Saturday 10 December 2011

KISAH HAJI: HOTEL - BILIK DAN MAKANAN

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, Wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang sentiasa dihati,

Moga-moga kalian tetap berada di Jalan-Nya. Meskipun pahit, saya doakan kita sama-sama tetap melangkah, biar mungkin terpaksa mengesot, atau merangkak, tetaplah kedua belah kakimu, sahabat. Biarkan magis doa-doa kita berterbangan di jagat raya.

Kali ini saya mau menceritakan tentang keajaiban hotel saya. Ya, kami adalah pakej termurah diatara semua pakej yang ditawarkan, makanya, hotel yang kami dapat pun setanding dengan bayaran. Tetapi, tuan-tuan sekalian, bilik yang kami perolehi, masyaAllah, luas, bersih, indah. Tidak busuk seperti bilik-bilik yang didapati semasa umrah. SubhanAllah. Alhamdulillah. Tapi bagi yang sudah biasa menginap di hotel 5 bintang - I rest my case. Kami menginap di Tingkat 14. Setiap pagi dan petang, saya selalu mengintai di balik jendela memerhati lautan manusia yang menuju ke Masjidil Haram, atau pulang dari Masjidil Haram. Jalan raya bertukar menjadi putih. Berbondong-bondong manusia menyahut seruan-Nya. Agak memalukan bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan masjid tetapi tidak mengambil peluang ke sana, sedangkan jemaah-jemaah lain, terutamanya dari Indonesia, Pakistan, India, Afrika dan entah dari negara mana lagi, yang tinggal 1-5 kilometers dari Masjid, sentiasa berebut-rebut mencari tempat di Masjidil Haram. Aduhai!

Bilik kami sejuknya ya ampun kalau angin sedang bertiup kencang. Tapi bonusnya, kami mudah melihat bulan dan bintang. Tetapi, bintangnya kadang-kadang hanya sebutir. Rakan saya menjelaskan ketidakhadiran bintang-bintang ini, Masjidil Haram telah diterangi dengan lampu-lampu neon, yang menyebabkan langit tercemar. Hasilnya, beribu-ribu bintang dilitupi awan.

Tapi, tuan-tuan sekalian, pabila bulan muncul, bersama-sama dengan bintang-bintang, indah bukan kemain. Allahim! Terutamanya pabila tiba hari-hari menjelang wukuf.

Saya suka membasuh kain. Mungkin jua penyakit ini berjangkit dengan rakan sehaji yang lain. Mau menggantung pakaian yang sudah dibasuh, tidak tahu dimana, pada mulanya. Tali sudah dibawa. Mulalah para 'engineers' berfikir gimana caranya mahu menggantung pakaian dengan paling efficient di dalam bilik. Saya lihat sahaja. Ah, memang saya ini benar-benar seorang economist.

Akhirnya, selepas tidak berjaya menggantung tali dibilik, kami ke tingkat 18, dataran yang dibenarkan menyidai pakaian. Mereka menggunakan sepenuh kekuatan dan keupayaan menggantung tali membuat ampaian. Disini, kalau menyidai pakaian di waktu pagi, selepas zuhur sudah boleh mengangkatnya. Panas bukan kemain. Disini jua boleh melihat seluruh pemandangan bandar Makkah (dari sisi ini). Berbukit-bukau. Bongkah-bongkah batu disana sini.

Disini jua disediakan surau berbumbungkan langit. Solat jemaah diadakan pada waktu Subuh, Isya' dan Maghrib, tidak pada waktu Zuhur dan Asar kerana ia terlalu panas. Pertama kali saya mengikuti solat jemaah dihotel akibat sakit, saya terpana. Saya dapat melihat jam 'Allah' itu, tuan-tuan sekalian! Ah, mendidih jua darah saya, segala pembangunan ini, Kota Makkah tidak memerlukannya. Ia kota suci. Kota ibadat. Bukan kota peranginan atau kota lawatan. Kalau dibuat asrama untuk jemaah haji yang tidak mampu, boleh diterima akal lagi, tapi ini untuk penginapan bagi mereka yang kaya raya. Yang pakej hajinya antara RM50,000 - RM100,000+.

MasyaAllah.

Tetapi hati saya cepat sejuk selepas melihat si Bintang Timur itu. Benarlah, kalau terasa mahu marah, lihatlah langit - yang membawa sejuta ketenangan dan kebahagiaan.

Ramai jemaah haji memberi komentar yang tidak enak didengar mengenai makanan. Mendidih jua telinga saya mendengarnya. Bagi saya yang tinggal diasrama di luar negara ini, yang tidak sempat memasak, malas memasak, tidak ada bahan memasak ini, makanan yang disediakan untuk kami, para jemaah haji, adalah terlalu mewah. Dengan sarapan paginya yang selalunya punya dua jenis makanan (contoh mee goreng dan bubur nasi), dengan makanan tengahari dan malamnya yang pastinya punya dua lauk, keropok, buah-buahan, roti dan teh yang disediakan untuk 24 jam, ini sudah seperti syurga bagi saya. Kadang-kadang kami dihidangkan udang dan ketam. SubhanAllah. Dan ikan yang sangat segar dari jeti.

Memang sukar mahu jadi hamba-Nya yang bersyukur, bukan?


































KISAH HAJI: SURAT PERCINTAAN DAN KEAMANAN

Salams,

Bismillah hirRahman nirRahiim,

Allahumma Solli A'la Saidina Muhamad, wa'ala A'ali Saidina Muhamad.

Sahabat-sahabat yang dimuliakan, semoga Allah swt memuliakan anda di pagi Ahad ini. Ahad sudah, serasa baru sahaja saya membuat ziarah wida', dan lansungnya terbang pulang. Allahim.

Meneruskan penceritaan saya, semoga usaha dan amal ini diberkati dan diganjari, semoga kita dijauhkan sifat-sifat munafik dan riak', semoga kalian dapat mengambil manafaat diatas cerita dibawah.

Sebelum kami sampai ke hotel kami di Makkah, kami diberi sekotak hadiah (tapi kami dapat dua kotak seorang), yang berisikan pastries, air mineral dan air kotak. Ia adalah hadiah dari Ministry of Hajj, tidak silap saya. Di luar kotak itu tertulis: Surat Percintaan dan Keamanan. Tergelak-gelak kami, kerana bahasa omputihnya - The Message of Love and Peace!

Kami jua mendapat gelang getah dan kad maktab yang harus kami pakai sepanjang keberadaan kami disini. Gelang getah berwarna biru itu tertulis segala informasi yang diperlukan sekiranya kami tersesat atau hilang. Maktab kami adalah Maktab 99, dibawah kumpulan South East Asia Pilgrims. Saya malas betul mahu memakainya. Ini kerana Tabung Haji Travel (THT) telah memberikan saya seutas gelang besi yang sehingga kini saya pakai, bertuliskan nama penuh saya dan IC no di baliknya. Di luarnya, tertulis Malaysia dan nombor telefon. Owh, saya sangat suka gelang ini, saudara-saudara sekalian, terasa macam masuk askar gitu. Dari kecil lagi saya mahu pengenalan diri seperti ini, mudahlah mayat saya dikenali orang, insyaAllah.

Sesampainya kami hotel, kami diarahkan solat dan makan, dan kemudiannya selepas maghrib/isya' akan dibawa ke Masjidil Haram untuk tawaf Qudum. Tapinya, ya, takdirnya, selepas solat Asar sahaja saya sudah melelapkan mata, hingga kami terlepas untuk membuat tawaf Qudum bersama-sama kumpulan kami- KT 73. Aduhai mata yang jarang sekali mendengar arahan, kasihan dia.

Makanya, kami ke MasjidilHaram dalam lebih kurang 3 pagi. Hotel kami dekat sahaja, 450 meter dari masjid, alhamdulillah. Dan sepanjang perjalanan, air mata tumpah kerana membaca talbiah.

Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah.

Siapa yang berani untuk mengengkari panggilan-Nya ini?

Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke masjid, tangan saya seram sejuk, pelbagai cerita negative mengenai ketidakdapatan melihat Ka'abah berlegar di fikiran.

Tapi syukur, saya dapat melihat Baitul Allah Haram ini, aduhai Ka'abah yang mulia, kami datang membawa pelbagai dosa dan harapan!

Seusai solat tahayatul masjid dan solat-solat sunat yang lain, kami bercadang mahu buat tawaf Qudum, tapi dihalang oleh askar yang bertugas. Amboi. Katanya, ada lagi satu jam mahu Subuh, takut kami tidak mampu menghabiskan tawaf dalam masa itu.

Ah, kalian yang mengenali saya pasti tahu saya ini berani. Tidak saya endahkan larangan askar itu, dan memasuki lingkaran tawaf, tetapi itupun setelah askar itu pergi. Hehehe. Dan sepanjang tawaf Qudum itu, air mata terlalu murah, pertamanya terlalu bersyukur kerana menerima panggilan-Nya. Keduanya, terlalu bersyukur dengan Kemurahan-Nya. Dan ketiganya, terasa terlalu kerdil dengan Keagungan-Nya. Dan pastinya kenangan bersama Abah dan Mak sentiasa dihati.

Selamat datang, Nur, selamat datang ke rumah-Ku.

Oh Tuhanku. Terasa pecah dada ini.

Dan pabila telah selesai tawaf Qudum itu, kami mencari-cari tempat untuk solat sunat tawaf. Dek disebabkan orang ramai sudah mula membanjiri kawasan masjid, pencarian kami mengambil masa yang agak lama. Dan askar-askar menghalang kami dari menunaikan solat disetengah-setengah kawasan. Pada masa itu kami tidak tahu bahawa terdapat kawasan berbeza untuk lelaki dan perempuan.

Hentam je lah Kak, saya ujarkan pada Kak As. Kita cuba solat disini, tunjuk Kak As pada satu tempat.

Walaupun seorang askar memarahi kami, tapi disebabkan kami sedang solat, beliau tidak boleh membuat apa-apa. Dan semakin ramai yang membuat saf sebaris kami. Akhirnya, kami dibiarkan dengan aman untuk solat, alhamdulillah!

Dan kalian tahu? Kami solat directly nampak Ka'abah. Allahim.

Ditengah jutaan manusia, alhamdulillah kami dapat tempat, walaupun sedikit berasak, dan diberi rezeki melihat Ka'abah. Dan kalian pasti tahu, melihat Ka'abah sahaja sudah mendapat 20 rahmat Allah? Sang Maha Pemurah, Engkau terlalu pemurah untuk hamba-hamba-Mu yang penuh dosa ini.


Ah, sampai disini dahulu, ya? Mahu jumpa Dia.


Salam sayang.