Sunday, 20 March 2011

CINTA

Salams,

Teruskan lah menyebarkan salam!

_________________________________________________________________

Cinta


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Khusyuk dalam solat bertambah apabila cinta kita pada Allah bertambah. Bayangkan bertemu seseorang; apabila anda bertemu seseorang yang anda cinta, apa yang anda rasa di dalam hati anda berbeza apabila anda bertemu dengan seseorang yang anda tidak cinta.

Kita telah nyatakan dalam artikel sebelumnya yang cinta bertambah kerana kecantikan seseorang, karakter seseorang, atau jasa yang telah diberikan kepada kita; dan Allah adalah gabungan kesemua ini ke darjat tertinggi. Kita telah nyatakan bahawa Allah itu Maha Cantik, tapi bagaimana pula dengan aspek `karakter`? Apa yang telah Dia berikan kepada kita? Anda mengenal karakter seseorang apabila anda berurusan dengan mereka. Jadi apa yang boleh kita katakan tentang yang Maha Penyabar (al-Haleem), Maha Penyayang (ar-RahIm), Maha Pemurah (al-KarIm), Maha Pencinta (al-Wadud)?

Berurusan dengan Allah

Kata Ibn Al-Qayyim kita dapat mengetahui kasih sayang Allah melalui cara Dia menegur hamba-hambaNya secara lembut. Apabila menegur kalangan kita yang telah telah melakukan kesilapan, Dia tidak berkata, “Wahai orang-orang yang berdosa!” tetapi Allah berkata:

39:53

“… Hai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan melakukan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sungguh Dia Pengampun lagi Penyayang.” (Qur’an,39:53).

Lihatlah cara Allah berurusan dengan kita. Dia telah memberikan kita kesemua keperluan yang kita lupa untuk menghargai: mata, hidung, telinga, lidah… Kemudian kita menggunakannya untuk perkara-perkara yang telah Dia larang dan Dia tidak menghukum kita. Tapi, Dia amat penyabar dan memberikan kita peluang untuk kembali kepadaNya. Apabila kita kembali kepadaNya dan memohon keampunan, Dia mengampunkan dosa itu seperti kita tidak pernah melakukannya.

Fikirkan tentang cara Allah melayan kita – berapa banyak perkara yang kita sangkakan buruk, kemudiannya barulah disedari ada hikmah kebaikan di sebaliknya? Kita merungut dan kemudiannya berkata, “Oh wow, Alhamdulillah rupanya ia bagus untuk aku.” Bayangkan seseorang memberikan anda hadiah yang anda tidak sukai dan anda mempamerkan ketidaksukaan anda itu. Kemudian apabila ia telah memberikan manfaat kepada anda, anda berkata, “Oh terima kasih, hadiah awak telah menyelamatkan saya!”

Ibn Al-Qayyim berkata, “ Allah malu pada hamba-hambaNya, tetapi hamba-hambaNya tidak malu di hadapanNya.” Allah menghantar rasul-rasul supaya kita kembali kepada Allah, Dia turun ke syurga terbawah ketika sepertiga malam yang terakhir meminta kita supaya mohon kepadaNya sekiranya kita mahukan sesuatu, untuk bertaubat dan Dia akan mengampunkan kita. Walaupun begitu, Dia tidak meminta apa-apa daripada kita. Dan kita selalu ada perkara yang dihajatkan kepadaNya dan tidak malu apabila tidak bersyukur dengan apa yang diberikanNya.

Kenal

Ibn Al-Qayyim mengatakan jika anda kenal Allah, anda akan mencintai Dia. Bagaimana mungkin anda tidak mencintai Dia yang memakbulkan doa, yang memberikan ganjaran lebih daripada yang anda beri, yang memaafkan, yang melindungi kesalahan, dan yang lebih menyayangi anda lebih daripada ibu anda sendiri?

Saksikan video di bawah. Ia adalah cerita benar tentang dua lelaki yang membesarkan seekor singa. Apabila telah besar, mereka perlu menghantar singa itu kembali ke hutan. Mereka kemudiannya berasa rindu dan mengambil keputusan untuk menjejak kembali singa itu. Lihat apa yang berlaku (muzik latar belakang sedikit mengganggu, anda boleh ‘mute’kan bunyi jika perlu):

Mereka diberitahu bahawa singa itu mungkin akan menjadi terlalu liar, tapi subhanallah lihatlah cara singa itu menyambut mereka.

Ini patut membuatkan kita terfikirkan hubungan kita dengan Allah. Dia menjaga kita setiap hari, dan berikan kita makanan dan minuman yang berkhasiat, dan apabila kita melakukan kesalahan, jika kita bertaubat, Dia mengampunkannya. Allah berfirman di dalam al-Qur’an:

55:60

“Tiadalah balasan kebaikan, melainkan kebaikan pula.” (Qur’an, 55:60)

Seekor haiwan yang pada fitrahnya liar dan ganas tahu menghargai yang lain dengan mempamerkan sifat yang baik. Bagaimana dengan kita? Inilah yang patut kita rasai dalam solat kita!

Jika anda bertemu dengan seorang raja, anda perlu membuat temujanji, dan jika temujanji anda diterima, jika baginda membenarkan, barulah anda boleh menghadap baginda, dan jika anda meminta baginda mungkin memperkenankan atau tidak. Dan jika baginda memperkenankan, anda berasa gembira dan terharu.

Bagaimana dengan Allah, yang hanya memerlukan kita untuk berdiri di antara tangan-tanganNya dengan mengangkat tangan kita dan bertakbir “Allahu Akbar” dalam solat?

KECANTIKAN

Salams,


Teruslah berbuat kebajikan!

______________________________________________________________________________________________

Kecantikan


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Emosi terdalam

Hari ini kita akan pergi dengan lebih mendalam; kita telah menghadirkan hati, memahami bacaan, dan menyertakan dua jenis perasaan, kini kita akan menambah satu lagi. Dengan perasaan ini, solat kita terasa singkat, sedangkan jika kita nilai kembali masa yang telah kita gunakan, kita akan terfikir, “Adakah aku telah luangkan masa selama 10 minit?” atau 15, 20 minit (insyaAllah). Seseorang yang mula menerapkan rasa begini berharap solat itu tidak akan berakhir.

Suatu perasaan yang disifatkan Ibn Al-Qayyim sebagai “rebutan para pesaing… ia adalah santapan rohani dan kesenangan mata memandang,” dan dia juga berkata, “jika tiada perasaan ini di dalam hati, umpama jasad tanpa jiwa.”

Anda tahu apakah perasaan ini?

Cinta (الحب)

Sesetengah orang, hubungannya dengan Allah terhad kepada mengikut suruhan dan meninggalkan larangan, supaya tidak dicampak ke dalam neraka. Benar, kita mesti mengikut suruhan dan meninggalkan larangan, tetapi ia mesti dilakukan lebih daripada sekadar takut dan harap – ia sepatutnya dilaksanakan kerana cinta kepada Allah. Firman Allah:

“… nanti Allah akan mendatangkan satu kaum, Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah” (Qur’an, 5:54).

Apabila sepasang kekasih bertemu, hati berdebar-debar dan terasa kehangatan dalam pertemuan itu. Tetapi apabila kita bertemu Allah, tidak ada walau satu auns pun perasaan sebegitu. Allah berfirman di dalam Al-Qur’an:

“Di antara manusia ada yang mengambil selain daripada Allah beberapa sekutu (berhala), mereka itu mengasihinya, seperti mengasihi Allah. Tetapi orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah” (Qur’an, 2:165).

Dan orang-orang yang beriman amat kasih kepada Allah. Perasaan rindu sepatutnya timbul, dan apabila kita mula mengangkat takbir untuk memulakan solat, kehangatan dan cinta sepatutnya mengisi hati kita kerana kita sedang bertemu Allah. Doa Rasulullah ﷺ:

اللهم إني أسألك الشوق الى لقائك

“Ya Allah, aku meminta padaMu kerana rindu untuk bertemuMu” (Nisa’i, Hakim).

Ibn Al-Qayyim menyatakan dalam kitabnya Tareeq Al-Hijratain bahawa Allah mencintai rasul-rasulNya dan hamba-hambaNya yang beriman, dan mereka mencintaiNya dan tiada apa yang lebih dicintai mereka selain Dia. Cinta ibu bapa merupakan suatu jenis kemanisan, begitu juga dengan cinta seorang anak – tetapi cinta Allah adalah lebih jauh daripada itu. Sabda Rasulullahﷺ:

“Sesiapa yang menggabungkan ketiga-tiga kualiti ini akan merasa kemanisan iman…”

Perkara pertama yang disebutkan baginda adalah:

“…bahawa Tuhan dan RasulNya lebih disayangi melebihi sesuatu apa pun…” (Bukhari)

Ibn Al-Qayyim berkata, “Memandangkan `tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya’ (42:11), maka tiada sesuatu pun seperti mencintaiNya.”

Jika anda merasakan cinta ini kepadaNya, ia akan menjadi suatu perasaan yang sungguh mengasyikkan, sungguh manis, anda berharap solat anda akan tetap berterusan.

Saya ingin merasakan cinta ini, tetapi bagaimana?

Adakah anda benar-benar ingin merasakan cinta ini? Maka tanyalah diri sendiri – mengapa atau patutkan anda cintakan Allah? Kerana ketahuilah anda mencintai manusia kerana salah satu daripada ketiga-tiga sebab berikut (atau kesemuanya, pada tahap berbeza):

1. Kecantikan mereka;

2. Kerana perwatakan yang baik;

3. Kerana mereka telah berjasa kepada anda.

Dan ketahuilah Allah mempunyai gabungan kesemua ini pada tahap yang tertinggi.

1. Kecantikan

Kita semua terpesona dengan kecantikan. Ia adalah fitrah kita untuk menyukai sesuatu yang cantik. Ali ibn Abi Talib r.a. mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ “seperti ada matahari menyinar dari wajahnya’’ Jaabir r.a. berkata: “Rasulullah ﷺ itu lebih kacak, cantik dan berseri daripada bulan mengambang” (Tirmidhi). Allah telah menjadikan kesemua rasulNya dengan kecantikan tertentu supaya manusia akan tertarik secara semulajadi kepada mereka.

Dan kecantikan itu bukan sekadar di wajah, kerana kecantikan itu terdapat pada setiap ciptaan dan mampu memukau kita dan sekaligus memberikan kita ketenangan. Sinaran bulan sabit pada malam yang tenang, keasyikan air terjun yang jatuh dari beribu-ribu kaki tingginya, matahari terbenam di sebalik lautan… Sesuatu tentang pemandangan alam semulajadi yang terpelihara kecantikannya mengusik jiwa kita. Jika kita tinggal di bandar setelah sekian lama, cuba perhatikan:

Dan Allahlah yang menjadikannya cantik. Maka bagaimana pula kecantikan Allah? Ibn Al-Qayyim berkata, “Cukuplah untuk menyedari kecantikan Allah apabila kita tahu bahawa setiap kecantikan dalaman dan luaran hidup ini dan selepas kebangkitan diciptakan olehNya, maka bagaimana pula kecantikan pencipta mereka?”

Fitrah mencintai kecantikan ini kerana Allah itu sendiri cantik. Salah satu namaNya ialah Al-Jameel (Yang Maha Cantik). Ibn Al-Qayyim mengatakan bahawa kecantikan Allah tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun dan hanya Dia yang tahu. Ibn Al-Qayyim mengatakan jika kesemua ciptaan adalah yang tercantik (bayangkan jika setiap manusia itu cantik seperti Nabi Yusuf a.s., dan seluruh dunia ibarat syurga), dan kesemua mereka digabungkan dari awal masa sehingga Hari Pengadilan, mereka tidak akan setanding walau sinaran matahari sekalipun jika dibandingkan dengan Allah. Kecantikan Allah sungguh hebat, kita tidak dapat memperolehinya dalam dunia ini. Dalam Qur’an, Allah menyatakan permintaan Musa a.s.:

“Setelah datang Musa pada waktu perjanjian Kami, dan Tuhan berfirman (berkata-kata) dengannya, lalu dia berkata: Ya Tuhanku perlihatkanlah (zat) Engkau kepadaku, supaya dapat aku melihatMu. Tuhan berkata: Engkau tidak akan dapat melihatKu, tetapi lihatlah bukit ini, jika ia tetap di tempatnya, nanti engkau akan melihatKu. Setelah terang sebahagian kecil nur Tuhannya di bukit itu, lalu bukit itu menjadi pecah dan Musa jatuh pengsan ke bumi” (Qur’an, 7:143).

Sedangkan gunung tidak mampu menahan kecantikan Allah dan menjadi hancur, dan apabila Musa a.s. melihatnya (dia tidak terlihat akan Allah), dia jatuh pengsan. Inilah sebabnya pada Hari Pengadilan cahaya Allahlah yang akan menerangi keseluruhannya. Kita memperkatakan tentang kecantikan yang memukau, tapi kita sendiri belum mengalami kecantikan Allah. Sementara apa yang ada di dunia ini cantik atau mulia, atau jika digabungkan kedua-duanya mereka masih terbatas, kemuliaan dan kecantikan sebenar hanyalah pada Allah. Allah berfirman dalam Qur’an:

“Dan tinggallah zat Tuhanmu yang mempunyai Kemuliaan dan Kehormatan” (Qur’an, 55:27)

Berpandukan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda:

إن الله ينصب وجهه لوجه عبده في صلاته ما لم يلتفت

“Allah memandang terus ke muka hambaNya yang bersolat, selagi dia tidak berpaling” (Tirmidhi).

Ingat ini dalam solat anda, dan minta pada Allah agar diberikan peluang untuk merasakan nikmat melihatNya di dalam syurga.

Bolehkah kita mengangkat cinta ini ke peringkat seterusnya? Minggu depan insyaAllah!

SOLAT ALI

Solat Ali


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Bila tibanya waktu solat, Ali r.a. akan mula menggigil dan warna mukanya akan berubah. Bila ditanya, “Apa yang tidak kena?” dia akan menjawab, “Masanya telah tiba untuk suatu amanah yang telah dikemukakan kepada langit dan bumi serta gunung-ganang dan mereka enggan memikulnya (Qur’an, 33:72), dan aku telah sanggup memikulnya.”

