Sunday 20 March 2011

TAUBAT ABU NUWAS

Taubat Abu Nuwas


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Abu Nuwas dahulunya gemar minum dan menyebut perkara-perkara lucah, dengan mengada-adakan rangkap syair dan menyanyi tentang perkara-perkara yang tak sepatutnya. Namun dia telah berubah dan bertaubat kepada Tuhan. Orang ramai terkejut – Abu Nuwas, seseorang yang dikenali sebagai kaki mabuk? Abu Nuwas lelaki yang miang itu? Ini kerana mereka menyangka Allah tidak akan mengampunkan dia dan Allah tidak akan menunjukkan belas kepada dia. Maka dia telah menulis bait-bait sajak, dan mereka menemui bait-bait ini di bawah katil tempat dia meninggal dunia. Rangkap-rangkap sajak itu berbunyi:

Wahai Tuhanku, jika kehebatan dosa-dosaku bertambah, maka aku tahu keampunanMu itu lebih hebat

Jika hanya orang-orang yang benar terpanggil kepadaMu, maka kepada siapakah penjahat akan mengadu?

Aku meminta kepadaMu Tuhanku, seperti perintahMu, dengan sanjungan

Dan jika engkau tidak mengendahkan permintaanku, maka siapa lagi yang akan memberi kasih sayang?

Apakah yang anda rasa?

Minggu lepas kita memperkatakan tentang menghadirkan hati dan memahami apa yang kita lafaz. Minggu ini, kita akan pergi dengan lebih mendalam insyaAllah. Ramai orang yang tiada perasaan, tiada emosi ketika bersolat. Walhal jika mereka bertemu dengan kawan, mereka pasti akan merasa seronok, dan akan merasa berat hati ketika berpisah, dan akan merasa rindu jika lama tidak bertemu. Kepelbagaian emosi ini timbul apabila mereka berjumpa dengan kawan; tapi jika bersolat iaitu bertemu dengan Allah, kita tidak merasa apa-apa. Inilah sebabnya ia tidak memberi kesan ke atas tindakan kita setelah kita sudah bersolat. Jadi apa yang patut kita rasa?

Peringkat ketiga: Rajaa

Apakah peringkat ketiga ini? Datang menghadap Allah ketika anda inginkan dan berharap akan keampunanNya. Dan anda berpendapat bahawa insyaAllah Dia akan menerima dan membawa anda dekat kepadaNya. Ini adalah perasaan rajaa. Seseorang yang merasakan rajaa ini tinggi bersama Allah, kerana ini berkaitan tentang hati. Apa gunanya memberi perhatian dan pemahaman sedangkan semuanya mekanikal? Kemanisan bersolat ketika anda datang kepadaNya dengan rajaa adalah lebih hebat.

Bagaimana dapat anda merasakannya?

Anda akan dapat merasakannya jika anda mengenal Allah. Makin anda kenal Allah, makin hebat rajaa anda pada Allah. Allah lebih kasihkan anda melebihi kasih ibu anda sendiri. Anda hanya perlu bersangka baik dengan Allah, dan Allah adalah seperti apa yang anda sangkakan padaNya. Jika anda menyangka Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun, maka begitulah Dia pada anda. Ia semudah itu – kerana Allah sendiri telah mengatakannya. Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah berfirman, ‘Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan.”

Jika kita renungkan maksudnya sebelum bersolat, pastinya ada sesuatu tergerak dalam diri kita dan mempengaruhi pandangan kita tentang solat kita. Ibn Al-Qayyim berkata, “Allah tidak mempunyai sebarang kesedihan terhadapmu yang mana akan terubat jika Dia menghukummu.”

Maksudnya Allah tidak ada kesedihan terhadap anda dan Dia tidak mahu menghukum anda. Bagaimana Allah telah mengatakan bahawa kasih sayangNya melebihi kemurkaanNya, apabila Dia sendiri telah menetapkan rahmatNya? Allah telah berfirman:

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

“Tuhanmu telah menetapkan atas diriNya untuk memberikan rahmat” (Qur’an, 6:54)

Subhanallah – bagi kebanyakan kita masa lalu telah lama ditinggalkan dan kita telah menunaikan solat kita, namun tidak pernah kita datang kepada Allah dengan perasaan sebegini, walaupun Dia menyukai kita yang datang meminta kasih sayangNya. Allah berfirman di dalam Qur’an:

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

“Allah menghendaki supaya Dia menerima taubatmu, dan orang-orang yang mengikut syahwatnya menghendaki supaya kamu terpesong (dari kebenaran) dengan kepesongan yang hebat. Allah menghendaki supaya diringankan bagimu (peraturan agama) kerana manusia itu dijadikan dalam keadaan lemah.” (Qur’an 4:27-28)

Cuba ini dalam solat anda seterusnya

Yakin dengan sepastinya bahawa Allah mahu memaafkan anda, mengampunkan anda dan kasihkan anda. Yakin dan berharap padaNya bahawa dia akan memasukkan anda ke dalam syurga, dan bukan itu sahaja, tetapi boleh menjadi jiran Rasulullah s.a.w. Ini bukan sekadar omong kosong. Allah sendiri telah berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Berkata Tuhanmu, ‘Mintalah kepadaKu, nescaya aku perkenankan permintaanmu” (Qur’an, 40:60)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Mintalah kepada Allah dengan yakin bahawa Dia akan mengabulkan.” Jika itu yang anda buat, Dia akan bagi LEBIH daripada yang anda mahu. Tapi ingat ia mestilah rajaa dan bukan `amany`. Apakah bezanya?

Rajaa adalah kesemua rasa yang kita sebutkan di atas, tapi disertai dengan usaha dan kesungguhan. `Amany` adalah rasa-rasa tersebut, tapi tanpa kesungguhan – mengharap kasih Allah, tapi melakukan perkara-perkara yang dibenciNya dengan sengaja. Allah berfirman:

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَىٰ

“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal salih, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Qur’an, 20:82).

Dan dengan ini Dia akan memberikan anda lebih daripada apa yang anda minta dan lebih daripada sepatutnya.

Kasih sayang

Subhanallah dengan penjagaan yang ditunjukkan oleh singa betina terhadap anak harimau bintang itu. Yang meletakkan rasa kasih di dalam hatinya, walaupun ia bertentangan dengan sifat semulajadinya? Telah dilaporkan bahawa selepas anak harimau bintang itu dimakan oleh sekumpulan singa jantan, singa betina itu kemudiannya menjaga lima ekor lagi anak harimau bintang.

Allah mempunyai 99 bahagian kasih sayang, dan telah memperuntukkan satu bahagian kasih sayang itu ke bumi. Satu bahagian ini amat hebat yang telah menukarkan kebinatangan singa betina itu yang menjurus kepada memburu mangsa, kepada sayang. Jadi bagaimana dengan kasih sayangNya, dalam 99 bahagian yang lain, pada Hari Pengadilan nanti? Jika Allah telah mengatakan kasih sayangNya meliputi semua perkara, takkanlah ia tidak termasuk anda? Ia telah meliputi semua tindakan yang lebih teruk daripada apa yang anda lakukan, seperti lelaki yang telah membunuh 99 orang dan kemudiannya membunuh seorang lagi hingga jumlahnya menjadi 100 orang, dan Allah telah mengampunkan dia. Bagaimana mungkin Dia tidak mengampunkan dan memberi kasih sayangNya pada anda?

Jadi bagaimana dapat anda merasai kasih sayang Allah? Mintalah di dalam solat anda.

No comments: