Wednesday, 23 March 2011

Diambil dari sini.

____________________________________


Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, saya pernah terfikir “ini kerja gila!”

Masakan tidak.

Sendirian menjadi imam sepenuh masa, solat di masjid yang sama lima kali sehari, bertahun-tahun. Mengimamkan Solat Jumaat setiap minggu. Menikah kahwinkan orang dan menguruskan penceraian. Menjadi pengetua sekolah merangkap guru dan kerani. Mempunyai tugasan di universiti dan penjara dari semasa ke semasa. Dan senarai itu berterusan.

Ini bukan kerja seorang.

Ini kerja sebuah organisasi.

Tetapi ada sesuatu yang unik tentang kerja itu.

Bukan hanya pada soal pengalamannya, malah sesuatu yang pasti ialah segala urusan tamat usai mengerjakan solat Isyak.

Di sebelah siangnya bekerja sepenuh hati dan diri. Sesiapa sahaja yang ada urusan dengan saya datanglah ke pejabat. Bagi yang mahu mengaji, datanglah ke masjid. Semua urusan dilakukan di tempat yang satu. Semua selesai setelah selesai Solat Isyak.

Pulang ke rumah, saya boleh menghayati peringatan penting Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

عن أبي برزة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يكره النوم قبل العشاء والحديث بعدها

Daripada Abu Barzah, sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu tidak menyukai perbuatan tidur sebelum Isyak dan berbual-bual selepasnya [Hadith riwayat al-Bukhari (568) dan Muslim (647)]

Tidur sebelum Isyak itu dikhuatiri akan menyebabkan solat berjemaah diabaikan, atau terlajak waktu.

Berbual-bual selepas Isyak pula tidak digemari kerana melewatkan tidur akan menyulitkan Qiamullail malah Solat Subuh.

Malah, malam itu memang dijadikan oleh Allah sebagai waktu berehat dan tidur, berbanding siang sebagai masa untuk bekerja dan beraktiviti. Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala telah berfirman:

“Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat? Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?” [Al-Naba' 78: 9-11]

Ia adalah Syariatullah.

Ia juga adalah Sunnatullah.

Apabila keadaan yang disediakan Allah ini dimanfaatkan, hidup bukan sahaja dilimpahi keberkatan malah makmur dengan kesihatan dan potensi diri yang optimum.

Melanggarnya?

Antara Harus, Makruh dan Haram, kesan segera timbul pada fisiologi.

Kesan melanggar fitrah.

KEHIDUPAN PARA USTAZ

Isteri dan anak-anak masih bersabar dan sudi memaafkan keletihan ini. Namun sampai bila?

Isunya ada dua.

Ustaz itu sendiri. Dirinya adalah pemegang kunci kepada kawalan diri dan kehidupan.

Keduanya adalah persekitaran.

Keputusan pemeriksaan perubatan semenjak setahun dua ini tidak menggalakkan. Malah saya sendiri sentiasa letih tidak bermaya.

Saya sudah ‘menceburkan diri’ di dalam ‘kerjaya Kuliah Maghrib’ ini semenjak di usia 18 tahun, iaitu selama saya berada di Malaysia. Di Jordan keadaannya berbeza. Di Turki tiada ‘budaya ‘Kuliah Maghrib’ untuk dihadiri. Di UK dan Ireland, sudah saya ceritakan.

Di Malaysia ini saya tersepit. Dalam serba kepayahan memegang kunci kehidupan sendiri, saya terbelenggu oleh satu corak kehidupan yang seperti melanggar Sunnah dan Fitrah.

Ketika kereta berduyun pulang ke rumah bersama mentari senja, saya pula mula bergerak menongkah kesesakan lalu lintas untuk ‘bekerja shif malam’ menuju Kuliah Maghrib. Ada yang sekitar kurang 10km dari rumah, tidak sedikit yang sejauh 20 atau 30km sebagai rutin tetap, selain dari semasa ke semasa bergerak ke luar Lembah Kelang dengan jalan darat dan udara.

Selepas kuliah, ada jamuan makan. Teh mesti manis-manis. Mesti kaw-kaw punya! Masakan, kurang sedikit meja pengantin, ada kalanya. Puas menepis, dan sehingga kini saya banyak berjaya menepis atau menjamah sedikit sahaja ‘demi menjaga hati tuan rumah’ dan penganjur.

“Kami masak semenjak pagi, ustaz!” kata sesetengahnya.

Sayu!

Usai kuliah dan ceramah, memandu sepi membelah sepi, tiba di rumah sudah detik 12 malam. Sering juga lajak ke jam 1 atau 2 malah 3 pagi. Sungguh memenatkan.

Badan melekit-lekit, tekak dahaga. Perut berkeroncong kerana sebelum Maghrib tidak sempat makan, selepas ceramah pula ‘malu-malu kucing’ menolak hidangan. Jika kuat semangat, tidur berlapar. Jika lemah semangat, perlu juga menjamah sesuatu.

Itulah rutin.

Semasa melabuhkan diri dan cuba memejamkan mata, “eh, ceramah pagi esok! Powerpoint belum siap!”

Sejam lagi ditambah masa berjaga.

Qiamullail dalam kepayahan. Solat Subuh bermujahadah menolak keletihan.

Di manakah kesudahannya?

Kini, sebiji epal pun sudah melonjakkan kandungan gula di dalam diri tanda insulin sudah tidak berfungsi dengan baik. Hormon Endorphin sudah tidak dihasilkan secara neutral, hingga stress dan rasa sakit tidak dapat dilawan dengan sempurna. Sentiasa tertekan. Tambah-tambah pula dengan pemandu Malaysia yang sopan santun itu. Di sampingnya pula, Cortisol semakin bermasalah dan menghuru-harakan sistem di dalam diri.

“Dakwah tidak mampu digalas oleh orang-orang yang manja” terdengar petikan kisah pejuang-pejuang silam.

Ia mendatangkan sejuk kaki tatkala ingin mencari ruang rehat dan riadah.

Berdakwah di waktu malam, mengorbankan tidur, membiarkan makan minum jadi tidak menentu, sesuaikah ia dengan Sunnah dan Fitrah?

Nabi dulu macam inikah?

Saya cuba mengatur semula dan semua.

Kisah telus dilema seorang pendakwah yang obes, diabetik, keletihan dan hodoh diri untuk dijadikan teladan, bisa mengundang ejekan dengan pengakuan ini, tetapi saya yakin ada ramai di luar sana, yang terbelenggu oleh kondisi yang sama.

Ustaz-ustaz gemuk, menggemukkan dan terus digemukkan, termasuk oleh peminat-peminat setia mereka!

Bagaimana?

Saya sedang menyuntik hCG di perut. Pengambilan kalori terhad kepada 500 sehari. 40 hari mujahadah, demi diri dan dakwah yang memerlukan da’i bernafas panjang!

Dan Sunnah Isyak… masih jauh daripada sebuah kepastian.

2 comments:

Enno said...

kisah yang mengharukan...

:)

Nur said...

Enno,

benar, kan?

:)