Solat mereka berbeza dengan kita, kerana perasaan mereka terhadap solat turut berbeza. Kita ingin menyemarakkan lagi rasa ini supaya kita dapat merasa kemanisan dalam solat ini.

Jadi kita telah selesai bermula daripada menghadirkan hati, kepada memamahi, kepada rajaa (telah ditafsirkan dalam siri sebelumnya). Dan sekarang kita mahu mengimbangi rajaa dengan sesuatu yang lain.

Sebelum bermula, saya ingin mengingatkan bahawa kita masih belum membuka kunci kepada kemanisan bersolat. Kita akan menerokanya nanti… tapi bukan hari ini.

Hayba

Hayba adalah suatu ketakutan yang kita patut ada terhadap Allah. Malangnya apabila ditafsirkan ke bahasa Inggeris, perkataan seperti ‘hayba’, ‘khashya’, ‘khawf,’ dan sebagainya akan hilang dalam tafsiran dan hanya ditafsirkan sebagai ‘takut’, sedangkan terdapat perbezaan halus tapi penting di antaranya.

Ibn Al-Qayyim telah menunjukkan kita perbezaan-perbezaan yang penting:

‘Khawf’ ialah melarikan diri dari perkara yang anda takut, dan tidak memerlukan pengetahuan tentang apa yang ditakuti. Anda boleh rasa takut, atau merasa ‘khawf’ terhadap kegelapan.

‘Khashya’ pula adalah takut dengan pengetahuan. Semakin banyak seorang hamba tahu tentang Tuhannya, semakin banyak ‘khawf’ yang menjadi ‘khashya’. Seperti firman Allah:

35:28

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu” (Qur’an, 35:28).

“Only those fear Allah, from among His servants, who have knowledge” (Qur’an,35:28).

Tetapi ‘hayba’ adalah takut yang disertai dengan rasa hormat, kagum dan penyanjungan. Anda boleh merasakannya, contohnya takutkan api. Tapi takut itu adalah kerana api itu boleh membahayakan anda, tetapi api itu tiada ‘hayba’; anda tidak menyanjungnya. Tetapi seseorang ayah mungkin ada sedikit ‘hayba’ ini; anda akan menjadi takut apabila anda berbuat salah.

Pertama rajaa, sekarang hayba?

Bukankah kedua-dua ini rasa bertentangan? Bagaimana kita boleh menggabungkannya? Ia tidak susah kerana kita lakukannya setiap hari apabila kita berurusan dengan orang-orang di sekeliling kita. Seorang pelajar yang yang menghantar kertas peperiksaanya yang teruk kepada gurunya yang baik, akan takut gagal kerana dia tahu kertasnya itu teruk, tapi pada masa yang sama akan berharap, rajaa’, yang gurunya akan memastikan dia lulus kerana gurunya mempunyai belas kasihan.

Ini tidak terlalu berbeza apabila anda berurusan dengan Allah. Apabila anda tahu dosa anda dan berada di hadapan Allah, anda akan merasa takut tetapi pada masa yang sama anda berharap sifat pemurah Al-Kareem, yang Maha Pemurah. Ini amat jelas dalam sayyid al-istighfar” (penghulu kepada doa keampunan), doa yang digalakkan untuk diamalkan setiap pagi dan petang, yang telah Rasulullah ﷺ nyatakan sebagai cara terbaik memohon keampunan:

“Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu, (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung padaMu, dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau.”

Perhatikan dalam doa ini anda menggabungkan rajaa dan ketakutan, anda mengaku kesalahan anda, tetapi anda juga meminta Allah mengampunkannya.

Permata di sebalik ketakutan

Setiap perkara yang anda takut, anda lari daripadanya, kecuali Allah. Takut anda terhadap Allah menyebabkan anda lari kepadaNya. Allah berfirman:

51:50

“Maka segeralah kamu kembali kepada Allah” (Qur’an, 51:50).

Dalam doa Rasulullah ﷺ:

لا ملجأ ولا منجأ منك الا اليك

“Tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripadaMu selain bersamaMu.”

Rasulullah ﷺ juga bersabda:

اللهم إني أعوذ برضاك من سخطك، وأعوذ بمعافاتك من عقوبتك، وأعوذ بك منك لا أُحصي ثناء عليك أنت كما أثنيت على نفسك

“Ya Allah, aku mohon perlindungan denganMu untuk kesenanganMu dan daripada kemurkaanMu dan dalam keampunanMu dan daripada hukumanMu dan dalamMu daripadaMu. Aku tidak mampu membesarkanMu sepertimana Engkau membesarkan diriMu.” (Muslim)

Anda tahu kemurkaan Allah tetapi anda juga memohon perlindungan dalam keampunanNya, dan tahu perlindungan itu hanyalah dengan kembali kepadaNya. Ibn Al-Qayyim menyebut tentang doa ini khususnya bahawa iada sesiapa pun tahu tahap tauhid dan pengetahuan dan penghambaan dalam perkataan-perkataan ini kecuali mereka yang mempunyai pengetahuan yang mendalam. Dia berkata jika seseorang ingin mengkaji maksud keseluruhan doa ini, ia akan menjadi sebuah buku yang tebal, dan untuk mendapatkan pengetahuan seperti ini diumpamakan dengan sesuatu yang tiada mata pernah melihat, tiada telinga yang pernah mendengar dan tidak pernah dibayangkan oleh mana-mana manusia.

Pengetahuan tentang Allah dan pengetahuan tentang anda

Hayba merupakan tahap ketakutan yang paling tinggi, kerana ia bersekali dengan kagum, cinta dan pengetahuan. Ketakutan ini bertambah apabila seseorang hamba itu menambah pengetahuannya tentang Allah dan tentang dirinya. Apabila anda menambah pengetahuan tentang Allah, dan mengetahui kekuasaanNya dan keagunganNya, ketakutan anda bertambah. Pada malam Rasulullah ﷺ naik ke langit (mikraj), Rasulullah s.a.w. menyifatkan Jibril yang mempunyai 600 sayap dan malaikat yang terpilih untuk menyampaikan wahyu kepada Rasulullah ﷺ, dalam keadaan takut.

Dan apabila kita kenang kembali dosa-dosa kita, berbanding kekuasaan dan keagungan Allah, kita bertambah takut. Kita sedar kekurangan kita dan ketidakendahan kita, dan kenyataan bahawa kita diberikan peluang adalah kerana kesabaran Allah.

Kebanyakan rasa takut itu melemahkan semangat, kecuali takut kepada Allah, hayba, kerana hanya Allah yang akan memberi petunjuk kepada tempat yang terbaik: Syurga, insyaAllah.

Mari kita semaikan rasa hayba terhadap Allah ini, dengan rasa rajaa di dalam solat kita.

__

*Rujukan: Sesiapa yang membaca dengan keyakinan pada petang hari, dan mati pada malamnya akan masuk ke dalam syurga, dan sesiapa yang membaca dengan keyakinan pada waktu pagi dan mati pada hari itu akan masuk ke dalam syurga, Al-Bukhari 7/150. Sumber lain adalah An-Nasa’i and At-Tirmithi.

TAUBAT ABU NUWAS

Taubat Abu Nuwas


Oleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian I| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Abu Nuwas dahulunya gemar minum dan menyebut perkara-perkara lucah, dengan mengada-adakan rangkap syair dan menyanyi tentang perkara-perkara yang tak sepatutnya. Namun dia telah berubah dan bertaubat kepada Tuhan. Orang ramai terkejut – Abu Nuwas, seseorang yang dikenali sebagai kaki mabuk? Abu Nuwas lelaki yang miang itu? Ini kerana mereka menyangka Allah tidak akan mengampunkan dia dan Allah tidak akan menunjukkan belas kepada dia. Maka dia telah menulis bait-bait sajak, dan mereka menemui bait-bait ini di bawah katil tempat dia meninggal dunia. Rangkap-rangkap sajak itu berbunyi:

Wahai Tuhanku, jika kehebatan dosa-dosaku bertambah, maka aku tahu keampunanMu itu lebih hebat

Jika hanya orang-orang yang benar terpanggil kepadaMu, maka kepada siapakah penjahat akan mengadu?

Aku meminta kepadaMu Tuhanku, seperti perintahMu, dengan sanjungan

Dan jika engkau tidak mengendahkan permintaanku, maka siapa lagi yang akan memberi kasih sayang?

Apakah yang anda rasa?

Minggu lepas kita memperkatakan tentang menghadirkan hati dan memahami apa yang kita lafaz. Minggu ini, kita akan pergi dengan lebih mendalam insyaAllah. Ramai orang yang tiada perasaan, tiada emosi ketika bersolat. Walhal jika mereka bertemu dengan kawan, mereka pasti akan merasa seronok, dan akan merasa berat hati ketika berpisah, dan akan merasa rindu jika lama tidak bertemu. Kepelbagaian emosi ini timbul apabila mereka berjumpa dengan kawan; tapi jika bersolat iaitu bertemu dengan Allah, kita tidak merasa apa-apa. Inilah sebabnya ia tidak memberi kesan ke atas tindakan kita setelah kita sudah bersolat. Jadi apa yang patut kita rasa?

Peringkat ketiga: Rajaa

Apakah peringkat ketiga ini? Datang menghadap Allah ketika anda inginkan dan berharap akan keampunanNya. Dan anda berpendapat bahawa insyaAllah Dia akan menerima dan membawa anda dekat kepadaNya. Ini adalah perasaan rajaa. Seseorang yang merasakan rajaa ini tinggi bersama Allah, kerana ini berkaitan tentang hati. Apa gunanya memberi perhatian dan pemahaman sedangkan semuanya mekanikal? Kemanisan bersolat ketika anda datang kepadaNya dengan rajaa adalah lebih hebat.

Bagaimana dapat anda merasakannya?

Anda akan dapat merasakannya jika anda mengenal Allah. Makin anda kenal Allah, makin hebat rajaa anda pada Allah. Allah lebih kasihkan anda melebihi kasih ibu anda sendiri. Anda hanya perlu bersangka baik dengan Allah, dan Allah adalah seperti apa yang anda sangkakan padaNya. Jika anda menyangka Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengampun, maka begitulah Dia pada anda. Ia semudah itu – kerana Allah sendiri telah mengatakannya. Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah berfirman, ‘Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan.”

Jika kita renungkan maksudnya sebelum bersolat, pastinya ada sesuatu tergerak dalam diri kita dan mempengaruhi pandangan kita tentang solat kita. Ibn Al-Qayyim berkata, “Allah tidak mempunyai sebarang kesedihan terhadapmu yang mana akan terubat jika Dia menghukummu.”

Maksudnya Allah tidak ada kesedihan terhadap anda dan Dia tidak mahu menghukum anda. Bagaimana Allah telah mengatakan bahawa kasih sayangNya melebihi kemurkaanNya, apabila Dia sendiri telah menetapkan rahmatNya? Allah telah berfirman:

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

“Tuhanmu telah menetapkan atas diriNya untuk memberikan rahmat” (Qur’an, 6:54)

Subhanallah – bagi kebanyakan kita masa lalu telah lama ditinggalkan dan kita telah menunaikan solat kita, namun tidak pernah kita datang kepada Allah dengan perasaan sebegini, walaupun Dia menyukai kita yang datang meminta kasih sayangNya. Allah berfirman di dalam Qur’an:

وَاللَّهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا

“Allah menghendaki supaya Dia menerima taubatmu, dan orang-orang yang mengikut syahwatnya menghendaki supaya kamu terpesong (dari kebenaran) dengan kepesongan yang hebat. Allah menghendaki supaya diringankan bagimu (peraturan agama) kerana manusia itu dijadikan dalam keadaan lemah.” (Qur’an 4:27-28)

Cuba ini dalam solat anda seterusnya

Yakin dengan sepastinya bahawa Allah mahu memaafkan anda, mengampunkan anda dan kasihkan anda. Yakin dan berharap padaNya bahawa dia akan memasukkan anda ke dalam syurga, dan bukan itu sahaja, tetapi boleh menjadi jiran Rasulullah s.a.w. Ini bukan sekadar omong kosong. Allah sendiri telah berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Berkata Tuhanmu, ‘Mintalah kepadaKu, nescaya aku perkenankan permintaanmu” (Qur’an, 40:60)

Rasulullah s.a.w. bersabda, “ Mintalah kepada Allah dengan yakin bahawa Dia akan mengabulkan.” Jika itu yang anda buat, Dia akan bagi LEBIH daripada yang anda mahu. Tapi ingat ia mestilah rajaa dan bukan `amany`. Apakah bezanya?

Rajaa adalah kesemua rasa yang kita sebutkan di atas, tapi disertai dengan usaha dan kesungguhan. `Amany` adalah rasa-rasa tersebut, tapi tanpa kesungguhan – mengharap kasih Allah, tapi melakukan perkara-perkara yang dibenciNya dengan sengaja. Allah berfirman:

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَىٰ

“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal salih, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Qur’an, 20:82).

Dan dengan ini Dia akan memberikan anda lebih daripada apa yang anda minta dan lebih daripada sepatutnya.

Kasih sayang

Subhanallah dengan penjagaan yang ditunjukkan oleh singa betina terhadap anak harimau bintang itu. Yang meletakkan rasa kasih di dalam hatinya, walaupun ia bertentangan dengan sifat semulajadinya? Telah dilaporkan bahawa selepas anak harimau bintang itu dimakan oleh sekumpulan singa jantan, singa betina itu kemudiannya menjaga lima ekor lagi anak harimau bintang.

Allah mempunyai 99 bahagian kasih sayang, dan telah memperuntukkan satu bahagian kasih sayang itu ke bumi. Satu bahagian ini amat hebat yang telah menukarkan kebinatangan singa betina itu yang menjurus kepada memburu mangsa, kepada sayang. Jadi bagaimana dengan kasih sayangNya, dalam 99 bahagian yang lain, pada Hari Pengadilan nanti? Jika Allah telah mengatakan kasih sayangNya meliputi semua perkara, takkanlah ia tidak termasuk anda? Ia telah meliputi semua tindakan yang lebih teruk daripada apa yang anda lakukan, seperti lelaki yang telah membunuh 99 orang dan kemudiannya membunuh seorang lagi hingga jumlahnya menjadi 100 orang, dan Allah telah mengampunkan dia. Bagaimana mungkin Dia tidak mengampunkan dan memberi kasih sayangNya pada anda?

Jadi bagaimana dapat anda merasai kasih sayang Allah? Mintalah di dalam solat anda.

BAGAIMANA MERASA KEMANISAN BERSOLAT

Salams,

Ini didapati dari website Imam Suhaib, semoga dapat dinikmati dan diterapi dalam kehidupan, dan semoga ada berkahnya dan menjadi saksi sebagai amalan. Ayuh, teruskanlah berbuat baik.

___________________________________________________

Bagaimana merasa kemanisan bersolat



Bahagian I
| Bahagian II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI | Bahagian VII | Bahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII
Siri Solat (Prayer Series in Malay)
English VersionOleh Jinan Bastaki | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala puji bagi Tuhan, selawat serta salam ke atas Nabi junjungan.

2687377398_326de2019c_b

Seketika tadi, sebuah rancangan Arab disiarkan dengan tajuk ”كيف تتلذذ بالصلاة؟” yang bermaksud “Bagaimanadapat kamu merasa kemanisan bersolat? Oleh seorang da’iya muda Kuwait bernama Mishary Al-Kharaz. Bagi kebanyakan kita, khusyuk ketika dalam solat itu turun naik. Apa itu khusyuk? Ia adalah keadaan minda yang mengandungi ketenangan, kedamaian, martabat dan rasa rendah diri ketika dalam solat, yang bertunas dari dalam hati seseorang ketika berdiri di hadapan Allah dengan penuh kelemahan dan kepatuhan. Kadangkala ketika dalam solat, kita begitu khusyuk dan memahami setiap perkataan; namun ada ketikanya ia hanyalah sekadar pergerakan ibadah, tidak lebih dari itu. Insya’Allah, saya akan cuba merumuskan perkara-perkara utama dalam rancangan ini setiap minggu.

Kisah Ansar dan Muhajirin

Dalam sunan of Abu Dawud, telah diriwayatkan dengan rantaian yang baik (hasan), di mana dalam salah satu peperangan, Nabi Muhammad ﷺ telah melantik dua pengawal, seorang dari puak Muhajirin dan seorang lagi dari puak Ansar. Pada suatu masa, lelaki Ansar itu telah bangun untuk bersolat namun lelaki Muhajirin itu tidak mahu menyertai kerana mahu tidur. Seorang lelaki musyrikin yang terlihat peristiwa ini telah melepaskan anak panah ke arah lelaki Ansar yang sedang bersolat. Panah itu mengena, namun lelaki Ansar itu berusaha dengan sedaya upaya untuk mencabut panah itu dan meneruskan solat dengan darah yang mengalir. Lelaki musyrikin itu kemudiannya melepaskan satu lagi anak panah. Lelaki Ansar itu berjaya mencabut panah itu dan meneruskan solatnya. Namun, lelaki Ansar itu tidak dapat menahan sakit akibat panah ketiga, dan terus rukuk dan sujud. Ketika inilah lelaki Muhajirin itu terjaga, lantas terlihat rakannya itu dibasahi darah. Lelaki musyrikin yang menyedari kejadian itu terus melarikan diri. “Subhanallah! Mengapa kamu tidak kejutkan aku ketika kamu mula-mula dipanah?!” tanya lelaki Muhajirin itu. Lelaki Ansari itu menjawab, “Aku sedang membaca surah yang aku gemar, dan aku tidak mahu ia terhenti.” Allahu Akbar! Bayangkan keadaan orang ini bersolat.

Kemanisan bersolat

Solat merupakan salah satu bentuk pengabdian yang cantik. Apabila seseorang itu bertaslim* untuk mengakhiri solatnya, dia pasti mendapat ketenangan. Ibn Al-Jawzi ada mengatakan tentang solat:

إنا في روضة طعامنا فيها الخشوع و شرابنا فيها الدموع

“Kita di dalam sebuah taman, di mana khusyuk menjadi makanan kita, dan air mata yang mengalir itu adalah minuman kita.”

Bagi seseorang yang betul-betul khusyuk di dalam solatnya, jiwanya langsung tidak bersama dirinya; bak kata Ibn Taymiyya, jiwanya sebenarnya sedang berlegar-legar di ‘Arasy Allah.

Seseorang mungkin berpendapat itu hanya berlaku di kalangan orang dahulu kala. Tiada siapa yang dapat merasa seperti itu lagi sekarang. Namun ini tidak benar; seseorang itu perlu menyedari kepentingan solat dan menyelongkar rahsia khusyuk untuk merasa kemanisan yang unik ini. Solat itu kemudiannya menjadi pelindung anda; penghilang tekanan anda; sesuatu yang dinanti-nantikan; dan sesuatu yang anda harapkan berkekalan.

