Tuesday 21 August 2012

PALING AJAIB

 

 

Salams,

Sahabat-sahabat yang ku muliakan, yang sudi membaca dan mengambil ikhtibar, yang mahu berjuang menentang nafsu yang melelahkan, yang meletakkan segala harapan setelah segalanya usai – hanya pada-Nya. Memang hidup ini, indah sekali.

Syawal ke –4, barangkali kali ini adalah sambutan AidilFitri yang terpendek sekali, semestinya kerana kami dibebani dengan kerja dan urusan keluarga masing-masing, tapi sungguh, saya mengerti sekali mengapa keluarga yang kehilangan tonggak akan terus hanyut dibawa arus deras – ayah dan ibu, bak kata arwah Sudirman, ayah dan ibu, itulah permulaan kami.

Tetapi alhamdulillah, kami berjaya jua membuat bara’an pada malam raya, kami berjaya jua ke rumah Embah dan bibik-bibik di Sabak Bernam. Walau hanya berjaya memahami 4-5 patah perkataan jawa, senyuman hangat itu lebih berharga di dalam perhubungan. Seperti di Mekkah dan Madinah, kekangan bahasa tidak melumpuhkan cinta di dalam hati, insyaAllah.

Seorang rakan menulis – musuhnya habis dimaafi. Pasti sahaja yang terlintas dihati saya adalah dia- manusia terhebat yang pernah dicipta. Manusia yang paling agung, atau setepatnya, makhluk paling sempurna, paling indah, paling baik, paling dalam segala-galanya. Ah, rindunya padanya. Tetapi, pabila ditanya, benarkah penyataan itu menuju kepada Rasulullah saw? Oh tidak, ujarnya, ia adalah … Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Mahu keluar air mata saya tertawa, entah kepada diri saya atau dia. Kata asalnya adalah musuhnya habis binasa, tetapi dek kerana raya, habis dimaafi. Sungguh mulia hatinya. Semoga kita jua begitu, sudi merendahkan ego untuk memaafkan segala dendam yang terbuku.

Seorang rakan sedang merayakan kemenangan fitrah di tanah paling mulia itu, bertawaf sambil bertakbir. Sungguh, saya sentiasa cemburukan dia, yang mempunyai hati selembut wajahnya. Melihat merpati bersiut-siut, turut sama meraikan. Allahim, saya mahu meninggal di sana.

Saya keluar melihat bintang-bintang bersinar. Membayangkan pasti sahaja Abah sudah tahu apa bintang-bintang itu. Magis, saya mimpikan Abah dan Embah pada malam Ramadhan yang ke-20, dengan wajah yang sangat girang mahu ke surau menunaikan Solat Subuh. Lebih magis lagi, Shila rakan serumah saya jua mimpikan Bondanya, pada malam yang sama. Adakah roh-roh mereka-mereka yang sangat kami cintai ini dibenarkan melawat kami pada malam tersebut? Anehnya, saya ngga pernah melihat Embah. Beliau pulang ke rahmatullah selepas saya berumur lebih kurang 7 hari. Tapi saya tahu sahaja beliau itu Embah di dalam mimpi.

Tuhanku, Engkau Sang Maha Pengasih, yang selalu memberikan aku kejutan-kejutan manis.

Paling ajaib, rakan-rakan saya mimpikan saya, pada malam yang sama ( mungkin sahaja malam ke 21), dan kami menaiki kenderaan entah mahu ke mana. Seorang di Terengganu, seorang lagi di Pahang. Aneh, gimana mereka boleh mimpikan saya , pada malam yang sama?

No comments: