lawan tawaf , orang dah sesak di hajarul aswad , kami nak cium memang sulit (mungkin salah strategy)jadi kami ke depan berdua , akhirnya tunggu je lah berdua perempuan nak panjat dan dikelilingi semua lelaki ...rahmat Allah dan sheikh tu semua mungkin kesian dengan dua susuk manusia yang kecil ditolongnya kami panjat dan puas lah berdoa di situ ..kalau saya cerita dekat orang ramai jugak yg kata , kami lelaki pun tak berani nak buat kerja bergayut dekat pintu kaabah

Nur said...

Damia,

memang pon, bergayutan tuh macam bahaya je, sudah lah tinggi. But Allah swt dah merezekikan kalian, masyaAllah...

:)