Mari kita membongkar rahsia-rahsia ini dan berhubung dengan sebenar-benarnya dengan Tuhan kita ketika solat.

Langkah pertama

Langkah pertama ialah dengan membetulkan pemahaman kita tentang khusyuk. Khusyuk bukan sekadar bermakna bahawa anda sedang menumpukan perhatian dan tidak terganggu. Menghadirkan hati hanyalah sekadar tahap pertama khusyuk. Ia seolah-olah anda baharu sahaja melepasi pintu masuk, dan kemudiannya perlu meneroka seluruh isi rumah. Ada pelbagai tahap untuk mencapai khusyuk.

Sesetengah orang mungkin berkata menghadirkan hati itu sahaja sudah sukar. Sebelum bersolat, kita perlu melihatnya secara perspektif. Katakan kita memperuntukkan masa 10 minit untuk bersolat. Ia sama dengan 50 minit sehari, tidak sampai sejam pun. Baki 23 jam lagi adalah untuk urusan duniawi. Jadi tidak bolehkah kita peruntukkan 50 minit ini hanya untuk Allah, atau kita mahu menggunakannya untuk urusan duniawi juga?

Fikirkan perkara ini sebelum anda bersolat, supaya diri anda tidak mengatakannya terlalu susah untuk fokus – kerana anda boleh. Ingatlah kemanisan berada di hadapan Allah adalah melebihi kemanisan duniawi yang menggangu tumpuan anda.

Peringkat terhebat

Ada peringkat yang lebih hebat, iaitu pemahaman. Fahami betul-betul apa yang anda sebut dan hayati. Dalam rancangan itu, Mishary Al-Kharaz menyatakan: “Mari saya kenalkan dengan salah satu pesaing terbesar anda dalam solat.” Tahukan anda siapa yang diperkenalkannya?

Salah satu tiang di dalam masjid. Ya, tiang fizikal yang sebenar. Mana-mana tiang, sama ada anda di rumah, tempat kerja, atau masjid, adalah pesaing anda. Mengapa?

Kerana jika anda berdiri dalam solat, ia berdiri lebih lama. Apabila anda sujud, ia sujud lebih lama. Anda bertasbih, ia bertasbih lebih lama. Bagaimana? Allah berfirman di dalam Qur’an:

وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ

“..dan tidak ada sesuatu (makhluk) pun kecuali ia bertasbih memuji Tuhannya, tapi kamu tidak memahami tasbih mereka,” (Qur’an, 17:44).

Dan:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَسْجُدُ لَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ وَٱلشَّمْسُ وَٱلْقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلْجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَآبُّ وَكَثِيرٌۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ ۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ ٱلْعَذَابُ

“Tidakkah kamu melihat hanya Allah yang disembah oleh semua yang di syurga dan semua yang di bumi dan matahari, bintang, gunung, pokok, ciptaan bergerak dan kebanyakan manusia? Namun telah ditetapkan azab kepada kebanyakan mereka.” (Qur’an, 22:18).

“Tapi saya baca Qur’an!” jawab anda. Bukan anda saja yang membaca Qur’an.

Jika anda bertanya kepada tiang, atau burung kakak tua, apa yang mereka faham, mereka tidak akan menjawab. Jadi kita perlu bertanya diri kita – adakah kita lebih baik dari mereka? Apakah maknanya apabila kita menyebut “sami’a Allahu liman hamida“? Bagaimana dengan tahiyyat? Bukan sekadar maksudnya, namun maksud yang lebih mendalam. InsyaAllah melalui siri ini kita akan memahami maksud-maksud tersebut supaya kita kita boleh mencapai tahap kekhusyukan ini.

Satu perkara lagi…

Jangan berkata, “Tapi saya tak boleh!” Bagaimana mungkin Allah memerintahkan kita supaya khusyuk dalam solat tetapi ia adalah mustahil untuk kita lakukan? Walaupun bahasa Arab bukanlah bahasa pertama anda – adakah Allah tidak tahu bahawa Islam akan tersebar jauh dan luas? A’udhubillah daripada terfikirkan perkara sebegitu.

Jadi ingatlah bahawa anda boleh. Usaha, dan anda boleh mencapainya insyaAllah. Ingatlah Allah Maha Pemurah, lebih pemurah daripada apa yang kita sangkakan. Jika selangkah anda mendatangiNya dengan berjalan, Dia akan datang berlari kepada anda. Firman Allah:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

“ Orang-oang yang berjuang (dalam menunaikan hak) Kami, nescaya kami tunjuki mereka ke jalan Kami.” (Qur’an, 29:69)

Jadi bismillah, dan insyaAllah marilah berdoa apabila sampai ke penghujung nanti, kita akan menjadi lebih khusyuk daripada sebelum-sebelumnya.

* “Tasleem” ialah melafazkan salam ketika di penghujung solat.