Sunday 20 March 2011

KEADAAN BERSOLAT SEBELUM BERSOLAT

Salams,

Teruskanlah memberi makan kepada anak-anak yatim!

___________________________________________________________________________________


Keadaan bersolat sebelum bersolat


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Apabila kita sebut tentang solat, ramai yang percaya ia bermula dengan takbir “Allahu Akbar”. Tapi ia bermula sebelum itu. Sabda Rasulullah ﷺ

لا زال أحدكم في صلاة ما انتظر الصلاة

Seseorang itu dikira berada dalam solat selagi dia menanti untuk bersolat (Bukhari, Muslim).

Bagi lelaki, ini merujuk kepada mereka yang telah bersedia dan sedang menunggu untuk memulakan solat di dalam masjid. Bagi perempuan yang tidak berada di masjid, ini merujuk kepada mengambil wudhuk dan memakai pakaian yang sesuai, jika perlu, dan menunggu masuknya waktu solat.

Pembongkaran suatu rahsia

Salah satu aspek solat yang selalu diabaikan adalah azan. Pernahkah kita merasa kemanisan azan? Sesiapa yang pernah merasa kemanisan azan akan lebih khusyuk dalam solat. Seseorang akan bertanya apa kaitan azan dengan khusyuk?

Syaitan bencikan solat. Rasulullah ﷺ bersabda, “apabila azan dilaungkan, syaitan akan angkat kaki dan membuat bunyi bising semasa melarikan diri supaya tidak mendengar azan. Apabila azan selesai dia akan datang kembali dan akan angkat kaki kembali apabila iqamat dilaungkan dan apabila selesai dia akan datang kembali, berbisik ke dalam hati seseorang (untuk mengganggu perhatiannya dalam solat) dan buatkan dia teringat perkara-perkara yang dia tidak teringat sebelum solat dan menyebabkan dia lupa sejauh mana dia telah bersolat” (Bukhari).

Sejak azan dilaungkan, syaitan akan cuba mengganggu anda, supaya anda tidak mendapat manfaat daripadanya walaupun rahmatnya hebat. Jadi apa yang sangat istimewa tentang azan?

Azan: Satu Peluang

Rasulullah ﷺ bersabda:

المؤذن يغفر له بمد صوته ويصدقه من سمعه من رطب ويابس وله مثل أجر من صلى معه

Muazzin (tukang azan) diampunkan selagi suaranya sampai dan sesiapa yang mendengarnya akan menyahut seruannya. Dia akan mendapat ganjaran serupa dengan sesiapa yang bersolat bersamanya (An-Nisa’i, Ahmad).

Jadi jika 50 orang bersolat, muazzin akan mendapat ganjaran 50 solat. Jika 100, dia akan mendapat ganjaran 100 solat. Sekarang kita bertanya, apa kaitannya dengan saya? Saya bukan muazzin. Abdullah bin Amr r.a. mengaitkan seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah ﷺ “adakah muezzin akan mendapat lebih daripada kita?” dan Nabi menjawab:

قل كما يقولون فإذا انتهيت فسل تعطه

“Sebut apa yang mereka sebut dan apabila selesai, mintalah dan ia akan dikabulkan” (diriwayatkan oleh Abu Dawud).

Apabila azan dimulakan dengan “Allahu Akbar,” ia mengingatkan anda bahawa Allah itu lagi hebat daripada apa yang sedang anda lakukan, sama ada rancangan televisyen yang sedang anda tonton, artikel yang sedang and abaca atau perbualan anda. Dan kenapa anda bangkit apabila mendengar azan? Kerana “La ilaha ila Allah” – iman anda kepada Tuhan yang satu. Jika anda rasa apa yang sedang anda lakukan adalah lebih penting, jadi realitinya seperti ia lebih penting daripada menunaikan solat kepada Tuhan.

Tiada Kuasa atau Kekuatan Melainkan Melalui Allah

Kita tahu apabila kita mendengar azan, kita akan mengikut apa yang disebut oleh muazzin, melainkan apabila dia menyebut “haya `ala as-salah” (marilah menunaikan solat) dan “haya `ala al-falah” (marilah menuju kejayaan). Waktu ini kita akan menyebut “la hawla wala quwatta ila billah” (tidak ada kuasa atau kekuatan melainkan melalui Tuhan).

Mengapa kita berkata demikian? Kerana kita tahu kita tidak akan dapat mencapai kekhusyukan, atau mengerjakan solat dengan sempurna, melainkan dengan bantuan Allah.

Suatu panggilan

Ingatlah bahawa azan itu adalah suatu panggilan; ia adalah suatu panggilan yang indah kerana ia mengingatkan anda kepada pertemuan dengan yang anda cinta. Apabila kita ingin bertemu dengan seseorang yang kita cinta, perasaan gembira dan rindu akan datang dulu sebelum bertemu. Ia bermula apabila yang istimewa itu memberitahu kita “Saya akan jumpa awak dalam 10 minit” atau “Saya akan jumpa awak sebentar lagi.” Ini bermakna orang yang memberitahu anda untuk bertemu itu adalah seorang yang istimewa, yang akan mendatangkan rasa gembira.

Aishah r.a. meriwayatkan dari Rasulullah ﷺ:

من أحب لقاء الله أحب الله لقاءه

“Sesiapa yang suka bertemu Allah, Allah suka bertemu dengannya” (Bukhari).

Azan itu memberitahu anda bahawa inilah masanya untuk bertemu Allah. Jadi sesiapa yang benar-benar mencintai Allah, akan bersegera mengambil peluang untuk bertemu denganNya, dan bukannya menunggu sehingga hampir luputnya waktu solat. Lihat pada Musa a.s.:

وَمَآ أَعْجَلَكَ عَن قَوْمِكَ يَٰمُوسَىٰ قَالَ هُمْ أُولَآءِ عَلَىٰٓ أَثَرِى وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ لِتَرْضَىٰ

“[Allah] berkata, “Mengapakah engkau bersegera (lebih dahulu) daripada kaummu, hai Musa?” Sahut Musa, “Mereka itu adalah di belakangku, aku bersegera kepadaMu, ya Tuhanku, supaya Engkau suka (kepadaku).” (Qur’an, 20:83-84)

Lihat bagaimana Musa a.s. bergegas kepada Allah – itulah tindakan seseorang yang benar – benar cinta.

Nikmati azan, dan InsyaAllah anda akan menikmati solat. Kita minta pertolongan Allah untuk menyempurnakan solat kita.

No comments: