Kisah Orang Gila #2
oleh Irfan SangPelangi
Dihantar melalui emel buat Ahli Sahabat SangPelangi SangPelangi.com
Urkh. Rasa tercucuk-cucuk dengan telatah dia ini. Tidak sampai senafas ikamat dilontar Bilal, An-Nas juga belum dilafaz. Orang tua ini terjerit-jerit,
"Rapat! Rapat! Rapat!"
Berlari anak dia melingkari baris saf, melangkahi susun-susun manusia yang menyerupai platun. Sesekali dia berhenti, menepuk bahu seorang dua tentera yang terkandas dari barisan.
"Hah, kau! Bahu! Sentuh bahu!"
Bukan sahaja kami, sang imam turut panas punggung dengan gelagat orang tua 'gila' ini. Masakan tidak, adakala larut sepuluh minit menantikan sang sarjan gila ini, memberi arahan itu dan ini. Sudahlah botak, seluar berceloreng, baju hijau siap paku pangkat yang dicat sendiri.
Setelah berpuas hati, dia kembali ke ruang kosong miliknya. Seisi perut masjid memerhatikannya. Seolah-olah menunggu arahan seterusnya oleh dia.
"Hah. Imam? Bila nak mula?"
Setelah faham angkatan cukup bersedia, lantas Imam Muda pun menjulang takbir.
Sudah tiga hari begitu. Genap 15 waktu orang tua ini menyiagakan kami, jemaah dan kariah kawasan ini. Masjid yang dibina dalam kompleks, percikan idea Tan Sri Ali, mantan Johor Corporation, memberi senyum pada pendakwah jalanan. Peniaga di kompleks tiada alasan lagi menebuk-nebuk Jumaatnya.
Kehadiran orang tua ini amat menggusarkan aku secara peribadi. Caranya yang sedikit garang, atau tegas barangkali, mungkin saja tidak disenangi sesiapa. Hari demi hari, sedikit demi sedikit, jemaah mendikit. Dari tiga barisan penuh, tinggal dua separuh.
Esoknya, aku sedikit lewat ke Zuhur. Tidaklah masbuk, sempat juga makmum selapis jika diistilahkan di zaman asrama dulu. Berlari anak mencapai wuduk di gigi paip. Aku terpacak menanti imam bangkit bersama tentera di rakaat keempat. Tertoleh-toleh di kiri kanan, tercari-cari kelibat orang tua gila semalam.
Tiada. Cemas. Tertanya-tanya. Tidur di mana. Makan apa. Diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat mungkin. Lebih cemas, ahli-ahli yang memeriahkan rumah Allah ini tidak bertambah. Adakah mereka mula menjauhi masjid ini? Kecewanya...
Masuk hari kelima, Zuhur juga. Saat bersalam-salam jemaah-imam, aku membelek wajah semua. Tiada juga yang kurang. Sama saja. Ada juga muka baru. Manusia yang berbondong-bondong ke pintu luar masih seperti sebelumnya. Namun kepanjangan saf berkurang. Dari dua separuh, tinggal dua baris.
Masuk hari keenam, masih Zuhur. Orang tua itu tidak muncul-muncul. Aku terfikir, bahu-bahu kami tetap saling ketat. Kelingking kaki terus bersentuhan rapat. Aku tersedar, juga akui, bukan bilangan manusia yang hilang sekerat-sekerat. Hanya dirian kami yang kian padat. Dari dua baris semalam, kini jadi satu setengah saf.
Hari ini, genap berbelas-belas hari pemergian orang tua gila. Tiada yang bertanya, apatah yang bercerita jauh sekali. Lebih mendukacita, baris turus hamba-Nya kembali ke sediakala. Tidak lagi bersempit-sempitan. Waktu demi waktu, tiga saf pula bagai asal.
Terlintas di kepala, siapalah orang tua gila ini. Mungkin dia itu memang berpindah-pindah. Sebelumnya di masjid dan surau lain, dan memang kerjanya memang mengatur manusia. Ah, aku syak, memang dia berlakon gila. Biar tindak-tanduknya dimaaf orang, biar arahannya diturut semua. Wah. Gaya dakwah yang tidak difikir dengan norma dan logik segala. Kagum.
Namun sedih juga. Rindu akan keadaan kami berhari-hari yang lalu. Barangkali, beginilah keadaan angkatan solat di zaman Nabi dan sahabat dulu-dulu. Agaknya inilah punca kemenangan Badar, Khandak dan lain-lain yang dikurnia Dia, selain doa diaminkan ukhwah berkumpulan.
Terduduk dan diam. Memikirkan hakikat manusia 'gila' yang bagai diutus Allah, buat diriku dan jemaah waras yang lainnya.
Maha benarlah kata-kata sang pujangga itu, bahawa sesungguhnya manusia itu, perlu disusun manusiawinya, oleh manusia juga.
Memujuk diri sendiri, agar tidak letih dan berhenti di jalan yang saling mengingatkan.
Sabda Baginda Muhammad SAW,
“Hendaklah kamu merapatkan saf-saf kamu, atau Allah akan memecah-belahkan hati-hati kamu.” (Bukhari, Muslim).
Sabda baginda lagi,
“Sesungguhnya aku selalu melihat syaitan masuk ke dalam saf.”(Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban).
Mohon pada kamu, Nur, sebar-sebarkan kisah ini pada teman kita. Bukannya demi mencari orang tua gila itu. Bagiku, dia tidak hilang.
Hanya kesetiaan, kasih sayang, dan ukhwah berpasukan yang telah hilang daripada diri kita.
Sebarkan, Nur. Dan ayuh bersama-samaku. Biar penuh rumah Allah. Biar rapat pejuang-pejuang Dia. Biar menang perang kita yang satu ini, wahai sang buih-buih di pantai dunia. Ombak zaman makin menduga.
No comments:
Post a Comment